Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 4, 2015

Saksi lihat helikopter meletup di udara

Foto Twitter Bomba (@bombaJBPM)
SEMENYIH - Saksi melihat sebuah helikopter, yang dinaiki enam orang, meletup di udara sebelum terhempas dan meletup sekali lagi di kawasan kebun getah di Jalan Sungai Lalang, Kampung Pasir Baru, Semenyih, petang tadi.

Roslan Harun, 54, seorang pengawal keselamatan yang bertugas menjaga stor berhampiran tempat kejadian, berkata kejadian itu berlaku ketika hujan lebat.

"Meletup terus, berkecai di udara, tak jauh dari tanah, kipas dan ekor helikopter terpelanting ke merata tempat," katanya kepada Bernama ketika ditemui di tempat kejadian.

Roslan yang ketika itu berehat di rumahnya kira-kira satu kilometer (km) dari tempat nahas helikopter itu, berkata beliau cuba memasuki kawasan berkenaan tetapi membatalkan niatnya dan terus menghubungi Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Menurutnya kawasan nahas itu terletak kira-kira 5 km di dalam kawasan Kampung Sungai Pening, kira-kira 13 km dari pekan ini.

"Nak masuk ke tempat helikopter betul-betul terhempas, kita kena masuk 2km ke dalam kawasan kebun getah," katanya.

Menurut jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Kajang, helikopter itu terhempas dan terbakar pada 4.55 petang tadi. - Bernama
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/semasa/saksi-lihat-helikopter-meletup-di-udara-1.376184

No comments: