Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 4, 2015

Penyedia komunikasi bincang dua pilihan

Kad tambah nilai. - Gambar hiasan
PUTRAJAYA, 3 APR - Para penyedia komunikasi akan menjalankan kaji selidik sama ada pelanggan lebih menggemari nilai isian semula lebih rendah, tetapi akan dikenakan cukai barang dan perkhidmatan (GST), kata pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedi (SKMM), Datuk Seri Dr Halim Shafie.

Beliau berkata, contohnya, sama ada mereka lebih suka isian semula RM10, yang berharga RM10.60 (isian semula RM10 campur enam peratus GST) atau RM10 (isian semula RM9.43 campur enam peratus GST).

Dalam kenyataan hari ini, beliau berkata, isian semula prabayar tertakluk kepada GST, seperti yang termaktub di bawah Akta Cukai Barang dan Perkhidmatan 2014.

GST dikuatkuasakan di negara ini mulai 1 April. Ia mengenakan cukai enam peratus bagi barang berkadar standard, menggantikan cukai jualan sebanyak 10 peratus dan cukai perkhidmatan sebanyak enam peratus. Kebanyakan barangan perlu adalah berkadar sifar.

Halim berkata, SKMM dan penyedia komunikasi yang terdiri daripada Celcom, DiGi, Maxis dan U Mobile hari ini memberi penjelasan tentang isu berkaitan GST bagi perkhidmatan prabayar.

"Saya diberi taklimat oleh celcos tentang perkara ini. Sejak asal lagi, perkhidmatan komunikasi tidak termasuk dalam senarai benda yang dikecualikan atau berkadar sifar daripada GST, yang bererti, pengguna perlu membayar GST bagi perkhidmatan ini. Ia termasuk isian semula prabayar," katanya.

Halim berkata, nilai isian semula adalah sama seperti nilai sebelum pelaksanaan GST dan perbezaannya ialah GST ditambah ke dalam jumlah isian semula.

Menurut empat penyedia komunikasi itu, kata beliau, Jabatan Kastam Diraja Malaysia bersetuju dengan urusan berkaitan GST bagi isian semula prabayar seperti yang dibincang pada mesyuarat antara jabatan itu dan mereka semalam.

Beliau berkata, bagi meringankan beban pelanggan, sebagai langkah peralihan, pelanggan yang menambah nilai sebanyak RM5 dan ke atas, akan diberi nilai tambah yang lebih tinggi daripada enam peratus GST dalam bentuk minit dan mesej teks selama tiga bulan, mulai hari ini.

Halim berkata, industri itu sedang bekerjasama dengan Kementerian Komunikasidan Multimedia serta SKMM untuk menyediakan pakej jalur lebar yang lebih termampu oleh rakyat.

Pakej itu dijangka diumumkan pada pertengahan bulan ini, kata beliau. - Bernama

No comments: