Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 4, 2015

Peniaga top up dakwa terpaksa caj lebih.?

Sebuah kedai telekomunikasi yang mengenakan GST bagi pembelian kad prabayar.
SABAK BERNAM, 3 APR – “Saya dah beli top up (kad tambah nilai) pada harga tinggi, mustahil saya akan jual harga sama sebelum GST,” demikian kata seorang peniaga sebuah kedai telekomunikasi di sebuah kampung di Sabak Bernam.

Seng (bukan nama sebenar) berkata, dia membeli lebih 100 kad tambah nilai dari pelbagai syarikat telekomunikasi pada harga RM10.25 beberapa hari sebelum GST dan terpaksa menjualnya RM10.60 kepada pelanggan sejak perlaksanaan cukai baharu itu, kelmarin.

Menurutnya, jika dia menjual pada harga kekal iaitu RM10, dia hanya memperoleh keuntungan 5 sen berbanding keuntungan yang sepatutnya diperoleh sebanyak 35 sen bagi setiap satu kad prabayar bernilai RM10.

“Sebelum GST, saya beli pada harga RM9.65 sen setiap satu kad top up dan jual kepada pelanggan RM10 dengan keuntungan 35 sen, takkan selepas GST saya hanya untung 5 sen saja,” katanya.

Seng memberitahu, dia tiada pilihan melainkan terpaksa menjualnya pada harga enam peratus kepada pelanggannya.

“Saya pun bergantung kepada sumber pendapatan ini, jadi kalau untung hanya 5 sen, macam mana saya mahu bayar sewa premis,” katanya.

Bagaimanapun menurutnya, dia hanya menjual kad tambah nilai, sebaliknya tidak lagi menjual reload secara terus ke nombor telefon sejak petang semalam (kelmarin) berikutan syarikat telekomunikasi telah menarik semula penjualan berkenaan.

Seorang penduduk, Samsudin Mat Sih, 58, berkata, dia terkejut apabila dikenakan caj sebanyak 60 sen bagi pembelian kad tambah nilai RM10 yang dijual di sebuah kedai telekomunikasi di kampung itu.

“Biasanya saya akan keluarkan RM10 untuk beli kad tambah nilai, tapi hari ini (semalam) saya terkejut bila diminta untuk tambah 60 sen lagi dengan alasan kena GST,” katanya.

Samsudin berkata, keadaan itu sudah tentu memberi tekanan terutama kepada mereka yang berpendapatan rendah.

“Kalau sekali beli top up (kad tambah nilai) kena 60 sen, bayangkan kalau saya beli kad tu sebanyak lima kali dalam sebulan, saya terpaksa bayar RM3.

Hairuddin Ahmad, 60, berkata, sudah tentunya GST yang dikenakan syarikat telekomunikasi memberi tamparan hebat kepada penduduk terutama bagi mereka yang tinggal di luar bandar.

“Nak suruh kami kurangkan penggunaan prabayar memang susah, sebab sekarang telefon bimbit bukan lagi dianggap sebagai kehendak, tetapi keperluan.

“Mahu tak mahu, penduduk kena hadapi semua ini.,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/peniaga-dakwa-terpaksa-caj-lebih-1.375729

No comments: