Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 4, 2015

Pelaksanaan GST Kucar Kacir - Pemuda UMNO

KUALA LUMPUR, 3 APR - Penerangan Pemuda UMNO Malaysia hari ini menerusi ketuanya, Jamawi Jaafar melahirkan rasa kecewa dan sedih terhadap pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan GST yang dilihat kucar kacir dan tidak berjalan lancar seperti yang diharapkan meskipun setelah dua tahun perancangan pelaksanaannya dibincang dan persedian pelaksanaannya dibuat oleh pihak kerajaan.

“Saya amat sedih kerana sejak hari pertama penguatkuasaan, terlalu banyak isu yang timbul dari segi pelaksanaannya. Semua pihak yang terlibat seperti KPDNKK dan Kastam seakan-akan tidak bersedia dan sistem yang digunakan tidak seragam menyebabkan ramai peniaga yang mengambil kesempatan.

"Pada mulanya rakyat dijanjikan dalam setiap ceramah penerangan Tolak SST dan baru tambah GST dalam penentuan harga barang dan perkhidmatan berkenaan.

Tetapi ketika pelaksanaannya, kita mendapat maklumat terutamanya kedai kedai di luarbandar harga barangan asal masih dicampur dengan SST dan ditambah dengan GST sekaligus menjadikan harga semakin mahal dan terpaksa ditanggung oleh rakyat.

Saya juga mendapat keluhan dan suara hati orang kampung yang kecewa dgn keadaan peniaga yang mengambil kesempatan untuk menaikkan harga barangan sesuka hati dgn menyalahkan kerajaan kononnya ianya semua berpunca daripada GST,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya lagi, kegagalan kerajaan menangani isu kecil seperti pertambahan harga kad prabayar telefon juga sangat tidak wajar.

"Sepatutnya pihak TELCO mendengar arahan daripada pihak kerajaan dan bukannya pihak kerajaan yang terpaksa akur dengan keputusan TELCO.

"Percanggahan kenyataan mengenai status harga kad prabayar yang dikeluarkan oleh Timbalan Menteri dan juga Pengarah GST sebenarnya menaikkan lagi kemarahan masyarakat kerana jika perkara sekecil ini pun kerajaan tidak dapat tangani bagaimana pula kerajaan hendak tangani isu kenaikan harga beribu barangan lain yang lebih kompleks?

Tambah beliau lagi, sewajarnya sebelum melaksanakan apa-apa jua penguatkuasaan yang melibatkan kepentingan rakyat,kerajaan perlu bersiap siaga secara keseluruhan bagi memastikan pelaksanaannya berjalan lancar.

Katanya, ia termasuklah dengan mewujudkan satu prosedur operasi seragam (SOP) yang lengkap untuk penguatkuasaan, sistem cetakan yang seragam untuk semua pelaksana GST dan juga sebuah pusat maklumat yang tepat untuk rakyat. Alasan kakitangan penguatkuasaan tidak mencukupi yang diberikan oleh menteri berkenaan bukanlah satu jawapan yang boleh diterima akal.

"Dalam konteks ini, saya merasakan pihak kerajaan perlu menubuhkan sebuah jawatankuasa pengurusan krisis yang lengkap dengan pelan pengurusan krisis yang bertindak sebagai pusat penerangan, pengumpulan maklumat, aduan dan juga sebagai penampan terhadap sebarang isu yang timbul akibat daripada pelaksanaan tersebut.

"Hanya seorang jurucakap sahaja dilantik untuk memberikan penerangan dan menjawab segala isu yang timbul bagi mengelakkan sebarang percanggahan maklumat, pendapat dan mengawal berita yang tidak benar.

"Ia penting bagi mengelakkan wujudnya sebarang kekeliruan antara semua pihak yang terlibat.

“Saya bagi pihak Pemuda UMNO Malaysia menyeru pihak kerajaan supaya lebih bertegas dalam setiap tindakan, tetap dengan pendirian serta tidak tunduk dengan tekanan daripada mana-mana pihak untuk memastikan kredibiliti kerajaan tidak sewenang wenangnya diperkotak katikkan. Sistem GST ini amat mudah dilaksanakan jika semua pihak tahu tanggungjawab dan peranan masing-masing,” ujarnya.
Sumber : Kelab Che Det

No comments: