Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, April 28, 2015

Orang ramai merungut terpaksa menunggu lama untuk menerima rawatan di Hospital Tanjong Karang..?

Jumlah pesakit yang ramai punca kesesakan pada waktu puncak.
TANJONG KARANG - “Macam inilah selalunya. Tak sah kalau tak menunggu berjam-jam,” kata seorang penduduk, Siti Faridah Hussen, 41, kepada Sinar Harian.

Dia yang menghantar anaknya menerima rawatan susulan akibat patah jari, menunggu dari jam 8.30 pagi sehingga jam 1.15 petang untuk berjumpa doktor.

“Selalu ada masalah nombor giliran di kaunter lain-lain, jadi serabut. Bila pergi kaunter satu, bagi nombor lain, bila pergi kaunter kedua, nombor lain. Memang keliru, saya pun pening sebab nombor banyak sangat," katanya yang menemani anaknya ke Hospital Tanjong Karang.

Seorang peniaga, Shua Ghan Lee, 30, yang menghantar ibunya untuk mendapatkan rawatan dan ubat, terpaksa menunggu lama berikutan terlalu ramai orang pada waktu puncak.

“Kasihan saya tengok emak duduk lama-lama, nasib baik tak panas. Kalau boleh mintalah sistem baharu supaya masa menunggu dipendekkan,” katanya.

Sesak ikut musim

Pegawai Perubatan Bahagian Kecemasan, Dr Rahul Rampal menjelaskan, waktu sesak bergantung kepada musim penyakit terutamanya ketika wabak denggi melanda negeri ini.

“Hospital ini menerima pesakit dari Sabak Bernam dan juga Klang. Memang wad tak cukup apabila musim denggi. Lebih-lebih lagi di wad perempuan kerana berkongsi dengan kanak-kanak.

“Kita menerima semua pesakit dan disebabkan hospital ini di kawasan pedalaman, ramai pesakit kronik rata-ratanya dalam kalangan warga emas yang ditahan wad untuk tempoh lama.

“Wad pun jarang ada kosong sebab sentiasa ada pesakit. Bayangkan doktor yang ada lebih kurang lima atau enam orang sahaja pada satu-satu masa dan perlu rawat lebih kurang 200 pesakit sehari.

“Kita cuba cepatkan pemeriksaan tapi kalau nak cepat-cepat tak guna juga, sebab kena teliti. Sebab itu kalau ada pesakit marah-marah, kita kena jelaskan situasi sebenar,” katanya.

Seorang lagi pegawai perubatan, Dr S Hruthayarao berkata, kaunter pesakit luar dibuka 24 jam bagi membolehkan penduduk menerima rawatan mengikut zon ditetapkan.

“Mungkin sebab ramai penduduk suka datang hospital berbanding klinik kesihatan untuk mendapatkan rawatan, jumlah pesakit meningkat.

“Secara peribadi, saya berpendapat sepatutnya penduduk yang mengalami sakit biasa bukan kronik boleh mendapatkan rawatan di klinik kesihatan yang berdekatan.

“Kalau mereka amalkan begitu, kesesakan di kaunter pesakit luar mungkin dapat dikurangkan sebab hospital akan menerima pesakit kronik, kecemasan atau rawatan susulan saja,” katanya.

Jumlah pesakit sentiasa meningkat

Sementara itu, Pengarah Hospital Tanjong Karang, Dr Mohd Zamri Wagiman@Saim berkata, peningkatan jumlah pesakit setiap tahun menyumbang kesesakan sama ada di wad mahupun kaunter pesakit.

“Tapi pihak kami cuba selesaikan isu ini dengan mengaplikasikan sistem fast track yang mengkategorikan pesakit warga emas, kanak-kanak, orang kurang upaya (OKU) dan pesara kerajaan.

“Memang tak dinafikan masa menunggu untuk dapatkan keputusan makmal agak lama. Paling cepat, keputusan boleh dapat dalam tempoh setengah jam.

“Paling lama dua jam bergantung kepada jenis penyakit. Kalau dulu, kita minta pesakit pulang ke rumah dan datang dua atau tiga hari kemudian dapatkan keputusan makmal.

“Tapi sekarang kita bagi terus keputusan tetapi kena tunggu lama. Bilangan orang yang datang memang ramai terutamanya pada jam 10 sehingga jam 11 pagi.

“Pihak hospital cuba pendekkan masa menunggu dan berusaha sebaik mungkin meningkatkan perkhidmatan terbaik untuk pesakit,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai status hospital baharu yang bakal dibina di Sungai Terap, Dr Mohd Zamri optimis hospital itu akan dibina seperti dijanjikan.

“Insya-ALLAH hospital itu akan dibina dan sementara menunggu siap, kami berusaha sebaik mungkin memberikan rawatan dengan kapasiti sedia ada untuk penduduk,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/nasional/tak-sah-kalau-tak-tunggu-berjam-jam-1.384391

No comments: