Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, April 21, 2015

Operasi MRSM Sungai Panjang ditangguh..?

SABAK BERNAM, 20 April – Pengambilan kumpulan pertama pelajar tingkatan satu dan empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Sungai Panjang di sini yang dijadualkan pada Jun ini mungkin terpaksa ditangguhkan gara-gara kelulusan untuk memperoleh permit pengambilan tanah oleh kontraktor daripada pihak berwajib lambat diberikan.

Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor (MTPNS), Datuk Seri Noh Omar berkata, projek pembinaan MRSM itu yang sepatutnya siap pada 5 Mei 2013 mengalami kelewatan selepas kontraktor lama gagal menjalankan kerjanya.

Walau bagaimanapun, kontraktor baharu yang mengambil alih projek itu pada 2011 pula terpaksa menunggu kira-kira setahun bagi proses kelulusan permit.

“Projek yang dibangunkan di kawasan seluas 13 hektar daripada 17 hektar keseluruhan tapak sedia ada berdepan masalah kerana berlaku mendapan pada struktur tanah berikutan dibina di kawasan tanah paya gambut.

“Projek yang bermula pada 2007 ini dulunya bermasalah. Saya masih ingat kontraktor asal hanya sempat jalankan kerja empat tahun saja dan kemudian bertukar kepada kontraktor baharu dari 2011 hingga kini,” katanya kepada pemberita selepas melawat tapak projek MRSM Sungai Panjang di sini hari ini.

Noh yang juga Ahli Parlimen Tanjong Karang menjelaskan, projek yang bernilai kira-kira RM46 juta itu sepatutnya siap pada 5 Mei tahun lalu mengalami kelewatan hingga memaksa kontraktor memohon Lanjutan Masa Kontrak (EOT) selama 126 hari sehingga 30 April ini.

Sehubungan itu, beliau merayu pihak-pihak yang terlibat seperti Majlis Daerah Sabak Bernam, Tenaga Nasional Berhad, Syarikat Bekalan Air Selangor serta Jabatan Bomba dan Penyelamat agar memberikan kelulusan segera atau kelulusan sementara kepada Majlis Amanah Rakyat (Mara) agar bangunan tersebut dapat digunakan Jun ini.

“Mara sudah ada senarai nama bagi pengambilan pelajar pada Jun ini.

“Maknanya tinggal lebih kurang sebulan saja lagi bangunan ini hendak digunakan, jadi kelulusan segera ini diperlukan bagi membolehkan MRSM ini beroperasi sepenuhnya,” katanya.

Noh menambah, MRSM Sungai Panjang itu merupakan MRSM keempat di negara ini yang akan melaksanakan konsep ‘ulul albab’ bagi melahirkan ulama profesional yang menguasai sains, agama dan teknologi.

“Sebanyak tiga MRSM melaksanakan konsep ‘ulul albab’ ini iaitu MRSM Besut, Terengganu; MRSM Gemencheh, Negeri Sembilan; MRSM Kepala Batas, Pulau Pinang dan kini akan turut dilaksanakan MRSM Sungai Panjang,” katanya.
Sumber : UTUSAN ONLINE

No comments: