Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, April 11, 2015

Noh Omar buka cerita... MP BN yang pertama kena Akta Hasutan

Ada yang terlepas pandang lihat susuk Ahli parlimen Tanjung karang Datuk Seri Noh Omar hanya sebagai bekas menteri... ramai lupa yang beliau merupakan seorang peguam hebat sebelum jadi menteri.

Sebab itu, sejak main peranan sebagai Backbancer di Dewan rakyat kini, Noh sering tampil lantang berhujah dengan pembangkang.

Awal pagi Jumaat, ketika menggulung perbahasan usul Rang Undang-Undang Akta Hasutan (Pindaan 2015) di Dewan Rakyat, Noh sekali lagi menyegarkan mata-mata yang mengantuk dek kerana perbahasan sehingga pagi apabila berhujah mengenai Akta Hasutan.

"Pembangkang jangan mengarut, Ahli Parlimen pertama ditahan bawah Akta Hasutan ialah dari Barisan Nasional (BN) iaitu Datuk Mark Koding yang mewakili kawasan Kota Kinabalu," katanya.

Beliau menjelaskan, Mark Koding ditahan pada 11 Oktober 1978 kerana ucapannya di Dewan Rakyat ketika itu yang mempersoalkan dasar kerajaan membenarkan sekolah Cina dan Tamil diteruskan di negara ini sebagai menghasut.

Bukan seperti YB Lembah Pantai (Nurul Izzah Anwar) dan yang lain-lain, baru kena tahan tidak sampai 24 jam sudah bising mendakwa kononnya mereka ditahan bawah Akta Hasutan.

"Mereka bising, membuat kecoh dalam dewan sejak Isnin lalu lagi seolah-olah akta ini terpakai kepada mereka sahaja, sedangkan sejarah menunjukkan Ahli Parlimen Kinabalu yang mula-mula didakwa bawah akta itu.

"Jadi, akta ini bukan untuk pembangkang sahaja, ia melibatkan kepada semua pihak yang didapati bersalah menghasut," katanya.

Jelasnya, setiap Ahli Parlimen sudah mempunyai kefahaman mengenai peraturan mesyuarat terutama ketika mengambil bahagian dalam perbahasan, iaitu tidak boleh mengeluarkan sebarang kenyataan berbaur hasutan dan penghinaan terhadap individu atau institusi tertentu.

Katanya, apa yang Nurul Izzah tidak berpuas hati dengan penahanannya tempoh hari adalah berpunca daripada orang awam membuat laporan polis atas kenyataan yang dianggap menghina institusi kehakiman.

"Kenyataannya menuduh hakim tunduk kepada kehendak politik, rakan jenayah pembunuhan dan menjual diri kepada syaitan demi jaminan kepada kebendaan serta jaminan jawatan, dianggap tuduhan berat.

"Sebagaimana YB Lembah Pantai mendakwa Ahli Parlimen tidak ada imuniti dalam Parlimen, walhal dia tahu apabila seseorang Ahli Parlimen bercakap, mereka tertakluk kepada peraturan mesyuarat," katanya.

Berhubung persoalan pembangkang mempertikaikan kenapa polis tidak menangkap Ahli Parlimen BN yang menghina kaum lain, Noh berkata, sebab tidak ada laporan polis dibuat oleh pihak tertentu terhadap pemimpin berkenaan.
Sumber : http://www.agendadaily.com/Dalam-Negeri/noh-omar-buka-cerita-mp-bn-yang-pertama-kena-akta-hasutan.html

No comments: