Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, April 10, 2015

Kerajaan Pusat diminta naikkan elaun guru Kafa - Adun Permatang

Datuk Sulaiman Abdul Razak
SHAH ALAM, 9 APR - Kerajaan persekutuan dicadang mempertimbangkan penyediaan peruntukan tambahan bagi menaikkan elaun guru Kelas Agama dan Fardu Ain (Kafa) Selangor setelah kerajaan negeri gagal melaksanakannya.

Adun Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata walaupun kenaikan elaun itu adalah 'janji manis' PR pada PRU-13 lepas, namun ia dilihat seolah-olah tiada jaminan kerajaan negeri mampu menyediakannya.

"Kita (Adun BN) faham atas segala kesusahan yang terpaksa ditanggung guru-guru Kafa di Selangor ini sehingga mereka terpaksa menagih janji kerajaan negeri supaya elaun mereka dinaikkan daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan.

"Paling memeritkan apabila kerajaan negeri memberi alasan masih tidak dapat menaikkan elaun itu kerana tiada peruntukan tahun ini sedangkan janji dibuat sejak 2013," katanya kepada pemberita di lobi Dun Selangor di sini, hari ini.

Menurutnya, jumlah elaun bulanan guru Kafa di Selangor setakat ini adalah gabungan peruntukan daripada kerajaan persekutuan iaitu sebanyak RM800 manakala kerajaan Selangor menyumbang RM500.

Adun Permatang itu turut berharap kerajaan pusat menerusi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dapat mempertimbangkan penambahan elaun tersebut bagi membantu golongan pendidik berkenaan seperti yang didesak mereka sebelum ini.

Tambah Sulaiman, keperitan yang dialami guru Kafa berkenaan dalam menangani kos sara hidup masa kini dikhuatiri akan menjejaskan fokus serta semangat mereka dalam memberikan pendidikan agama yang terbaik kepada murid-murid sekolah tersebut.

Sementara itu, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu dan Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi hari ini berkata kelewatan kenaikan elaun RM200 kepada guru Kafa adalah kerana pihaknya masih mengkaji mengenainya.

Dr Ahmad Yunus berkata kerajaan negeri tidak membuat sebarang peruntukan tambahan dalam penyediaan Bajet 2014 untuk menaikkan elaun guru Kafa tersebut.

Pada PRU-13 lepas, kerajaan gabungan DAP, Pas dan PKR dalam manifesto mereka berjanji untuk menaikkan elaun guru Kafa di Selangor daripada RM1,300 kepada RM1,500 sebulan. - Bernama

No comments: