Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 9, 2015

Isu geran bertindih belum selesai - Adun Permatang

Sulaiman (tengah) beramah mesra dengan pesakit di Hospital Tanjong Karang.
SUNGAI TERAP, 8 APR – Masalah pertindihan geran tanah di Dun Permatang terus menjadi isu dan sering dibangkitkan penduduk memandangkan sehingga kini masih tiada penyelesaian dibuat.

Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abd Razak menjelaskan, masalah pertindihan nama pemilik geran tanah masih menjadi isu di Kampung Sungai Yu, Sungai Terap dan Ladang Hopefull.

Menurutnya, masalah timbul apabila tanah atas nama individu bukannya ‘kosong’ dan sudah didiami orang lain untuk tempoh cukup lama yang mungkin diwarisi keluarga.

“Sebab dulu, tanah mudah diterokai orang kampung untuk tujuan pertanian memandangkan tidak mahu tanah terbiar begitu sahaja dan dimanfaatkan sebaik mungkin.

“Bagaimanapun, apabila timbul permohonan dan semakan menunjukkan tanah itu ‘kosong’ tanpa lawatan ke tapak menyebabkan berlaku pertindihan seperti ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Beliau diminta mengulas isu pertindihan nama pada geran tanah di Dun Permatang selepas melawat pesakit sempena Program Turun Padang di Hospital Tanjong Karang.

Sulaiman berkata, meskipun kuasa tanah di bawah bidang kuasa kerajaan negeri, namun pihaknya tidak mengabaikan masalah dibangkitkan penduduk dan cuba untuk membantu sebaik mungkin.

“Memang saya tak nafikan timbul tohmahan yang mengatakan BN gagal bantu rakyat dalam masalah tanah sedangkan kita sedia maklum bahawa kuasa tanah di bawah kerajaan negeri.

“Bagaimanapun saya cuba bantu seperti kes di Ladang Hopefull yang tiada bekalan air bersih selepas tanah diteroka untuk dijadikan ladang kelapa sawit.

“Janji nak bantu bekalkan air bersih sudah ditunaikan apabila bekalan air bersih sehingga sempadan Hulu Selangor telah disempurnakan dengan kerjasama Syarikat Bekalan Air Selangor (Syabas).

“Penduduk sepatutnya tiada masalah untuk membuat permohonan secara individu untuk pemasangan terus ke rumah tapi saya difahamkan, ada segelintir penduduk berdepan masalah pertindihan geran.

“Mungkin timbul masalah pada geran tanah menyukarkan mereka untuk buat permohonan sebab kalau tanah sendiri memang tiada masalah bahkan Syabas sedia nak bantu,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/isu-geran-bertindih-belum-selesai-1.377542

No comments: