Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, April 22, 2015

HOSPITAL TANJONG KARANG SIAP DALAM TEMPOH TIGA TAHUN

SHAH ALAM, 21 APR – Penduduk Tanjung Karang bakal mempunyai kemudahan hospital dalam tempoh tiga tahun lagi selepas pembinaannya diluluskan Kerajaan Persekutuan.

Ketika ini, penduduk sekitar pekan tersebut terpaksa mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Jemaah, Sabak Bernam dan Hospital Sungai Buloh, yang sudah semakin sesak disebabkan bilangan pesakit yang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr S Subramaniam, berkata tender pembinaan hospital tersebut kini sedang diuruskan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan ia dianggap satu berita baik oleh penduduk setempat khasnya, serta rakyat Selangor amnya.

“Kita yakin hospital di Tanjung Karang adalah satu lagi projek Kerajaan Persekutuan untuk rakyat di Selangor. Kita juga rancang bina hospital di Kapar, Klang dan saya berharap pembinaan serta perancangannya berjalan lancar.

“Ia juga membuktikan Kerajaan Persekutuan tidak pernah sekalipun mengabaikan rakyat di negeri ini. Kita sentiasa komited untuk memberikan perkhidmatan kesihatan terbaik untuk rakyat dan kita sentiasa berusaha ke arah tersebut,” katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan kerja di HSA di sini, petang ini.

Hadir sama Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar.

Dalam perkembangan lain, Subramaniam berkata, Hospital Shah Alam (HSA) akan mula beroperasi pada bulan Oktober tahun ini, selepas tergendala sejak tahun 2011.

Beliau bagaimanapun menjelaskan, buat permulaan HSA hanya akan memberikan rawatan serta perhidmatan pesakit luar terlebih dahulu, sebelum hospital terlibat bakal beroperasi sepenuhnya pada bulan Januari 2016.

“HSA sudah mencatatkan kemajuan keseluruhan dengan 99 peratus sudah siap, manakala baki satu peratus adalah proses pemeriksaan bagi memastikan semua sistem serta komponen berfungsi dengan sempurna.

“Projek ini akan diserahkan kepada Kementerian Kesihatan pada 30 Jun 2015 dan lepas itu kita akan mula beroperasi pada Oktober nanti bagi pesakit luar. Kementerian memberi jaminan penduduk di bandaraya ini dan di sekitarnya boleh gunakan HSA bermula tahun ini,” jelasnya.

Projek pembinaan HSA setinggi 14 tingkat itu dimulakan pada 15 November 2007 dan sepatutnya siap pada 25 Jun 2011. Namun, projek tersebut tergendala selepas kontraktor terlibat gagal melaksanakannya. Berikutan kelewatan tersebut, kos pembinaannya meningkat daripada RM400 juta kepada RM565 juta.

Subramaniam berkata, selain menyediakan perkhidmatan kepada orang ramai, HSA bakal menjadi pusat rujukan bagi 14 bidang kepakaran, antaranya obstetrics, gynaecology, surgical dan pediatrik.

“Hospital ini juga akan menjadi hospital pelatih bagi pelajar perubatan Universiti Teknologi MARA (UiTM). Pelajar ini banyak membuat rujukan di Hospital Sungai Buloh dan selepas ini HSA akan digunakan oleh pelajar perubatan ini kerana ia lebih dekat dengan kampus.

“Namun, perkara terpenting lain ialah ia membantu mengurangkan masalah jumlah pesakit yang semakin meningkat di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR), Klang. Sebab itu, kita bersungguh-sungguh mahu hospital ini disiapkan segera,” katanya.
Sumber : http://selangorpost.com/?p=1929

No comments: