Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 16, 2015

Gaji minimum : Selangor jangan hipokrit - ADUN PERMATANG

Datuk Sulaiman Abdul Razak
SHAH ALAM - Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali diingatkan supaya tidak hipokrit kononnya kerajaan negeri bawah pentadbirannya memperjuangkan kebajikan rakyat dalam soal dasar penetapan gaji minimum RM1,500 sebulan.

Adun Permatang, Datuk Sulaiman Abdul Razak berkata, beliau difahamkan ketika ini kerajaan negeri masih belum melaksanakan dasar itu kepada kakitangan awam negeri yang berpendapatan di bawah Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) yang ditetapkan oleh kerajaan negeri.

Berdasarkan PGK Selangor, kerajaan negeri menetapkan RM1,500 sebulan sebagai had minimum pendapatan bulanan dan mana-mana kadar di bawah jumlah itu akan dikira dalam kumpulan pendapatan miskin.

“Walaupun kerajaan negeri pada tahun 2011 (semasa pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) mengumumkan pelaksanaan gaji minimum kepada kakitangan anak-anak syarikat kerajaan, namun ia bukan secara automatik, sebaliknya berdasarkan produktiviti.

“Mengapa kerajaan negeri masih belum laksanakan dasar gaji itu kepada kakitangan awam negeri yang difahamkan masih menerima gaji di bawah RM1,500 sebulan,” jelas Sulaiman dipetik dari SelangorPost.

Selain itu, Sulaiman turut mempersoalkan kenyataan Mohamed Azmin ketika membentangkan Bajet Selangor 2015 pada November 2014 yang menganggarkan pertambahan hasil negeri pada tahun ini pada kadar 6.49 peratus kepada RM 1.97 bilion berbanding RM1.85 bilion pada tahun sebelumnya.

Sedangkan, pertambahan hasil negeri itu tidak disusuli dengan usaha kerajaan negeri untuk melaksanakan dasar gaji minimum sebagaimana yang diuar-uarkan.

“Adakah dasar gaji minimum dan penetapan PGK RM1,500 sebulan ini hanya slogan semata-mata. Kerajaan negeri seolah-olah bercakap saja, tetapi tidak ada tindakan,” katanya.

Selain itu, Sulaiman turut membidas tindakan kerajaan negeri yang mempolitikkan isu dasar gaji minimum dengan menyalahkan kerajaan pusat kononnya tidak realistik dengan ekonomi semasa.

Beliau menegaskan, penetapan gaji minimum dan kadar PGK yang dibuat oleh kerajaan pusat adalah berbeza dengan kerajaan negeri kerana ia mengambil kira ruang lingkup pendapatan penduduk yang lebih luas selain taraf sosioekonomi yang berbeza-beza mengikut negeri-negeri.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/gaji-minimum-selangor-jangan-hipokrit-1.380131

No comments: