Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 9, 2015

'Boleh halang, tapi bayar sewa'

Peniaga sebuah premis perniagaan di Pekan Sungai Besar meletakkan tong sampah bagi menghalang pengguna meletakkan kenderaan mereka pada petak kosong yang disediakan.
SUNGAI BESAR, 7 APR – Pengguna yang ingin meletakkan kenderaan di premis perniagaan di sekitar Pekan Sungai Besar di sini, mengeluh ekoran sikap pemilik premis perniagaan menghalang petak tempat meletak kereta secara ‘haram’.

Peniaga terbabit didapati dengan sengaja menghalang mana-mana kenderaan untuk meletakkan kenderaan di petak kosong sama ada meletakkan tong sampah, kerusi, kotak atau apa saja barangan untuk dijadikan penghalang.

Seorang penduduk, Wahab Zakaria, 51, berkata, sikap tidak bertanggungjawab peniaga terbabit hanya menyebabkan kesesakan jalan raya terutama pada waktu puncak.

“Petak meletak kenderaan ini disediakan Majlis Daerah Sabak Bernam (MDSB) untuk semua pihak dan bukan milik peniaga premis perniagaan melainkan jika mereka menyewa tapak berkenaan dengan ditanda warna merah,” katanya kepada Sinar Harian.

Wahab berkata, pengguna yang ingin membuat urusan harian biasanya tiada pilihan, melainkan terpaksa meletakkan kenderaan mereka sesuka hati disebabkan sikap tidak bertanggungjawab peniaga terbabit.

“Isunya kalau mereka sewa petak letak kenderaan kami tak ada masalah, cuma mereka bersikap pentingkan diri sendiri dengan meletakkan objek tertentu bagi menghalang pengguna meletakkan kenderaan di tempat yang disediakan,” katanya.

Azman Zainal Abidin, 50, berkata, MDSB seharusnya menjalankan tindakan penguatkuasaan terhadap mana-mana peniaga yang didapati cuba menghalang pengguna untuk memakir kenderaan di petak-petak kosong di pusat komersil.

“MDSB perlu mengeluarkan kompaun bagi menyedarkan peniaga yang seolah-olah menganggap petak hadapan premis itu kepunyaan mereka, sedangkan itu hak orang awam untuk memakir kenderaan.

“Peniaga mungkin anggap tindakan mereka betul, tetapi jelas perbuatan ini menyusahkan pengguna terutama bagi warga emas,” katanya.

Katanya, petak yang disediakan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di kawasan-kawasan tumpuan seperti bank, kedai serbaneka, pasar raya, bengkel kereta dan kedai pakaian bertujuan memudahkan orang awam.

“Peniaga boleh halang, tetapi dengan syarat mereka perlu bayar petak sewa, selagi petak sewa di hadapan premis itu kosong, selagi itu kami berhak untuk menggunakan petak terbabit,” katanya.
Sumber : http://www.sinarharian.com.my/edisi/selangor-kl/boleh-halang-tapi-bayar-sewa-1.377066

No comments: