Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, March 26, 2015

KPDNKK wujud war room pantau aduan GST

PUTRAJAYA, 25 Mac – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) mewujudkan bilik gerakan (war room) khusus untuk menangani kes salah laku berkaitan pelaksana­an cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

Menterinya, Datuk Seri Hasan Malek berkata, bilik gerakan yang akan beroperasi pada 31 Mac ini berfungsi memantau segala aduan orang ramai berkaitan GST dan seterusnya mengambil tindakan serta-merta terhadap pihak yang didapati melakukan kesalahan khususnya di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011.

Beliau berkata, sebanyak 2,000 penguat kuasa terlibat dengan pasukan bilik gerakan itu dan sekurang-kurangnya 40 daripadanya ditempatkan di bilik tersebut manakala selebihnya akan bertugas di cawangan-cawangan seluruh negara.

“Pada peringkat permulaan war room itu akan beroperasi untuk tempoh 24 jam terutama pada ming­gu pertama pelaksanaan sistem cukai baharu itu dan kemudiannya kita akan susun semula waktu operasinya mengikut keperluan semasa.

“Kaedah yang digunakan oleh war room itu sememangnya sistematik berasaskan teknologi maklumat (IT) masa kini. Sebagai contoh, kita boleh melihat pelbagai aduan meliputi semua media sosial.

Oleh itu kita alu-alukan pengguna untuk menggunakan ruang dan peluang membantu kerajaan menjayakan GST selaras dengan matlamatnya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas merasmikan Persidangan Perniagaan Beretika Kebangsaan 2015 dan Pelancaran Buku Etika Perniagaan Malaysia (EPM), di sini hari ini.

Hasan berkata, orang ramai boleh menggunakan semua medium media sosial untuk melaporkan sebarang aduan kepada KPDNKK khususnya untuk GST selain boleh juga menghubungi melalui talian telefon terus ke bilik gerakan di 03-88826245.

Terdahulu, Hasan dalam ucapannya ber­kata, KPDNKK me­lancarkan semula Kod Etika Perniagaan Malaysia (Kod EPM) yang diterbitkan pada tahun 2007 selepas beberapa penambahbaikan dilakukan terhadap isi kandungannya.

Beliau berkata, tujuan Kod EPM itu diterbitkan semula bagi menepati kehendak dan perkembangan semasa dunia perniagaan.

“Sebagai contoh, dahulu tidak ada perniagaan dalam talian tetapi kini perniagaan itu telah menjadi paling popular di seluruh dunia dan negara kita turut tidak terkecuali, sebab itu kita olah semula panduan kod etika berkenaan.

“Kita menggesa peniaga mengamalkan etika perniagaan yang baharu ini kerana kerajaan mahu peniaga mengendalikan perniagaan secara amanah dan mengelakkan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata, penerbitan semu­la Kod EPM itu tepat pada masanya sejajar dengan pelaksanaan GST yang memerlukan satu panduan khusus untuk peniaga dan pengguna bagi mengelakkan wujudnya unsur penipuan dalam perkhidmatan.

Buku Kod EPM itu telah diolah semula oleh pelbagai pihak terma­suk Institut Integriti Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan Gabungan Persatuan Penjaja dan Peniaga Kecil Kebangsaan bagi memastikan panduan perniagaan di negara ini adalah antara yang terbaik.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/kpdnkk-wujud-war-room-pantau-aduan-gst-1.73753

No comments: