Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, March 20, 2015

Jajaran Projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat 'Kos tinggi bukan masalah besar' - Datuk Shamsudin Lias

Mohd Shamsudin (empat, kiri) beramah mesra dengan Siti ketika kunjungan Walkabout di Blok B Sawah Sempadan, semalam.
TANJONG KARANG, 19 Mac – Isu jajaran projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat yang melibatkan Tanjong Karang, Sungai Besar dan Sabak Bernam masih dalam kajian kementerian berkaitan.

Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias menjelaskan, hasil perbincangan terkini mendapati isu jajaran projek terbabit masih dalam kajian sama ada meneruskan menggunakan laluan asal.

“Timbul isu kos tinggi jika membuka laluan baru tapi bagi saya itu bukannya masalah besar...isunya adalah sama ada syarikat konsesi boleh atau tidak melaksanakan projek itu?

“Kemudahan lebuhraya ini untuk tempoh jangka panjang dan jalanraya sedia ada tidak dapat menampung jumlah kepadatan kenderaan terutamanya cuti sekolah dan hujung minggu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas lanjut mengenai perkembangan terkini projek Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat melibatkan Dun Sungai Burong.

Sinar Harian difahamkan, kerajaan masih menilai semula jajaran projek Lebuh Raya Pesisiran Pantai Barat dari Banting, Selangor ke Taiping sejauh 233 kilometer bagi mengatasi kesesakan di Lebuh Raya Utara Selatan (PLUS) dalam jangka masa panjang.

Sebelum ini katanya, hasil perbincangan adun, ahli parlimen kedua kawasan sebulat suara mahu projek terbabit dilaksanakan mengikut perancangan asal dan bukannya menggunakan laluan sedia ada.

“Kami sepakat untuk menolak projek itu dilaksanakan di jalanraya sedia ada kerana mengundang lebih banyak kesesakan lalu lintas dan timbul isu keselamatan penduduk.

“Lebih baik ikut perancangan asal iaitu membina susur keluar di Lebuhraya Pantai Barat (LPB) melalui Ban Cenal kerana kita mahukan jalan alternatif untuk elak kesesakan,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas mengunjungi rumah seorang warga emas, Siti Tahir, 84, yang tak berupaya di Blok B Sawah Sempadan sempena Program Walkabout.

Dalam program itu, sebanyak enam rumah penduduk warga emas yang sakit terlantar dan kurang upaya (OKU) dilawati bersama pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Kuala Selangor dan Unit Penyelarasan Pelaksanaan (ICU).

Sumber : http://www.sinarharian.com.my/mobile/edisi/selangor-kl/kos-tinggi-bukan-masalah-besar-1.370429

No comments: