Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, March 27, 2015

Guru 'Teach For Malaysia' (TFM) bersemangat, patut dicontohi

Para pelajar menghadiahkan kad ucapan terima kasih pada Menteri Pelajaran II, Datuk Seri Idris Jusoh yang meraikan 41 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa Tanjung Karang dalam jamuan makan tengahari di kementerian beliau di Putrajaya.
PUTRAJAYA, 26 MAC - Felo yang terlibat dengan program Teach For Malaysia (TFM) menunjukkan semangat tinggi untuk mengajar dan patut dicontohi guru-guru lain, kata Menteri Pendidikan Kedua Datuk Seri Idris Jusoh.

"Guru TFM memang ingin menjadi guru dan bersemangat untuk mengajar. Ini contoh terbaik yang mereka tonjolkan, jadi guru yang lain jangan jadi guru hanya kerana terpaksa jadi guru," katanya.

Idris berkata demikian kepada pemberita pada majlis jamuan tengah hari bersama guru TFM dan 41 pelajar tingkatan lima Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Desa, Tanjong Karang, Selangor, di pejabatnya, di sini hari ini.

Jamuan itu diadakan sebagai menunaikan janjinya kepada pelajar terbabit untuk 'belanja makan' ketika beliau mengajar mata pelajaran Bahasa Inggeris selama sejam di sekolah berkenaan, tahun lepas.

Program Teach For Malaysia atau 'Mendidik Demi Malaysia' berasaskan konsep mengajar sambil berbakti dipelopori oleh rangkaian global, Teach For All, yang memberi peluang kepada graduan cemerlang untuk berkhidmat kepada negara dengan menyertai profesion perguruan setelah menamatkan pengajian di universiti.

Program di bawah Rancangan Malaysia Ke-10 yang bermula pada Januari 2012 itu setakat ini mempunyai 240 guru yang ditempatkan di 70 sekolah berkeperluan tinggi di seluruh negara.

Pada majlis itu, Idris turut menyampaikan sumbangan peribadi sebanyak RM10,000 kepada Yayasan TFM untuk program #RedCampaign, sebuah kempen kesedaran yang bertujuan mendapatkan sokongan 500,000 rakyat Malaysia bagi merapatkan jurang pendidikan di seluruh negara.

Setakat ini, kempen itu berjaya mengumpul sumbangan sebanyak RM230,000 dan menarik sokongan daripada kira-kira 200,000 rakyat Malaysia.

Sementara itu, wakil TFM Ashaari Rahmat berkata kerjasama TFM dengan guru-guru di sekolah terbukti berkesan dalam meningkatkan kehadiran pelajar selain cuba memberi inpirasi kepada mereka untuk lebih berjaya dalam hidup.

"Kami cuba memberi semangat kepada pelajar untuk lebih berkeyakinan dengan menjadikan pengajaran lebih menarik selain menjemput personaliti korporat untuk mengajar mereka untuk memberi inspirasi," katanya. - Bernama

No comments: