Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 25, 2015

Ceramah GST untuk orang kampung

Mohd Shamsudin mengunjungi warga emas, Mernyon Taib, 97, yang terlantar sakit tua di Blok I Sawah Sempadan sempena Program Walkabout Mingguan Dun Sungai Burong.
TANJONG KARANG, 24 MAC – Tindakan tidak bertanggungjawab segelintir pihak yang cuba menyebarkan fakta tidak sahih mengenai keburukan pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) di kampung-kampung amat dikesali.

Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias menjelaskan, isu pelaksanaan GST yang sudah menjadi viral tak munasabah di laman sosial dan blog turut memberi tempias kepada orang kampung.

“Memang tak sangka mereka licik memburukkan pelaksanaan GST sedangkan negara kita disifatkan sudah terlewat jika dibandingkan negara lain yang sudah melaksanakan bertahun lalu.

“Negara jiran seperti Indonesia dan Singapura pun sudah laksanakan GST. Bagi peluang negara laksanakan dulu dan lihat apa kebaikannya. Jangan terus bantah sebab hanya termakan hasutan orang,” katanya.

Bekas Ketua Pembangkang Selangor itu berkata, PR sepatutnya tidak perlu bimbang jika BN kononnya akan jatuh dalam pilihanraya umum akan datang disebabkan GST.

“Buat apa mereka takut BN jatuh? Kalau ikutkan logik akal, sepatutnya mereka suka tapi sebenarnya mereka bimbang kerana pelaksanaan GST ini akan memberi manfaat kepada rakyat.

“Sebab itu mereka cuba racun pemikiran rakyat dengan viral tak munasabah, sedangkan fakta dan saluran maklumat mengenai kebaikan GST oleh pihak kastam sendiri dalam berita sudah terbukti.

“Saya optimis dengan pelaksanaan GST ini sebab saya berlatarbelakangkan bidang ekonomi… boleh lihat pelaksanaan ini memberi kesan positif kepada ekonomi negara untuk jangka masa panjang,” katanya.

Bagi membuka minda orang kampung katanya, sesi ceramah dan taklimat kampung ke kampung dijalankan pihak Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) dan Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa).

“Penerangan dan sesi taklimat mengenai GST amat penting bagi membolehkan orang kampung memahami dengan lebih jelas sebab saya tak mahu mereka diasak dengan maklumat tak munasabah.

“Saya berharap pendekatan terus ke akar umbi seperti ini dapat memberi gambaran jelas mengenai usaha kerajaan untuk meningkatkan ekonomi negara melalui pelaksanaan GST ini,” katanya selepas mengunjungi warga emas, Mernyon Taib, 97, yang terlantar sakit tua di Blok I Sawah Sempadan sempena Program Walkabout Mingguan Dun Sungai Burong.

No comments: