Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, March 27, 2015

1,800 barang kena, 
dikecuali GST disenarai

MOHAMMAD Sabri Saad (kanan) menjawab soalan wartawan pada sidang akhbar selepas seminar Pelaksanaan GST: Implikasi Terhadap Anda di Ipoh, Perak, semalam.
IPOH, 26 MAC – Sebanyak 1,800 barang yang dikenakan serta dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST) telah disenaraikan menjelang pelaksanaan sistem percukaian itu pada 1 April ini.

Penolong Kanan Pengarah Kastam I, Bahagian GST, Mohammad Sabri Saad berkata, senarai itu akan memberi gambaran terperinci kepada pengguna sama ada sesuatu barang itu dikenakan atau dikecualikan daripada GST.

Katanya, senarai itu adalah yang terbaharu dan pengguna boleh mendapatkan maklumat mengenainya menerusi laman web Jabatan Kastam Diraja Malaysia.

“Buat masa ini sebanyak 1,800 barang serbaneka telah disenaraikan dan jumlah itu boleh meningkat selepas ini mengikut barang yang berada di pasaran.

“Kami juga akan sentiasa mendapatkan maklumat mengenai barang daripada persatuan peruncitan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menjadi panel seminar Pelaksanaan GST: Implikasi Terhadap Anda yang dirasmikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Pengguna, Sumber Manusia dan Masyarakat Sivil negeri, Datuk Samsudin Abu Hassan di sini hari ini.

Yang turut hadir, Speaker Dewan Undangan Negeri, Datuk Seri S. K. Devamany; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Darul Ridzuan (IDR), Dr. Mazalan Kamis dan Pengarah iHalal, Pengurusan dan Sains, Fakulti Pengurusan Perniagaan, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Professor Dr. Faridah Hassan.

Dalam pada itu, ketika ditanya mengenai kebimbangan orang ramai terhadap tindakan peniaga tidak bertanggungjawab yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan GST, Mohammad Sabri memberitahu, golongan pengguna perlu memainkan peranan dengan melaporkannya kepada pihak berkuasa.

“Kerajaan tidak boleh melakukan segala-galanya, memang ada pegawai Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) memantau perkara ini, tetapi para pengguna juga perlu memainkan peranan dengan menyalurkan maklumat.

“Beritahu pada KPDNKK mengenai peniaga yang mengambil kesempatan menjual dengan harga yang sangat tinggi, berbeza dengan kadar selepas dikenakan GST. Ini supaya pihak bertanggungjawab tahu mengenainya dan boleh bertindak segera,” jelas beliau.

Mengulas mengenai pelaksanaan GST, Samsudin memberitahu, seramai 33 kakitangan yang memainkan peranan sebagai pegawai pemantau telah ditempatkan di negeri ini.

Selain memantau peniaga, Samsudin berkata, pegawai-pegawai itu juga akan menerima aduan dan memeriksa kedai bagi memastikan tiada pihak yang mengambil kesempatan daripada pelaksanaan sistem percukaian itu.
Sumber : http://www.utusan.com.my/berita/nasional/1-800-barang-kena-8232-dikecuali-gst-disenarai-1.74044

No comments: