Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, August 29, 2014

Waspada ideologi 'si kitol' moden

KUALA SELANGOR, 28 Ogos - Golongan muda khususnya anak penduduk yang berjaya melanjutkan pelajaran ke institusi pengajian tinggi (IPT) dinasihatkan jangan terlalu taksub dan terpedaya ideologi pluralisme yang dibawa si kitol moden demi kepentingan peribadi.

Ahli Parlimen Tanjong Karang, Datuk Seri Noh Omar menjelaskan, golongan muda sering menjadi sasaran ideologi halus dimainkan si kitol moden ini yang berperanan sebagai pengkhianat sehingga mereka sanggup menggadaikan maruah tanpa memikirkan kesannya terhadap negara, bangsa dan agama.

Menurutnya, jika orang tua dahulu sanggup bergadai nyawa dan harta benda demi mencapai kemerdekaan tetapi orang muda kini dilihat sanggup menggadaikan maruah demi memuaskan perjuangan peribadi.

"Mereka yang sanggup gadai maruah ini punya agenda peribadi yang lebih penting daripada kepentingan negara sehingga sanggup jadi tali barut dan si kitol moden, inilah watak yang membahayakan masa depan negara.

"Kita jangan ingat perjuangan kemerdekaan ini sudah selesai, sebenarnya kita masih belum merdeka sepenuhnya dan perjuangan ini tidak akan selesai sampai bila-bila selagi penghayatan merdeka itu belum cukup mendalam.

"Sebab itu saya sokong sepenuhnya mata pelajaran Sejarah wajib lulus supaya anak penduduk diterapkan fakta sejarah supaya mereka tak mudah terpedaya," katanya dalam sidang media di Sekolah Kebangsaan Kuala Selangor, semalam.

Beliau hadir bersama isteri, Datin Profesor Dr Aishah Salleh sempena Majlis Perasmian di Ambang Kemerdekaan 2014, Penyampaian Alat Tulis Peperiksaan 2014, Dermasiswa Bakti dan Wang Pendahuluan PTPTN Parlimen Tanjong Karang.

Hadir sama, Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak, Pengurus Besar Pejabat PTPTN Negeri Zon Tengah, Zulkifli Ansari; Wakil Pejabat Pendidikan Daerah Kuala Selangor, Mt Safien Kassim dan Guru Besar SK Kuala Selangor, Abdul Rahman Marhaban.

Noh yang juga Pengerusi Majlis Tindakan Persekutuan Negeri Selangor berkata, pihaknya turut mengingatkan anak penduduk di Parlimen Tanjong Karang yang berjaya melanjutkan pelajaran ke IPT supaya sentiasa ingat akan jasa ibu bapa.

"Jangan sesekali jadi anak derhaka dan lupa jasa ibu bapa selepas berjaya kerana hidup kita tanpa restu orang tua memang tak berkat. Hargai jasa mereka sementara masih ada di dunia ini.

"Saya bercakap berdasarkan pengalaman, berkat doa ibu bapalah saya boleh berjaya seperti sekarang. Sebab itu saya selalu ingatkan anak penduduk supaya jangan lupakan pengorbanan keluarga," katanya. - SinarHarian

No comments: