Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, May 3, 2013

MENJELANG PRU13 - Momentum Sokongan Rakyat Meningkat, Noh Yakin BN Dapat Tawan Selangor

TANJONG KARANG - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar yakin momentum sokongan rakyat kepada Barisan Nasional (BN) yang semakin meningkat dari hari ke hari, akan membolehkan parti itu merampas kembali pemerintahan Kerajaan Negeri Selangor pada pilihan raya umum ke-13 (PRU13), 5 Mei ini. Keyakinan itu, katanya disandarkan kepada sambutan yang amat baik daripada rakyat terhadap program dan aktiviti turun padang oleh BN.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata rakyat sudah jelak dengan pembangkang, yang hanya pandai menabur janji manis tetapi gagal menunaikannya, sepanjang hampir lima tahun memerintah Selangor.

"Saya tengok hari ini mood dan gelombang sokongan rakyat amat jelas. Kalau dahulu pihak Badan Bukan Kerajaan (NGO) memihak sebelah sana (pembangkang) tetapi sekarang semua sudah buat pusingan U dan beri sokongan kepada kita.

"Anak muda juga datang menawarkan diri secara sukarela untuk bantu BN dan memberitahu bahawa mereka telah melakukan kesilapan menyokong pembangkang pada 2008 yang jelas cakap tidak serupa bikin," katanya kepada wakil media selepas melancarkan program Guru Muda 1Malaysia peringkat daerah Kuala Selangor, semalam.

Noh yang akan mempertahankan kerusi Parlimen Tanjong Karang turut berkeyakinan bahawa BN akan memenangi lebih banyak kerusi Parlimen dan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRU13, berbanding pada PRU12 pada 2008.

Pada PRU12, BN memenangi lima daripada 22 kerusi Parlimen dan 20 daripada 56 kerusi DUN.
'KAMI MENDENGAR... YAKINI BN.!!!'

Pengundi Cina terus beri sokongan padu kepada Barisan Nasional

TANJONG KARANG - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar percaya pengundi Cina akan memilih kerajaan BN sama ada di Selangor ataupun Malaysia berdasarkan fenomena yang berlaku di negeri yang diperintah pakatan pembangkang.

Menurutnya, pengalaman selama lima tahun selepas PRU 2008 banyak memberikan pengajaran buat semua pihak bagi mengenal pasti tiada berlakunya lagi kehidupan rakyat yang tidak dibela.

“Kita dapat lihat sambutan rakyat berbangsa Cina terutamanya di kawasan Pasir Penambang dan Tanjung Karang sememangnya di luar dugaan, setiap kali kita mengadakan kempen atau program sempena pilihan raya kali ini,” katanya ketika ditemui selepas majlis pecah tanah untuk pembinaan jeti di Bagan Sungai Yu Pasir Penambang, kelmarin.

Pada majlis itu, Noh amat kagum melihat sokongan nelayan Cina apabila lebih 70 bot nelayan yang dihiasi logo dan poster BN mengiringi beliau dari jeti baru Kuala Selangor hingga ke Kampung Pasir Penambang.

“Sudah jelas sekarang kita mendapat sokongan padu daripada pengundi Cina untuk menyokong BN dan mereka begitu bersemangat menunjukkan sokongan mereka untuk kerajaan BN berbanding semasa PRU lalu.

“Kita amat yakin bilangan pengundi Cina di Parlimen Tanjung Karang khasnya yang menyokong BN sudah bertambah kerana kerajaan banyak membantu mereka dengan pelbagai kemudahan,” katanya.
'KAMI MENDENGAR... YAKINI BN.!!!'