Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, May 8, 2013

PRU13 - Majoriti Meningkat Bukti Momentum Sokongan Rakyat Dan Pengundi Parlimen Tanjong Karang Tidak Pernah Berubah

Kemenangan yang diperoleh calon Barisan Nasional (BN) dengan jumlah majoriti meningkat berbanding Pilihanraya Umum ke-12 (PRU12) lalu membuktikan sokongan rakyat dan pengundi di Parlimen Tanjong Karang tidak berubah.

Penyandang kerusi Parlimen, Datuk Seri Noh Omar yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, pihaknya berterima kasih kepada pengundi yang memberi kepercayaan sekali lagi untuk menjadi wakil rakyat di kawasan ini buat lima tahun lagi.

Menurutnya, kepercayaan itu turut diberikan kepada kedua calon BN di Dun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Dun Permatang, Sulaiman Abd Razak apabila menang dalam pilihanraya kali ini.

“Dengan kemenangan kami bertiga di kawasan ini dengan majoriti meningkat membuktikan perpaduan dalam Umno dan komponen BN yang kukuh dan mempertahankan kubu kuat di sini.

“Kita berjaya memenangi semua kerusi yang ditandingi dan berterima kasih juga kepada petugas Suruhanjaya Pilihanraya (SPR) yang melaksanakan tugas dengan baik dan adil, malah tiada insiden yang mencemarkan perjalanan pilihanraya,” katanya yang menang majoriti 4,394 undi berbanding 3,820 undian pada 2008.

Sementara itu, Mohd Shamsudin yang memenangi kerusi Dun buat penggal ketiga berkata, kemenangan ini menjadikan usaha tiga kali ganda pihaknya untuk memastikan kesejahteraan pengundi di Dun Sungai Burong terus diberi perhatian.

“Kepercayaan pengundi memberi saya peluang untuk berkhidmat sekali lagi untuk lima tahun lagi dan kini tiba giliran saya untuk membuktikan mereka membuat pilihan tepat,” katanya yang menang selesa dengan 11,464 undian sekali gus menewaskan Mohamad Judi Sarjo yang menerima 8,431 undian.

Bagi Sulaiman yang berjaya mengekalkan kerusi buat dua penggal itu gembira apabila pengundi di kawasan Permatang masih mempercayainya dan akan melaksanakan janji manifesto yang diberikan sebelum ini untuk membantu membela nasib penduduk.

No comments: