Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, April 11, 2013

Jangan Jadi Batu Api, Utamakan Kemenangan BN

SHAH ALAM, 11 April – Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar mengingatkan pemimpin akar umbi dan penyokong BN di negeri ini agar tidak menyemarakkan api ‘ketua’ masing-masing sekiranya tidak dicalonkan untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum Ke 13 (PRU13) 5 Mei nanti.

Ujarnya, semua ahli BN perlu memfokuskan kepada kemenangan BN di Selangor, bukannya kejayaan ‘ketua’ mereka dicalonkan dalam PRU13.

“Saya merayu kepada pemimpin akar umbi, sekiranya ada ‘bos’ masing-masing tidak dicalonkan, kita harap jangan dicurahkan minyak, tetapi nasihatkan supaya keadaan ini reda.

“Kalau jentera BN berjalan baik di bawah satu pasukan, saya yakin penuh BN akan menang,” katanya dalam sidang media selepas perjumpaan bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) yang turut dihadiri Timbalan Pengerusi Pilihan Raya BN Selangor, Datuk Seri Mohd Zin Mohamed di sini Rabu.

Beliau mengakui mungkin akan ada penyokong yang kecewa sekiranya ‘ketua’ mereka tidak dicalonkan tetapi mereka mesti memberikan kata-kata positif demi kemenangan BN termasuk tidak memburukkan calon BN yang bakal bertanding.

Tambahnya, di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak begitu banyak perubahan berlaku terutamanya sokongan kepada BN malah beliau tidak menafikan semua pihak terlibat.

“Setiap pemimpin BN di Selangor terlibat secara langsung untuk membangunkan semula BN di Selangor tetapi kita sedia maklum pemimpin yang layak, hebat dan banyak berkorban ini ramai tetapi yang jadi calon amat terhad.

“Ada kawasan perlu seorang sahaja calon tetapi ramai yang layak. Kerana itu saya minta jangan mempertikaikan calon yang dipilih dan jangan lihat calon, tetapi lambang BN kerana kita adakan pilihan raya untuk menubuhkan kerajaan (mengembalikan kuasa BN di Selangor),” katanya.

Mengulas mengenai program tersebut, beliau dan Mohd Zin mengadakan perjumpaan santai bersama 380 JKKKP seluruh Selangor serta memberikan taklimat mengenai isu semasa dan taklimat mengenai manifesto PRU13.

“Semua mahukan perubahan, untuk menjayakan harapan ini maka jentera pilihan raya ini mesti bekerja sebagai satu pasukan,salah satu caranya kita mesti menerima siapa juga calon. Kita tidak boleh nafikan dalam tempoh lima tahu kita lemah, lesu dan hilang kuasa, bukannya mudah untuk kita bangunkan semula semangat ini,” katanya.
'KAMI MENDENGAR... YAKINI BN.!!!'

No comments: