Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 27, 2013

Beri Permit Teksi - Pembangkang Dibidas Cuba Menipu Rakyat

KUALA SELANGOR, 26 MAC - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar membidas kenyataan pengarah strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Rafizi Ramli yang menuduh pemberian permit teksi individu sebagai tindakan yang meniru dasar pembangkang.

Noh berkata beliau pernah memberi 3,000 permit teksi individu kepada pemandu teksi semasa memegang jawatan sebagai Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi sekitar 2008 dan 2009.

"Ketika itu Datuk Seri Najib Tun Razak yang sampaikan permit itu. Bagaimana Rafizi boleh cakap Perdana Menteri ciplak idea, padahal mereka yang ciplak idea BN. Ini tuduhan yang kurang cerdik," katanya dalam sidang media selepas menyampaikan anugerah kepada 282 pelajar cemerlang Parlimen Tanjong Karang di sini, Selasa.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Rafizi semalam yang mendakwa Perdana Menteri meniru dasar pembangkang dan menggunakannya untuk menarik sokongan pemandu teksi supaya mengundi BN pada pilihan raya umum akan datang.

Najib pada Ahad lepas mengumumkan pemberian 1,000 permit teksi individu kepada pemandu teksi pada majlis Janji Ditepati-Pemberian Lesen Teksi Individu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya.

Pada majlis itu, Perdana Menteri menyerahkan permit individu pertama kepada 200 penerima.
"BN MENANG, RAKYAT SENANG"

No comments: