Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, February 1, 2013

Isu Capex Syabas - MB kena ikhlas, kata Noh

TANJONG KARANG - Tindakan Kerajaan Negeri membekukan perbelanjaan modal (Capex) Syabas atas alasan ia gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian konsesi membuktikan pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak serius menangani isu krisis air di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, alasan kerajaan negeri membekukan Capex tidak munasabah dan ternyata corak pemikiran pemimpin pakatan pembangkang itu lebih mengutamakan politik dan keuntungan semata-mata.

“Apabila Capex dibekukan, sudah tentu Syabas tidak boleh melaksanakan kerja pembaikan paip bermasalah dan rakyat negeri ini perlu bijak menilai corak pemikiran pemimpin pakatan pembangkang dalam menangani isu krisis air ini.

“Ini bezanya dengan Kerajaan Persekutuan, kita bukan sahaja membantu menyalurkan peruntukan RM606 juta untuk Program Mitigasi Air termasuk kerja baiki paip dan membina loji tambahan di Sungai Labu, bahkan membantu memberikan pinjaman kepada Kerajaan Selangor.

“Saya mahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan perkara ini kepada rakyat dengan ikhlas, berapa pinjaman yang diterima, bila mereka dapat dan ke mana perginya peruntukan itu untuk membantu menangani masalah krisis air ini.

“Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak pernah membangkitkan perkara ini dalam sidang Dun, namun Adun Ijok itu seolah-olah berdolak dalih dan sering memberikan jawapan yang tidak konsisten.

“Inilah bezanya pemikiran pemimpin PR dengan BN, sedangkan kita memikirkan nasib rakyat dan berusaha untuk mengatasi masalah krisis air, PR pula sibuk mengelirukan rakyat dengan isu penstrukturan air,” katanya ketika diminta mengulas isu PR membekukan Capex.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor mengakui membekukan Capex kerana Syabas gagal memenuhi tanggungjawab, malah Pakatan Rakyat wajib mempertahankan serta mengutamakan kepentingan pengguna, nilai wang supaya rakyat tidak terbeban untuk membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia.

“Perkhidmatan air adalah tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan bukannya diuruskan syarikat swasta yang memeras ugut Kerajaan Negeri, menindas rakyat dan berorientasikan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut isu itu, Noh berkata, Abdul Khalid perlu berhenti menipu rakyat berhubung isu penstrukturan semula air di negeri ini yang mendakwa gagal direalisasikan kerana Kerajaan Pusat enggan turut serta.

“Kerajaan Persekutuan tiada halangan untuk kerajaan negeri membuat penstrukturan semula air dan perkara ini sudah pun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kenapa MB masih menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak menyokong, kita hanya mahu MB jangan kelirukan rakyat dengan isu krisis air dan penstrukturan semula air kerana kedua isu itu adalah berbeza.

“Jangan disebabkan penstrukturan semula air ini, bekalan air untuk rakyat terganggu dan jika masih gagal diselesaikan, rakyat yang menanggungnya nanti,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka Tanjong Karang, pada 24 Januari lepas..

Hadir sama, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak manakala dalam program sama, kempen derma darah serta pameran agensi kerajaan turut diadakan.

Program tahunan itu kali ini menerima penyertaan hampir 3,000 peserta dan meskipun dalam keadaan hujan, peserta bersemangat berarak sejauh dua kilometer mengelilingi Pekan Tanjong Karang bermula jam 8 pagi.
>>> GALERI GAMBAR <<<

No comments: