Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, February 5, 2013

Kerajaan Selangor Digesa Selesaikan Tuntutan Rakyat Melalui Rundingan Bukan Di Mahkamah

TANJUNG KARANG, 4 FEB - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar menasihati kerajaan Selangor supaya menggunakan meja rundingan bagi menyelesaikan masalah atau tuntutan rakyat daripada menggunakan saluran mahkamah.

"Untuk menyelesaikan masalah rakyat ni bukannya di mahkamah tetapi rakyat ada hak untuk menuntut di mahkamah," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan awal persekolahan kepada hampir 1,000 ibu bapa kepada pelajar Sekolah Kebangsaan Sungai Burong dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Burong di sini Isnin.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata demikian ketika mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini yang menolak dengan kos permohonan kerajaan Selangor dan Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk mengenepikan saman tuntutan pemberian air percuma daripada lebih 700 pengguna meter air pukal di Selangor.

Beliau berkata jika kerajaan Selangor adalah sebuah kerajaan yang ikhlas dan bertanggungjawab dan hendak menunaikan janji serta mengakui manifesto itu satu janji sewajarnya mereka boleh berunding dengan kumpulan rakyat yang membuat tuntutan itu di luar mahkamah.

Namun, nampaknya kerajaan negeri pakatan pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat, DAP dan PAS masih mahu terus bermain politik sedangkan mandat pemerintahan mereka akan berakhir beberapa bulan lagi sebelum pilihan raya umum diadakan, kata beliau.

Noh berkata: "Kerajaan negeri kena bersedia bahawa kebangkitan rakyat Selangor jelas mereka nak menuntut hak mereka kerana janji-janji manis PKR masa kempen pilihan raya 2008 menyebabkan rakyat terpengaruh dengan janji mereka, maka rakyat sokong mereka dan Barisan Nasional kalah di negeri Selangor."

Beliau berkata setelah pengguna-pengguna air dan ibu-ibu tunggal memfailkan tuntutan mereka terhadap janji kerajaan negeri yang tidak ditepati di mahkamah, kumpulan warga emas yang masih tidak mendapat caruman takaful RM2,500 dan peniaga yang tidak menikmati potongan cukai pintu sebanyak 10 peratus sedang melakukan persedian untuk tindakan yang sama.

Sementara itu, dalam ucapannya beliau berkata ekoran masalah kekurangan bekalan air untuk jangka panjang di Selangor, sejumlah 450 projek kilang tidak dapat dilaksanakan dan ini mengakibatkan kehilangan 20,000 peluang pekerjaan kepada anak-anak Selangor.

Oleh kerana tiada jaminan bekalan air akan cukup bila kilang berkenaan siap nanti maka projek berkenaan tidak dapat dilaksanakan dan dikhuatiri para pelabur akan lari mencari peluang pelaburan di negeri-negeri lain mengakibatkan Selangor menjadi mundur, katanya.

Faktor yang sama juga menyebabkan projek-projek perumahan baharu tidak dapat dilaksanakan di Selangor dan bakal mengakibatkan kenaikan harga rumah di negeri ini, kata Noh.

Bagaimanapun, Noh berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin Kerajaan Pusat telah melaksanakan projek mitigasi untuk mengatasi masalah air di Selangor dengan peruntukan RM606 juta tahun lepas, di mana RM354 juta telah disalurkan kepada Kerajaan Negeri dalam bentuk pinjaman bagi tujuan yang sama tetapi nampaknya tiada apa-apa kemajuan atau perubahan di Selangor.

Oleh itu minggu lepas, Kerajaan Persekutuan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM125 juta lagi bagi projek mitigasi untuk bekalan air di Selangor, katanya.

Pada masa yang sama Noh berkata walaupun ada pihak yang mengatakan memang sepatutnya kerajaan memberi balik kepada rakyat duit hasil kutipan cukai menerusi bantuan awal persekolahan atau Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M), bukan semua kerajaan berbuat begitu.

Mungkin ramai yang tidak perasan sebelum ini Kerajaan Malaysia memberikan subsidi bernilai RM25 bilion setahun agar rakyat Malaysia membayar harga yang rendah untuk bahan api yang menggerakkan kenderaan mereka, gas memasak untuk memasak makanan mereka dan bahan asas lain seperti tepung, gula dan minyak masak, katanya.

Bahkan, katanya ada yang berkata kerajaan boleh bankrap kerana memberi subsidi dan bantuan langsung secara tunai kepada rakyat tetapi sebenarnya kerajaan mampu berbuat demikian kerana hasil kutipan cukai yang meningkat di mana pada tahun lepas Lembaga Hasil Dalam Negeri mengutip RM125 bilion.

Friday, February 1, 2013

Isu Capex Syabas - MB kena ikhlas, kata Noh

TANJONG KARANG - Tindakan Kerajaan Negeri membekukan perbelanjaan modal (Capex) Syabas atas alasan ia gagal memenuhi tanggungjawab dalam perjanjian konsesi membuktikan pimpinan Pakatan Rakyat itu tidak serius menangani isu krisis air di negeri ini.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, alasan kerajaan negeri membekukan Capex tidak munasabah dan ternyata corak pemikiran pemimpin pakatan pembangkang itu lebih mengutamakan politik dan keuntungan semata-mata.

“Apabila Capex dibekukan, sudah tentu Syabas tidak boleh melaksanakan kerja pembaikan paip bermasalah dan rakyat negeri ini perlu bijak menilai corak pemikiran pemimpin pakatan pembangkang dalam menangani isu krisis air ini.

“Ini bezanya dengan Kerajaan Persekutuan, kita bukan sahaja membantu menyalurkan peruntukan RM606 juta untuk Program Mitigasi Air termasuk kerja baiki paip dan membina loji tambahan di Sungai Labu, bahkan membantu memberikan pinjaman kepada Kerajaan Selangor.

“Saya mahu Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menjelaskan perkara ini kepada rakyat dengan ikhlas, berapa pinjaman yang diterima, bila mereka dapat dan ke mana perginya peruntukan itu untuk membantu menangani masalah krisis air ini.

“Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak pernah membangkitkan perkara ini dalam sidang Dun, namun Adun Ijok itu seolah-olah berdolak dalih dan sering memberikan jawapan yang tidak konsisten.

“Inilah bezanya pemikiran pemimpin PR dengan BN, sedangkan kita memikirkan nasib rakyat dan berusaha untuk mengatasi masalah krisis air, PR pula sibuk mengelirukan rakyat dengan isu penstrukturan air,” katanya ketika diminta mengulas isu PR membekukan Capex.

Sebelum ini, Abdul Khalid berkata, Kerajaan Selangor mengakui membekukan Capex kerana Syabas gagal memenuhi tanggungjawab, malah Pakatan Rakyat wajib mempertahankan serta mengutamakan kepentingan pengguna, nilai wang supaya rakyat tidak terbeban untuk membayar tarif bagi perbelanjaan yang sia-sia.

“Perkhidmatan air adalah tanggungjawab bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan bukannya diuruskan syarikat swasta yang memeras ugut Kerajaan Negeri, menindas rakyat dan berorientasikan keuntungan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mengulas lanjut isu itu, Noh berkata, Abdul Khalid perlu berhenti menipu rakyat berhubung isu penstrukturan semula air di negeri ini yang mendakwa gagal direalisasikan kerana Kerajaan Pusat enggan turut serta.

“Kerajaan Persekutuan tiada halangan untuk kerajaan negeri membuat penstrukturan semula air dan perkara ini sudah pun diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Kenapa MB masih menyatakan Kerajaan Persekutuan tidak menyokong, kita hanya mahu MB jangan kelirukan rakyat dengan isu krisis air dan penstrukturan semula air kerana kedua isu itu adalah berbeza.

“Jangan disebabkan penstrukturan semula air ini, bekalan air untuk rakyat terganggu dan jika masih gagal diselesaikan, rakyat yang menanggungnya nanti,” katanya dalam sidang media sempena Sambutan Maulidur Rasul Parlimen Tanjong Karang di Padang Astaka Tanjong Karang, pada 24 Januari lepas..

Hadir sama, Adun Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Adun Permatang, Sulaiman Abd Razak manakala dalam program sama, kempen derma darah serta pameran agensi kerajaan turut diadakan.

Program tahunan itu kali ini menerima penyertaan hampir 3,000 peserta dan meskipun dalam keadaan hujan, peserta bersemangat berarak sejauh dua kilometer mengelilingi Pekan Tanjong Karang bermula jam 8 pagi.
>>> GALERI GAMBAR <<<