Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, December 10, 2012

Noh dakwa kerajaan Selangor tidak beri kerjasama

Beliau merujuk kepada satu program di bawah Lembaga Pertubuhan Peladang Selangor di Banting pada September lalu yang didakwa bermotif politik sehingga mendapat halangan daripada pihak penguatkuasa.

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor didakwa bersikap berat sebelah apabila tidak memberi kerjasama kepada kerajaan Persekutuan yang mengadakan pelbagai program di negeri itu.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar membuat dakwaan itu berhubung satu program Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang berada di bawah kemnenteriannya September lalu.

Beliau berkata program tersebut mendapat halangan daripada pihak penguatkuasa.

Katanya walaupun program tersebut diadakan di tanah persendirian namun ia mendapat halangan sehingga wujud kehadiran 20 lori dari pihak penguatkuasa pada ketika itu.

“Kita tutup (program) sebab penguatkuasa ramai. Bila malam nak buat kugiran oleh pihak TEKUN ia dihalang sedangkan ia diadakan di tanah persendirian. Jelas wujud berat sebelah sebab PKR takut dengan bayang-bayang. Bila dia (kerajaan Selangor) buat program di tanah persendirian semua boleh.

“Saya difahamkan program tersebut dihalang kerana bertujuan politik, kerana PKR adakan taklimat tentang isu Talam di Banting,” katanya dalam satu sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai tindakan kerajaan Selangor yang mengadakan Selangor Agro Fest 2012 dijadualkan berlangsung pada 11 hingga 16 Disember sedangkan kementerian pertanian dan industri asas tani turut mengadakan pelbagai program seumpama itu.

Peruntukan persekutuan lebih banyak

Dalam perkembangan berkaitan, Noh berkata kerajaan persekutuan memperuntukan sehingga RM 5.5 bilion (2011 hingga 2012) kepada rakyat Selangor membabitkan pelbagai projek pembangunan.

Menurut Noh, peruntukan kerajaan persekutuan ini lebih tinggi berbanding kerajaan Selangor yang ditadbir Pakatan Rakyat.

Bilangan projek adalah 439 dengan 280 projek adalah projek baru dengan peruntukan (RM2.8 bilion) manakala projek sambungan 159 projek (RM2.85 bilion).

“Selain itu kita ada projek di bawah peruntukan JAKIM iaitu sebanyak RM32 juta merangkumi pelbagai elaun kepada imam, kelas agama dan fardu ain (KAFA), guru takmir dan lain-lain. Melalui program pembasmian kemiskinan peruntukan diberi adalah sebanyak RM5 juta yang membabitkan program Bantuan Rumah, Kementerian Kemajuan Luar Bandan dan Wilayah.

“Pelaksanaan peruntukan Khas tahun 2012 di bawah peruntukan Perdana Menteri juga adalah sebanyak RM56 juta dengan 308 projek.

“Manakala di bawah peruntukan timbalan perdana menteri diberi peruntukan sehingga RM7 juta dengan 90 projek,” jelas beliau yang juga timbalan pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor.