Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, October 25, 2012

Pemimpin politik disaran rujuk pakar Agama - Noh Omar

KUALA LUMPUR - Semua pemimpin politik di Malaysia tidak kira daripada Barisan Nasional (BN) mahupun Pakatan Rakyat (PR) digalakkan merujuk pihak ketiga terlebih dahulu sebelum memutuskan sesuatu perkara terutamanya yang berkaitan dengan Islam. Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Noh Omar berkata, walaupun seseorang pemimpin itu dianggap sebagai tokoh agama, ia tidak bermaksud beliau tiada kelemahan dan setiap tindakannya itu benar.

Mengambil contoh percanggahan pendapat yang sering berlaku di kalangan ulama-ulama di dalam PAS, Noh berpendapat nasihat daripada pihak ketiga yang tidak berkepentingan politik dan bebas boleh memainkan peranan di dalam mendapatkan sesuatu keputusan yang rasional.

"Saya bersetuju dengan beberapa pandangan bahawa pemimpin ialah manusia biasa. Kita terdedah dengan sifat-sifat kelemahan kita dan sebagai manusia kita tentu tidak akan mengetahui apa yang kita buat ini semuanya benar. Jadi sebab itu kita perlukan nasihat, teguran dan juga pandangan daripada tokoh-tokoh yang tertentu. Tetapi teguran itu haruslah diberi secara profesional..bukan kerana ada kepentingan politik.

“Saya percaya bab agama ini diperlukan kepada semua pemimpin termasuk pemimpin BN, pemimpin PAS. Sekarang ini kita tengok pemimpin PAS ini banyak juga yang berpendidikan sekular. Timbalannya, Naib Presidennya, berpendidikan sekular. Malah ulama-ulamanya juga kadang-kadang memberikan pandangan yang bercanggah.

“Jadi eloklah dia dapatkan ‘third party opinion’ (pendapat ketiga)..(daripada) orang yang tidak ada kepentingan, tetapi orang yang melihat benar-benar dari segi agama. Dan saya nak tegaskan bukan sahaja dari segi agama, tetapi semua bidang. Sebagai manusia kita mesti memerlukan pandangan-pandangan yang rasional dari orang lain,” katanya kepada wakil media.

Dirinya sendiri jelas beliau, meskipun berpengetahuan di dalam bidang perundangan, tetapi sebagai Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, beliau tetap akan mendapatkan nasihat dan pandangan daripada penasihat undang-undang di dalam membuat sesuatu keputusan.

“Kita tak boleh kata kita tahu semuanya. Macam saya peguam, walaupun saya peguam tahu undang-undang, tetapi dalam menjalankan tugas saya kena rujuk penasihat undang-undang, kena minta third party opinion..saya percaya tokoh agama juga begitu.

“Kalau dalam bidang agama, walaupun ada pemimpin yang dilihat sebagai tokoh agama, saya percaya dia juga memerlukan nasihat dan juga pandangan kerana sebagai manusia kita ada kelemahan kita,” jelas beliau.

VIDEO.!!! Noh Omar minta MB Selangor perjelas dakwaan jual aset PKNS

KUALA LUMPUR 24 Okt. - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar tampil memberi penjelasan penuh berhubung dakwaan Lembaga Pengarah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) meluluskan penjualan lima aset milik anak syarikat kerajaan negeri itu berjumlah RM321 juta.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, lima aset itu ialah Menara PKNS Petaling Jaya dengan harga RM90 juta; Pusat Konvensyen Shah Alam (RM97 juta); Kompleks PKNS Shah Alam (RM85 juta); Kompleks PKNS Bangi (RM42 juta) dan Wisma Yakin (RM7 juta).

"Saya tidak mahu tuduh, sebab itu saya mahu Menteri Besar tampil memberikan penjelasan, esok atau lusa. Bagaimanapun, saya ingin memaklumkan terlebih dahulu kepada Menteri Besar bahawa saya mempunyai bukti terhadap dakwaan tersebut, sebab itu saya berani membangkitkan perkara ini.

"Saya difahamkan proses penjualan belum dimuktamadkan kerana surat perjanjian masih belum ditandatangani tetapi berada pada peringkat akhir kerana secara asasnya Lembaga Pengarah PKNS telah bersetuju untuk menjualnya.

"Sekarang terpulang kepada Menteri Besar, kalau beliau kata 'ya', maka aset-aset tersebut akan dijual, begitu juga sebaliknya," katanya pada sidang akhbar di lobi parlimen hari ini.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, cabaran ini merupakan yang ketiga kepada Abdul Khalid selepas dua cabaran terdahulu ditolak oleh Menteri Besar itu.

"Kali pertama saya cabar beliau berhubung isu Yayasan Selangor dan kedua pula berkaitan Universiti Selangor (Unisel). Ini merupakan cabaran ketiga dan saya sangat menuntut penjelasan daripada Menteri Besar memandangkan sebelum ini beliau sering mengatakan PKNS kaya, banyak duit, jadi mengapa harus menjual aset-aset tersebut?

"Inikah Menteri Besar yang disifatkan cemerlang oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim? Mungkin Abdul Khalid cemerlang dalam perkara tertentu seperti menghabiskan harta kerajaan negeri dan tidak melaksanakan janji-janji pada pilihan raya umum lalu," jelasnya.

Mengulas mengenai pentadbiran kerajaan negeri Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang disifatkannya gagal, Noh memberitahu, pegawai serta kakitangan kerajaan negeri telah mula sedar dan tidak lagi gembira dengan pemerintahan sedia ada.

Katanya, golongan berkenaan sudah boleh membezakan pentadbiran mana yang lebih telus di antara BN dan PKR.

"Ramai yang jumpa saya, kakitangan kerajaan negeri, pegawai, penguat kuasa, malah pemandu juga ada menyuarakan keluhan mereka terhadap pemerintahan PKR di Selangor. Mereka sudah boleh membezakan apabila pegawai penguat kuasa dikerah menjaga ceramah-ceramah politik, yang tidak sepatutnya dilakukan.

"Berdasarkan maklum balas serta sokongan ini, saya yakin pada pilihan raya umum akan datang, BN mampu menawan semula Selangor," ujarnya.