Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, October 9, 2012

Noh cabar Khalid jawab isu air susut

KLANG, 8 Okt - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dicabar memberikan jawapan berhubung masalah penyusutan air di Terusan Besar Sungai Sireh, Tanjong Karang yang bakal menjejaskan ribuan pesawah dan petani di kawasan Sabak Bernam.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, cabaran itu dibuat kerana Abdul Khalid dan barisan Exconya sendiri sebelum ini ‘berlagak pandai’ dalam memperkatakan tentang masalah bekalan air di negeri ini seolah-olah mereka sudah berpuluh-puluh tahun memegang tampuk pentadbiran Selangor.

“Sekarang berlaku masalah air di Tanjong Karang yang memberikan kesan besar kepada tanaman padi, masalahnya sama dengan tindakan kerajaan negeri cuba menghalang pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 iaitu apabila kementerian ingin melaksanakan pembinaan kolam takungan air di Sungai Haji Dorani.

“Macam-macam masalah masa kita hendak memulakan projek takungan air itu sehingga kerajaan negeri mahu menyaman kementerian dengan membuat dakwaan projek itu tidak mengikut peraturan," katanya kepada sidang media selepas menyempurnakan majlis Penyampaian Bayaran Elaun Sara Hidup Nelayan Secara Tunai Peringkat Parlimen Klang dan Kapar di sini hari ini.

Beliau mengulas laporan akhbar hari ini mengenai penyusutan air semakin serius di Terusan Besar Sungai Sireh sehingga menjejaskan ribuan petani dan pesawah di sekitar Sabak Bernam.

Kira-kira 25,000 penduduk Kuala Selangor dan Sabak Bernam juga mungkin terjejas ekoran Loji Rawatan Air Sungai Sireh terpaksa mengurangkan pengeluaran air bersih hingga ke tahap 50 peratus sejak semalam akibat penurunan paras air terusan itu, yang menjadi sumber air mentah.

Keadaan ini menyebabkan bekalan air terawat di beberapa buah kampung di sekitar Kuala Selangor dan Sabak Bernam dekat sini terjejas.

Kampung yang terlibat ialah Sawah Sempadan, Bagan Tengkorak, Sungai Sireh, Parit Satu, Parit Dua, Parit Tiga, Parit Empat dan Sekinchan.

Noh berkata, kementerian telah membuat keputusan meneruskan projek pembinaan takungan air bernilai RM220 juta tersebut demi memastikan kepentingan pesawah di kawasan barat laut Selangor tidak terjejas jika berlaku penyusutan air di terusan tersebut.

“Takungan tersebut perlu bagi melepaskan air ketika berlaku masalah kekurangan air untuk disalurkan ke sawah. Kalau kita takut-takut dengan Menteri Besar, kolam tersebut tidak boleh dibuat.

“Dengan pembangkang apa pun tidak boleh buat, perkara ini akan menyebabkan negara terus jadi mundur," katanya.

Datuk Mohd Shamsudin Lias Lawat Rumah Mangsa Dalam Kejadian Angin Lintang Di Parit 2 Sungai Burong, Tanjong Karang.

TANJONG KARANG - “Saya terkejut dengar bunyi kuat umpama bom meletup sejurus sebelum keseluruhan bumbung rumah diterbangkan angin,” kata mangsa ribut, Aini Hamzah, 64, dari Ban 1, Jalan Tali Air 2, di sini.

Dalam kejadian kira-kira jam 2.10 pagi kelmarin itu, beliau yang juga Timbalan Nazir Masjid As Solihin berkata, kejadian angin lintang berlaku sekelip mata menerbangkan 80 peratus bumbung rumahnya yang dibina 16 tahun lalu.

"Ketika kejadian keadaan mencemaskan sehingga saya terpaksa mengejutkan isteri (Siti Husnah Utoh, 56) dan anak perempuan (Noor Azwa Aini, 40) daripada tidur untuk menyelamatkan diri.

"Saya juga melaungkan azan selepas melihat beberapa siling rumah runtuh," katanya ketika kunjungan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Burong, Datuk Mohd Shamsudin Lias dan Pegawai Khasnya, Maruwan Ahmad.

Difahamkan, turut menjadi mangsa dalam kejadian angin lintang itu, dua lagi rumah di Blok B Sawah Sempadan dan Sungai Burong.

Menurutnya Aini, keadaan mulai reda kira-kira jam 3 pagi dan lampu masih terpasang biarpun ribut sudah menerbangkan bumbung rumah.

"Saya kemudiaannya menutup bekalan elektrik bagi mengelakkan risiko litar pintas sebelum ke rumah saudara bersebelahan sementara menunggu siang.

"Ini kejadian pertama saya berdepan dengan angin lintang dan terpaksa menanggung kerosakan bumbung sekitar RM20,000 selain kerosakan peralatan elektrik, pakaian, buku dan perabot," katanya yang turut membuat laporan berhubung bencana itu di Balai Polis Tanjong Karang.

Dalam pada itu, Maruwan berkata, pihaknya akan meneliti kerosakan dan nilai kerugian ditanggung sebelum bantuan peralatan seperti bumbung, papan dan siling rumah diberikan.

"Seperti kelaziman bantuan mangsa ribut, sumbangan peralatan dan upah bernilai RM5,000.

"Sekiranya kerosakan melebihi jumlah itu, kita minta budi bicara pemilik rumah menampungnya," katanya.

VIDEO.!!! Noh Omar Cabar Kerajaan Negeri Senaraikan Pelaburan Asing Yang Masuk Ke Selangor

PUTRAJAYA, 8 Okt – Timbalan Pengerusi UMNO Negeri Selangor, Datuk Seri Noh Omar membidas kenyataan kerajaan negeri yang kononnya berjaya menarik pelaburan asing serta mencabar kerajaan negeri menyenaraikan syarikat-syarikat yang kononnya ke negeri Selangor sebagaimana yang didakwa mereka sebelum ini.

Soalnya, adakah syarikat-syarikat atau kilang-kilang ini sudah beroperasi di Selangor hari ini?

“Saya mengambil contoh, ada 129 kilang, hari ini saya difahamkan jumlahnya telah meningkat namun kilang-kilang tersebut tidak boleh beroperasi. Tidak boleh nak mula pembinaannya pun.

“Jika kilang ini sudah mula dibina tahun lepas dalam masa dua hingga tiga tahun kilang ini akan memberi peluang pekerjaan baru kepada 12,000 orang rakyat Selangor tetapi kilang-kilang ini tidak dapat dibina. Betul mereka nak melabur RM3.8 bilion tetapi sampai hari ini kilang ini tidak dapat beroperasi, development order tak boleh bagi sebab air tidak ada,” ujarnya dalam satu wawancara eksklusif bersama UMNO-Online baru-baru ini.

Tegas beliau sekiranya kemudahan air tidak dapat disediakan manakala Syabas pula tidak boleh memberi jaminan bekalan air bayangkan, apa akan jadi dengan masa depan negeri Selangor.

“Bila tidak ada pelaburan baru berlaku kerana air tidak ada, peluang pekerjaan akan tertutup, maka pengangguran akan banyak di negeri Selangor. Pelabur asing tak boleh nak masuk, maka pendapatan rakyat negeri Selangor akan menurun. Pengeluaran tinggi, pendapatan menurun, jadi ke mana arah tuju negeri Selangor. Akhirnya negeri Selangor yang maju ini akan lebih teruk dari negeri Kelantan. Itu sebagai contoh.

“Tetapi kerajaan negeri ini tak mengaku salah. Mereka menyalahkan Syabas sebaba tidak ada air, kita kata buat loji Langat 2, tetapi mereka kata loji Langat 2 ini tidak perlu buat, kena buat penstrukturan semula,” tambahnya.

Ujarnya, loji Langat 2 ini tidak ada kena-menggena dengan isu penstrukturan semula ini. Mengapa perkara ini mahu dikaitkan?

“Loji Langat 2 ini untuk membekalkan air kepada rakyat Selangor. Kalau tidak lama-lama nanti tidak ada air. Macam-macam alasanlah dia bagi, dia kata kalau buat loji Langat ini nanti kroni BN akan dapat projek berbilion membinanya. Kita dah buat pengumuman, tidak ada kroni, tender terbuka. Jadi masuklah,” tambahnya lagi.