Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, September 26, 2012

VIDEO.!!! Noh jawab tuduhan Yaakob Sapari dan minta kerajaan Selangor wartakan tanah TKPM

SHAH ALAM, 25 SEPTEMBER - Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini meminta kerajaan Selangor agar segera mewartakan tanah Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) bagi membela nasib golongan petani di negeri itu.

Beliau berkata demikian bagi merujuk tindakan kerajaan negeri yang sanggup menjual beberapa tanah pertanian termasuk di Taman Agroteknologi Pertanian (TAP) Bestari Jaya, Kuala Selangor selain sebuah lagi tanah TKPM di Ulu Yam yang diusahakan oleh golongan petani sejak sekian lama.

"Pembangkang (Pakatan Rakyat) cukuplah jadi hero pada masyarakat... jaga tanah pertanian dan tolong wartakan tanah TKPM yang ada kalau mereka benar-benar mahu membela nasib rakyat.

"Kita sedar, tanah itu tanah kerajaan negeri, tetapi pembangunan di kawasan tersebut melibatkan kementerian pertanian serta kerajaan di mana ia telah dibangunkan berpuluh tahun lamanya untuk tujuan pertanian," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Pertubuhan Peladang Negeri di sini.

Noh berkata pihaknya juga tidak pernah berhasrat untuk menjual tanah pertanian yang ada, termasuk tanah milik Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) di Serdang seperti yang didakwa oleh Exco Pertanian Negeri Selangor, Dr Yaakob Sapari.

"Saya tidak tahu tanah mana yang beliau maksudkan. Kita nak jual tanah ini bukannya mudah... banyak kita perlu buat. Saya minta exco ini (Yaakob) jangan sibuk pada tanah orang, jaga tanah sendiri cukuplah.

"Kalau dia betul-betul nak tolong sektor pertanian negeri ini dan ikhlas untuk membantu, saya cabar dia agar segera mewartakan tanah (TKPM) ini," katanya.

VIDEO.!!! Siswazah mampu jadi usahawan tani berjaya - Noh Omar

SERDANG, 24 SEPTEMBER - Kerajaan yakin dapat melahirkan lebih ramai petani moden atau pengusaha industri asas tani yang berjaya di kalangan graduan melalui Kelab Usahawan Siswazah Tani (MyAgrosis), kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar.

Noh berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menawarkan skim pinjaman bebas penjamin kepada ahli-ahli MyAgrosis.

Beliau berkata MyAgrosis, yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada penghujung tahun lepas, telah menampakkan hasil yang baik dengan semakin ramai siswazah menunjukkan minat menceburi sektor pertanian moden yang menyumbang pendapatan tinggi.

"Di Universiti Putra Malaysia (UPM) sahaja, kita dapati 30 siswazah telah menjadi usahawan tani.

"Ia adalah bukti bahawa siswazah boleh usahakan sektor pertanian dan penternakan secara moden dan menguntungkan.

"Kerajaan juga yakin MyAgrosis akan menjadikan institusi pengajian tinggi sebagai teras pengeluaran makanan negara serta tidak terlalu bergantung kepada import makanan dari luar negara," katanya ketika melancarkan kelab MyAgrosis dan Mini Maha UPM di sini, malam tadi.

Bagi menjayakan program itu, Noh berkata kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi menawarkan skim pinjaman bebas penjamin kepada ahli-ahli MyAgrosis dengan jumlah maksimum sebanyak RM30,000 bagi mereka yang menyertai perniagaan pertanian.

Pada majlis itu Noh turut mengumumkan peruntukan RM150,000 untuk kelab MyAgrosis UPM.