Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, September 13, 2012

VIDEO.!!! Pakatan Selangor Dah Takut Hilang Kuasa – NOH OMAR

KUALA LUMPUR, 13 SEPTEMBER - Keengganan Selangor mengadakan pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) serentak dengan pilihan raya persekutuan menunjukkan kerajaan negeri di bawah pimpinan PKR takut menyerahkan mandat kepada rakyat bagi memilih pimpinan yang dikehendaki.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata tindakan itu juga menunjukkan PKR Selangor tidak bersedia menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana banyak janji pada pilihan raya lepas masih belum dilaksanakan.

"PKR Selangor tidak bersedia menghadapi pilihan raya kerana melihat rakyat khususnya di Selangor, telahpun kembali sedar tentang penipuan mereka, sebab itu mereka takut dengan rakyat kerana banyak janji yang tidak ditepati.

"Kesimpulannya, PKR Selangor takut serah mandat kepada rakyat dan mereka sudah mula rasa gila kuasa dan kalau boleh mereka tidak mahu pilihan raya diadakan langsung," katanya kepada pemberita selepas menghadiri majlis Merdekaraya anjuran Pergerakan Wanita BN Selangor di Finas, Hulu Klang disini malam Rabu.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas laporan bahawa kerajaan Selangor memutuskan untuk mengadakan pilihan raya DUN berasingan dengan pilihan raya umum.

Tindakan itu dilaporkan direstui Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan diambil ekoran dakwaan bahawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) gagal bertindak terhadap pelbagai isu yang dibangkitkan berhubung pilihan raya terutamanya membersihkan daftar nama pemilih yang diragui di Selangor.

Noh turut menyifatkan alasan yang diberikan kerajaan negeri itu hanya helah semata-mata untuk 'membeli masa' bagi membolehkan mereka menyelesaikan pelbagai isu dan kontroversi berkaitan kerajaan Selangor termasuk isu kerugian Universiti Selangor (Unisel), Talam Corporation dan Loji Langat 2.
Sila ikuti wawancara khas bersama Datuk Seri Noh Omar, Timbalan Pengerusi Badan perhubungan UMNO Negeri Selangor yang mengulas hasrat Anwar Ibrahim bahawa pihak pakatan tidak akan bersama-sama dalam PRU13 di peringkat pusat bagi negeri Selangor dan Pulau Pinang.

Mengikut Jejak Rani Osman… Kini, Khalid Ibrahim Pula Menikus… Tee Yong Pula Terima Ugutan!

Nasib rakyat terus dirundung malang apabila antara isu terhangat di Selangor belum lagi terungkai gara-gara ketidakhadiran Menteri Besar dalam debat berkenaan isu Talam Corporation.

Apa yang sangat penting disini ialah ia melibatkan sejumlah wang yang cukup besar, wang rakyat Selangor. Dan ianya berdasarkan hujah dan bukti yang kukuh, yang mana telah dikemukakan oleh Tee Yong sejak Julai yang lalu.

Dan sepanjang itulah rakyat Selangor serta Malaysia didedahkan dengan pelbagai bentuk fakta berkenaan isu ini. Pastinya Khalid Ibrahim juga tahu fakta-fakta yang dikemukakan, tanpa berselindung. Mudah sahaja untuk menjawab sebenarnya, namun, mana mungkin Khalid mahu menjawab dengan jawapan yang bakal membuka pekung di dada sendiri. Lebih baik disorokkan dari pengetahuan rakyat.

Cara terbaik, berdiam diri, dan menghantar sekumpulan pecacai sekadar untuk mengalihkan isu, daripada menjawab isu. Maka, oleh sebab itulah, Khalid berkeputusan menghantar setpol paling “cemerlang” dalam sejarah negeri Selangor, iaitu Faekah Husin. Faekah turut ditemani oleh Tony Pua, William Leong dan Zulkefly Ahmad sekadar untuk mengacau.

Apa taraf, atau kelayakkan mereka-mereka ini untuk menjawab bagi pihak menteri besar? Malahan pula, mereka langsung tidak terlibat dengan pentadbiran kerajaan negeri! Jelas, tujuan mereka dihantar hanya untuk membuat spekulasi, dan mengalihkan isu.

Atau, apakah mereka ini terlibat secara langsung dalam keputusan yang telah dibuat oleh Khalid Ibrahim sebelum ini berkenaan Talam Corporation?

Faekah sekali lagi, setelah berkali-kali, mempamerkan “kecemerlangan” yang konsisten sebaga setpol, apabila bertanya tentang bukti mengenai penyelewengan seperti yang didakwa oleh Tee Yong. Mungkin Faekah terlalu sibuk memikirkan untuk menghilang lebihan minyak di mukanya, sehingga tidak sedar bahawa Tee Yong telah mengemukakan bukti serta fakta di media masa sejak bulan Julai yang lalu! Tee Yong dilihat cukup gentleman, apabila berani turun di lubuk Khalid Ibrahim sendiri, iaitu Bandar Tun Razak. Persis seperti apa yang pernah dilakukan dalam debat yang melibatkan Hasan Ali di Meru. Bak kata pendekar “Alang si Jaguh berkokok, jantannya terserlah bila berkokok di gelanggang lawan”. Berjaya, kerana Khalid gagal menghadirkan diri. Penulis dimaklumkan, Khalid berada di Bangkok, sungguhpun sedia maklum akan penganjuran debat berkenaan.

Keberanian Tee Yong rupanya mengundang gelisah “pihak-pihak yang berkenaan”, apabila beliau telah menerima wang kertas orang mati, yang memberikan maksud ugutan kepadanya. Juga, keratan akhbar berbahasa Cina berkenaan dengan cabaran debat itu. Bukan itu sahaja, kain rentang yang mempromosikan debat ini juga telah banyak hilang, serta disimbah dengan cat merah.

Kalau benar tiada penyelewengan seperti yang didakwa oleh Tee Yong, mengapa pula ada yang “seperti cacing kepanasan”?

Sertai tanam padi baru MRQ76 - NOH OMAR

KUALA LUMPUR 11 Sept. - Syarikat-syarikat swasta diseru melibatkan diri menanam varieti padi wangi baru, MRQ76 yang dihasilkan melalui penyelidikan hampir sedekad oleh Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) di luar kawasan jelapang padi negara.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar berkata, penanaman di luar kawasan jelapang padi dapat membantu menambah pengeluaran hasil padi negara dan memastikan tanah terbiar dapat dimanfaatkan sepenuhnya dengan menghasilkan kualiti padi tinggi.

"Padi wangi ini merupakan hasil penyelidikan ketiga selepas MRQ50 dan MRQ74 yang mempunyai ciri-ciri yang lebih baik lagi.

"Beras wangi ini mengeluarkan bauan wangi seperti pandan yang semula jadi apabila dimasak, sedikit melekit, lembut dan rasa yang cukup baik," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengisytiharkan Varieti Padi Wangi Baru MRQ76 di Laman Padi, Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian, Datuk Mohd. Hashim Abdullah dan Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr. Abd. Shukor Abd. Rahman.

Dua syarikat tempatan telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) dengan MARDI iaitu Paddytech Resources Sdn. Bhd. dan Bionic Agro Sdn. Bhd. yang akan mengkomersialkan varieti padi itu di bawah Projek Permulaan (EPP) 9.

Tambahnya, beras itu juga sesuai dimakan oleh penghidap diabetis kerana kadar glukos yang rendah.

"Penanaman varieti padi wangi ini dapat mengurangkan import padi negara yang pada masa ini sebanyak 30 peratus. 25 peratus daripada jumlah itu adalah padi wangi.

"Pada tahun ini sebanyak 80 hektar kawasan penanaman padi ini akan diusahakan oleh syarikat tempatan itu dan akan terus dikembangkan lebih 120 hektar dan tahun depan sekurangnya 500 hektar. Menjelang 2020, kita menyasarkan sebanyak 18,200 hektar kawasan padi di negara," jelasnya.

Sementara itu, Noh berkata, sebuah jawatankuasa integrasi akan ditubuhkan yang diketuai Ketua Setiausaha Kementerian yang melibatkan beberapa agensi seperti Mardi yang melakukan penyelidikan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) yang mewakli petani.

"Jawatankuasa ini ditubuhkan agar memastikan rantaian nilai dapat diteruskan daripada penghasilan varieti padi baru yang lebih baik yang memerlukan sistem pengairan air yang berkesan dan pengusahanya iaitu petani," katanya.