Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 14, 2012

VIDEO.!!! Pelajar Unisel Terabai : Mana Pejuang Mahasiswa, Mana Adam Adli & Khalid Ismath? - Budiman

Kemelut terkini yang berlaku Unisel baru-baru ini yang menyebab pelajar tidak dibenarkan menduduki asrama sehinggakan segelintir pelajar terpaksa menjadikan ruang kaki lima Dewan Biru bersebelahan pejabat Jana Niaga Sdn Bhd dan surau asrama sebagai tempat berteduh sebagai satu yang amat memeranjatkan dan tidak wajar berlaku.

Pengerusi Sekretariat Anak Muda Negeri Selangor (SERANG), Budiman Mohd Zohdi berkata, kita melihat kebajikan dan keselamatan pelajar tidak diutamakan pihak pengurusan Universiti, bagaimana sebahagiannya terpaksa pulang dan sebahagiannya terpaksa dihalau balik disebabkan ruang penginapan yang tidak dapat dimasuki.

"Persoalan kepada perkara ini, mana perginya pejuang-pejuang mahasiswa yang mereka nobatkan seperti Khalid Ismath, seperti Adam Adli yang bersungguh-sungguh memperjuangkan isu-isu yang berkaitan mahasiswa.

Kenapa bila isu yang berkaitan dengan isu Unisel, mereka diam dan jadi bisu. Ini yang kita lihat bagaimana sebahagian mahasiswa ini menjadi alat kepada pihak pembangkang secara membuta-tuli memperjuangkan isu-isu mahasiswa tanpa mereka sedari sebenarnya dalam masa yang sama mereka tidak memperjuangkan isu mahasiswa itu sendiri," ujarnya mengulas sikap mendiam diri sesetengah 'hero mahasiswa' yang sebelum ini hebat memperjuangkan isu pendidikan seperti kempen mansuhkan PTPTN dan kempen pendidikan tinggi percuma yang pernah diterajui Adam Adli satu ketika dulu.

Tambahnya, kita minta kerajaan negeri Selangor pimpinan kerajaan pakatan berhenti dari memperalatkan mahasiswa.

"kita tidak mahu kalau kena pada mereka masalah itu, mereka pendam dan tidak memperjuangkan isu mahasiswa," ujarnya yang juga merupakan Ketua Pemuda UMNO Bahagian Sungai Besar.

Konsep pengurusan padi diperluas - Noh Omar

TANJONG KARANG - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani merancang untuk memperluas konsep pengurusan padi secara ladang atau berpusat kepada semua pesawah di Selangor secara berperingkat, bermula November ini.

Menteri berkenaan Datuk Seri Noh Omar berkata melalui konsep itu, Pertubuhan Peladang Kawasan atau koperasi peladang akan menguruskan sawah, dan pemilik atau pengusaha akan mendapat bayaran awal RM2,000 bagi setiap hektar.

"Pada masa ini, pesawah uruskan sawah mereka secara individu, dan pendapatan mereka terhad... ada pesawah yang hanya mendapat kurang lima tan sehektar padi semusim.

"Jadi, kita buat pendekatan baru... kita urus sawah, tetapi segala hasil tani mereka kita akan pastikan tidak akan kurang, dan mereka dapat keuntungan lebih daripada yang mereka peroleh sebelum ini," katanya kepada pemberita selepas penyerahan Insentif Peningkatan Hasil Padi Kawasan Sungai Burong semalam.

Beliau berkata melalui konsep ini, pengeluaran padi boleh dipertingkat pada tahap maksimum sehingga 10 tan sehektar bagi setiap pesawah.

"Pada ketika ini, negara kurang pengusaha sawah ekoran anak muda tidak lagi berminat untuk mengusahakan sawah yang ada... atas sebab itu, hasil beras kurang dan negara tidak mampu untuk menampung keperluan beras kepada negara sehingga terpaksa mengimport 30 peratus beras dari negara luar," katanya.

Noh berkata kementerian berhasrat meningkatkan pendapatan pesawah demi mencapai 80 peratus pengeluaran padi dalam negara menjelang 2020.

Beliau berkata sehingga kini, seramai 300 pesawah terlibat dalam konsep itu, yang membabitkan 370 hektar tanah di tiga kawasan iaitu Sungai Besar, Sungai Nibong dan Sawah Sempadan.

Selain itu, pelbagai bantuan disediakan bagi membantu pesawah termasuk menyediakan input pertanian seperti racun dan baja bagi meningkatkan pengeluaran padi.

"Pesawah yang mengalami kekangan kewangan boleh mendapatkan pembiayaan melalui Agrobank, dan kerajaan telah menyediakan semua kemudahan bagi membantu kumpulan pesawah," katanya.

KERAJAAN LUNAS INSENTIF PENINGKATAN HASIL (IPH) KEPADA PESAWAH DI KAWASAN SUNGAI BURONG, SELANGOR.

SUNGAI BURONG, 13 OGOS - Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani pada hari ini melunaskan pembayaran Insentif Peningkatan hasil (IPH) sebanyak RM1,073,434.04 kepada 405 orang pesawah layak di Kawasan Sungai Burong, Sekinchan, Pasir Panjang dan Sungai Leman, Selangor.

Majlis Penyerahan diadakan di Masjid Ar-Rahman, Batu 12, Sungai Burong, Tanjung Karang, Selangor, yang disempurnakan oleh Yang Berhormat Datuk Seri Hj Noh Bin Hj Omar, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani Malaysia.

Bagi tempoh pembayaran IPH dari tahun 2007 hingga bulan Julai 2012 untuk negeri Selangor sahaja, kerajaan telah membayar sebanyak RM34.3 juta kepada seramai 35,977 pesawah di negeri ini.

Insentif Peningkatan Hasil ialah salah satu daripada langkah kerajaan bagi menggalakkan meningkatan hasil pengeluaran pada daripada pesawah yang diperkenalkan pada November 2006. Antara objektif pemberian insentif ini ialah bagi mencapai hasrat kerajaan untuk meningkatkan kadar tahap sara diri (SSL) iaitu 90 peratus dari keperluan beras negara.

Bagi perlaksanaan program ini, Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) telah dipertanggungjawabkan sepenuhnya bagi pengurusan pemberian wang insentif bagi pihak kerajaan.

Kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM457 juta untuk tujuan pembayaran IPH dari tahun 2007 hingga 2011. Sehingga Julai 2012, pihak kerajaan melalui BERNAS telah membuat pembayaran kepada 343,791 pesawah yang layak dengan jumlah keseluruhan insentif yang dibayar bernilai kira-kira RM351.5 juta untuk sepanjang tahun 2007 sehingga 2011 di seluruh negara.

Bagi negeri Selangor pula berdasarkan rekod pengeluaran padi, sejak perlaksanaan IPH, pengeluaran hasil padi di negeri Selangor telah menampakkan peningkatan dari 84,000 tan metrik pada musim 1/2007 kepada 101,000 tan metrik pada musim 2/2011.

Peningkatan hasil pada di negeri Selangor ialah hasil daripada impak positif IPH dalam mencapai objektif yang disasarkan oleh kerajaan iaitu dalam meningkatkan hasil pengeluarran padi negara.