Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, August 11, 2012

NOH OMAR - Negeri Selangor boleh hancur bawah Pakatan

TANJONG KARANG - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata negeri ini boleh 'hancur' akibat pentadbiran kerajaan pakatan PKR-DAP-Pas tidak tersusun dan pelbagai isu yang timbul.

"Menteri Besar (Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim) tidak tahu apa yang berlaku di bawah," katanya ketika ditemui selepas melawat pesakit di Hospital Tanjong Karang, semalam.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani berkata, selepas satu persatu transaksi pengambilan hutang Talam Corporation dibangkitkan Timbalan Menterinya, Datuk Chua Tee Yong, barulah kerajaan negeri bertindak melantik firma audit untuk meneliti perjalanan pengambilan hutang itu.

Selain itu, beliau mendakwa audit ke atas akaun Universiti Selangor mendapati ia mengalami kerugian sedangkan antara 2005 dan 2008, tidak berlaku masalah kewangan dan kontraktor masih mendapat bayaran.

Mungkin semasa mereka mengambil alih pentadbiran Unisel, peruntukan yang ditinggalkan Barisan Nasional masih banyak namun kini dana berkurangan dan wujud ketidakcekapan mereka mengurus mengakibatkan masalah kepada Unisel, katanya.

Noh berkata, Selangor juga berlaku tidak adil kepada mereka yang ingin menegakkan kebenaran serta keadilan apabila Pengarah Strategi PKR, Mohd Rafizi Ramli dianggap hero dan kos guamannya ditanggung kerajaan negeri.

Beliau turut mempersoal nasib dua pegawai Kumpulan Semesta Sdn Bhd yang dibuang kerja oleh anak syarikat kerajaan negeri itu kerana mendedahkan kepincangan perjalanan industri pasir di Selangor.

Katanya, pakatan pembangkang sanggup menggunakan wang rakyat bagi membela pemimpin mereka seperti Mohd Rafizi, yang didakwa kerana melanggar undang-undang.

Dalam perkembangan lain, Noh berharap pembinaan hospital baru Tanjong Karang di tapak yang diluluskan kerajaan di Sungai Terap dapat disegerakan memandangkan hospital sedia ada kecil.

Jangan asyik salahkan Umno, Noh ingatkan PR

KUALA LUMPUR, 10 OGOS - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar hari ini membidas tindakan pembangkang yang berterusan menyalahkan Umno dan BN atas setiap kesalahan yang mereka lakukan.

Katanya tindakan tersebut dilihat tidak lebih sebagai untuk menjaga hubungan antara tiga parti - PKR, DAP dan Pas.

"Inilah perangai (sebenar) PKR yang selalu hendak mencari salah orang lain tetapi salah sendiri dibutakan. Ibarat pepatah Melayu,'Gajah di depan mata mereka tak nampak, tapi kuman di seberang laut nampak'," katanya.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tapak cadangan pembinaan susur keluar bertol dari Lebuhraya KL-Kuala Selangor (LATAR) ke Jalan B149, Kundang, dekat sini. Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Shaziman Abu Mansor.

Noh yang juga anggota Majlis Tertinggi Umno mengulas kenyataan ketua pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa Umno kini memulakan kempen pelampau agama.

Laporan itu disiarkan sebuah akhbar tempatan berbahasa Melayu yang mendakwa berdosa sekiranya menyokong parti DAP.

Akhbar itu memetik pengasas Pondok Geting, Tumpat, Abdullah Sa'amah yang dilapor berkata adalah haram dan berdosa untuk umat Islam menyokong DAP yang secara terang-terangan menentang penubuhan negara Islam serta pelaksanaan hukum hudud.

Abdullah berkata umat Islam juga tidak boleh menyokong mana-mana pihak yang bekerjasama atau menjalin pakatan dengan DAP pada pilihan raya kerana sokongan itu akan turut membawa kemenangan kepada DAP.

Dalam pada itu, Noh berkata Anwar kelihatan seperti takut untuk menegur pengerusi DAP, Karpal Singh yang lantang menentang pelaksanaan hukum hudud yang dihasratkan oleh Pas jika berjaya menawan Putrajaya.

DS NOH OMAR LAWAT PESAKIT DAN MENYAMPAIKAN SUMBANGAN HARI RAYA DI HOSPITAL TANJUNG KARANG

TANJUNG KARANG, 10 OGOS - Menteri Pertanian, Industri dan Asas Tani Datuk Seri Noh Omar menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada pesakit-pesakit dan kakitangan di Hospital Tanjung Karang. Turut bersama isteri beliau Prof Dr Datin Seri Aishah Salleh.

Beliau dan isteri turut melawat dan menyampaikan sumbangan Hari Raya kepada anggota Polis dan Bomba di Balai Polis dan Balai Bomba Tanjung Karang disini, hari ini.

VIDEO.!!! Demo pekerja JNSB tuntut hutang RM15 juta

BESTARI JAYA, 10 OGOS - Lebih 100 pekerja Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) berhimpun di hadapan Universiti Selangor (Unisel) hari ini menuntut hutang yang didakwa sebanyak RM15 juta daripada kerajaan negeri Selangor.

Kesemua pekerja tersebut mendakwa JNSB gagal membayar gaji mereka apabila Unisel yang berada di bawah pimpinan kerajaan negeri itu tidak menjelaskan apa-apa bayaran sejak November tahun lalu.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid sebelum ini mengakui bahawa Unisel berhutang dengan JNSB berjumlah hampir RM15 juta termasuk gagal menjelaskan bil penyelenggaraan asrama sejak 17 bulan lalu.

Khalid berkata, pendapatan Unisel ketika ini hanya cukup membayar gaji profesor dan guru, selain kos pentadbiran dan penjagaan asrama.

"Memang pelajar ada bayar yuran penginapan, tetapi ia tidak mampu menanggung kos. Ini kerana walaupun ketika pelajar bercuti, Unisel tetap perlu membayar kepada pihak yang menguruskan asrama ini.

"Kerajaan negeri mengarahkan pihak audit untuk menyiapkan laporan kewangan Unisel dan akan membentangkan laporan pihak akauntan yang sudah disemak," kata Khalid.

Ketua Eksekutif Pengurusan JNSB Hayati Mustafa berkata, konflik pembayaran gaji sudah bermula sejak November tahun lalu malah mereka pernah dibayar gaji secara mingguan.

"Unisel dapat bonus dan imbuhan tetapi JNSB tiada gaji. Masalah tuntutan dan 'over time'' bermula sejak Mac.

"Kami pernah dibayar gaji secara mingguan sebanyak RM200, setiap minggu. Ini tidak adil. Masalah gaji sudah bermula sejak November tahun lalu," katanya.

Dalam pada itu, suasana menjadi sedikit gamat apabila Presiden Persatuan Veteran Tentera Melayu, Mohd Ali Baharom yang turut berada di situ bertindak mengunci pagar di kedua-dua laluan utama kampus tersebut.

Tindakan tersebut dilakukan bagi menunjukkan rasa tidak puas hati kepada pengurusan Unisel yang tidak mahu keluar untuk menerima memorandum yang mahu diserahkan.

Ia juga menyebabkan lebih 10 buah kenderaan terkandas di dalam universiti itu selama kira-kira satu jam.

Bagaimanapun, kedua-dua pintu pagar itu dibuka kembali selepas dinasihati pasukan polis yang tiba bagi mengawal keadaan.

Turut hadir, Pengerusi Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS), Datuk Shohaimi Shahadan yang melahirkan rasa kesal dengan sikap kerajaan Selangor.

"Kami rasa terpanggil dan rasa perihatin dengan nasib kakitangan JNSB yang jadi mangsa kezaliman. Selama ini dia (MB) menafikan Unisel diambang kerugian dan hari ini terbukti kakitangan sebagai saksi. Unisel perlu selesai gaji sebelum sambutan hari raya," kata beliau.

Sementara itu, seorang pekerja Orang Kelainan Upaya (OKU), Mohamad Julis, berkata beliau terpaksa membuat kerja sampingan bagi menampung kehidupan keluarganya.

Beliau yang sudah tiga tahun bekerja di bahagian pembersihan berasa amat kecewa dengan pengurusan Unisel yang langsung tidak peka dengan golongan sepertinya.