Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Tuesday, August 7, 2012

KONTROVERSI UNISEL - Tiada masalah pembayaran sebelum 2008

SHAH ALAM - Ketua Bahagian Residen Komuniti Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB), Noor Ashikeen Mohd Stap memberitahu masalah pembayaran kos penyelenggaraan asrama Universiti Industri Selangor bermula sejak pentadbiran Selangor bertukar tangan.

Noor berkata sebelum 2008, syarikatnya tidak menghadapi masalah membabitkan pembayaran kerja penyelenggaraan dan pengurusan asrama di kampus induk UNISEL di Bestari Jaya.

Katanya JNSB yang mendapat kontrak membina 44 blok asrama di UNISEL, dianugerahkan konsesi selama 20 tahun sebelum menyerahkan semula bangunan diselenggarakan itu kepada pengurusan UNISEL selepas konsesi tamat.

Beliau berkata, 44 blok asrama berkenaan sepatutnya boleh menempatkan seramai 5,000 pelajar dan pembayaran yang perlu dibayar UNISEL kepada JNSB ialah sebanyak RM180 setiap pelajar.

"Sebelum ini memang ada beberapa kali pengurusan UNISEL lewat membayar perkhidmatan diberikan JNSB tetapi kelewatan itu hanya sebulan dua.

"Bagaimanapun sejak 17 bulan lalu, pengurusan UNISEL gagal membayar kerja penyelenggaraan seperti landskap dan pembersihan kepada kami manakala kerja penyelenggaraan asrama pula sudah lapan bulan tidak dibayar," katanya kepada Berita Harian.

Kelewatan pembayaran bagi perkhidmatan itu juga menyebabkan kontraktor yang diupah untuk membersih dan menyelenggarakan landskap turut tidak mendapat bayaran masing-masing.

Noor berkata, JNSB sudah menghantar "berpuluh surat" kepada pengurusan UNISEL dan kepada Pejabat Menteri Besar bagi membincangkan masalah pembayaran yang tidak diterima itu, tetapi sehingga masalah berkenaan dilaporkan media massa, tiada sebarang perbincangan diadakan.

Katanya JNSB juga tidak diberikan sebarang alasan mengapa pembayaran berkenaan tidak dilunaskan, sebaliknya mereka hanya mendengar khabar angin bahawa pengurusan UNISEL tidak berpuas hati dengan terma kontrak yang dianggap tidak menyebelahi UNISEL.

"Pembinaan asrama dibuat oleh JNSB dengan menggunakan wang yang diperoleh melalui pinjaman bank.

"Pada masa sama, kami juga bersedia berbincang dengan pengurusan UNISEL untuk mengetahui apa menyebabkan UNISEL tidak berpuas hati dengan kami.

"Walaupun UNISEL dikatakan tidak berpuas hati dengan terma kontrak, mereka masih lagi meminta kami menjalankan kerja penyelenggaraan termasuk benda bukan dalam bidang kuasa atau termaktub dalam perjanjian," katanya.

Noor berkata, bagi membolehkan pembayaran terhadap perkhidmatan diberikan JNSB kepada UNISEL, dilunaskan, syarikat itu turut bersedia menerima pembayaran berdasarkan kepada bilangan pelajar yang menginap dalam kampus berkenaan, berikutan pengurusan UNISEL memberi alasan jumlah pelajar yang menetap dalam asrama tidak mencecah 5,000 orang.

ADUN Permatang Bersama Skuad Redah 4x4 Sampaikan Sumbangan Dalam Konvoi Jalur Gemilang Dan Amal Ramadhan

TANJUNG KARANG, 7 OGOS - ADUN permatang, YB Tn Hj Sulaiman Abdul Razak, bersama Skuad Redah 4x4 telah menyampaikan sumbangan ke 200 buah rumah terdiri daripada warga emas dan pesakit-pesakit yang terlantar sekitar kawasan DUN Permatang dalam 'Konvoi Jalur Gemilang Dan Amal Ramadhan' yang berlangsung pada 5 Ogos, Ahad yang lepas.

Sebanyak 400 buah rumah keseluruhannya di dalam kawasan Parlimen Tanjung Karang yang menerima sumbangan tersebut termasuk 200 buah rumah lagi di DUN Sungai Burong yang berjalan serentak pada hari yang sama.

Pelajar UNISEL timbang adakan demonstrasi

Pelajar Universiti Industri Selangor yang masih lagi tidak mendapat kemudahan di kampus induk Bestari Jaya menimbang untuk mengadakan demonstrasi.

Mereka menzahirkan rasa kecewa ekoran kegagalan pentadbiran UNISEL di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat yang sebelum ini dilihat gah menguwar-uwarkan memperjuangkan nasib mahasiswa di negara ini.

Perkara itu diluahkan pelajar terbabit kepada Yang Dipertua Majlis Perwakilan Pelajar Institut Pengajian Tinggi Awam, Wan Ahmad Hazman Wan Daud.

Luahan mereka turut disuarakan dalam laman sosial Facebook dan Twitter berikutan jawatankuasa MPP UNISEL tidak mempedulikan mereka, sebaliknya berdiam diri bagi menjaga kepentingan universiti.

Dianggarkan lebih 1,000 pelajar baru dan lama tidak mendapat kemudahan asrama dalam kampus sebaliknya ada ditempatkan di asrama tumpangan sementara yang agak jauh sekitar Ijok.

Keadaan itu membebankan pelajar terutama yang tidak mempunyai pengangkutan selain menganiaya mereka yang sudah membuat pembayaran pendahuluan sebelum ini.

Wan Ahmad Hazman berkata, apa yang berlaku itu membuktikan kerajaan negeri pimpinan pembangkang mementingkan agenda politik melebihi kebajikan pelajar.

Malah katanya, mahasiswa semakin sedar kerajaan negeri pakatan pembangkang tidak dapat memenuhi harapan mereka khususnya dalam aspek pendidikan.

Sementara itu, pelajar Tahun Dua Diploma Pengajian Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua universiti itu, Nazmin Abdul Ghafar berkata MPP universiti itu yang pro mahasiswa tidak membantu menyelesaikan masalah mereka, sebaliknya didakwa bersekongkol dengan pentadbiran universiti dan kerajaan negeri.

LAGI BERITA BERKAITAN
[Pelajar Unisel dihalang masuk kolej kediaman]

550 Orang Penduduk DUN Permatang Terima Bantuan Cermin Mata 1MDB

TANJUNG KARANG, 5 OGOS - 550 orang penduduk di kawasan DUN Permatang telah menerima bantuan cermin mata 1MDB dibawah 'Program Jalinan Murni'.

Bantuan tersebut disampaikan kepada penerima oleh YB Tn Hj Sulaiman Bin Abdul Razak, ADUN Permatang, yang berlangsung di perkarangan pejabat DUN Permatang, disini.

Noh Persoal Tindakan MB Arah Unisel Beli Bangunan PKNS Jutaan Ringgit

TANJONG KARANG, 6 OGOS - Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim perlu menjelaskan tindakannya mengarahkan Universiti Selangor (Unisel) membeli bangunan milik Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) di Kota Puteri, Kuala Selangor untuk dijadikan asrama baru sedangkan beliau mendakwa universiti itu menanggung hutang sejak sekian lama.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar juga mempersoal tindakan Abdul Khalid membeli bangunan berharga jutaan ringgit itu sedangkan asrama Unisel sedia ada mempunyai banyak kekosongan ekoran jumlah penuntut yang semakin kurang.

"MB kena jawab, saya nak tanya pengurusan Unisel... apa rasionalnya dia beli bangunan di Kota Puteri, yang juga dikatakan akan dibuat asrama... asrama yang ada pun tidak penuh, macam mana dia boleh beli bangunan baru.

"Ini menunjukkan bahawa pengurusan dan pentadbiran Unisel di bawah Parti Keadilan Rakyat (PKR) memang tidak profesional," katanya kepada pemberita di sini.

Noh mengulas kenyataan Abdul Khalid yang mengakui Unisel menanggung hutang sejak sekian lama sehingga menjejas kemampuan universiti itu untuk membayar tunggakan kos penyelenggaraan dan operasi asrama berjumlah hampir RM15 juta kepada syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB). Beliau berkata pada zaman pentadbiran BN, Unisel tidak berdepan masalah kewangan, tetapi apabila pembangkang mengambil alih pentadbiran Selangor, perkara itu berlaku.

Katanya, Abdul Khalid sebagai tokoh korporat sepatutnya boleh menjaga pentadbiran dan pengurusan Unisel, yang merupakan institusi pendidikan swasta, dengan baik kerana beliau berpengalaman dalam soal itu.

Mengulas lanjut, Noh berkata masalah kewangan Unisel tidak sepatutnya berlaku kerana universiti itu boleh membayar sewa bangunan melalui sumber yang diperoleh daripada bayaran yuran dan sewa asrama oleh penuntutnya.

"Bila pelajar dapat duit pinjaman dari Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN), secara automatik duit itu telah dipotong bagi tujuan membayar sewa asrama dan yuran, sebelum baki pinjaman diserah kepada pelajar... jadi, kita nak tanya MB, mana perginya duit yang telah dibayar pelajar itu," katanya.

Mengulas kenyataan Abdul Khalid berhubung kelewatan pendedahan laporan audit kewangan Unisel kerana banyak perkara perlu diperbetul oleh kerajaan negeri, Noh berkata beliau mempunyai bukti Abdul Khalid dan pegawai kewangan Selangor telah menandatangani laporan itu.
Beliau turut mendesak isu Unisel dibawa ke Jawatankuasa Mengenai Keupayaan, Kebertanggungjawaban dan Ketelusan Selangor (Selcat). - BERNAMA

Sekitar Majlis Berbuka Puasa Bersama Datuk Seri Noh Di Masjid Jamek Kampung Sg. Gulang-Gulang.

Tanjung Karang, 4 OGOS - Rakyat sekitar kawasan Parlimen Tanjung Karang khususnya di DUN Permatang telah berpeluang berbuka puasa bersama YB Datuk Seri Noh Omar, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani, Merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, dan juga YB Sulaiman Abdul Razak, ADUN Permatang yang dalam Majlis Penyerahan Penyerahan Zakat Perniagaan/Sumbangan Agrobank Dan Majlis Berbuka Puasa yang dianjurkan oleh Agrobank, di perkarangan Masjid Jamek Kampung Sungai Gulang-Gulang disini.

Sebelum itu di majlis yang sama, seramai 450 orang anak yatim yang hadir dari sekitar kawasan DUN Permatang telah menerima sumbangan tersebut yang disempurnakan oleh Datuk Seri Noh.

Datuk Seri Noh juga telah menyerahkan peruntukan kepada wakil-wakil sebanyak RM1000 untuk masjid dan RM500 untuk surau bagi kawasan DUN Permatang menjalankan aktiviti sepanjang Ramadhan ini.

Manakala 23 pasang kain jubah turut disumbangkan untuk masjid sekitar DUN Permatang yang disampaikan oleh YB Sulaiman Abdul Razak, ADUN permatang.