Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, August 5, 2012

Unisel Berhutang RM15 Juta Dengan Jana Niaga Sdn Bhd - Noh Omar

TANJONG KARANG, 4 OGOS - Universiti Selangor (Unisel) didakwa berhutang hampir RM15 juta dengan Syarikat Jana Niaga Sdn Bhd (JNSB) yang bertanggungjawab membangun dan menguruskan kediaman penuntut di kampus induk universiti itu di Bestari Jaya, Kuala Selangor.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar berkata tunggakan bayaran itu melibatkan kos penyelenggaran di kampus induk dan operasi asrama universiti milik penuh kerajaan negeri Selangor tersebut.

"Saya difahamkan Unisel sudah mengutip yuran daripada pelajar, tetapi kenapa tidak bayar kepada kontraktor (JNSB)? Mana pergi duit itu? Apabila tidak bayar selama beberapa bulan, dan jika kontraktor tutup asrama, yang jadi mangsa ialah pelajar.

"Ini jelas menunjukkan kelemahan kerajaan negeri Selangor, nak urus Unisel pun tidak reti, macam mana nak urus negeri. Menteri Besar Selangor dan Unisel kena jawab perkara ini, kalau benar-benar ikhlas, bayarlah hutang kontraktor dan jangan susahkan pelajar," katanya pada sidang akhbar selepas majlis penyerahan zakat perniagaan Agrobank berjumlah RM170,087.43 kepada Lembaga Zakat Selangor di sini.

Noh, yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, berkata demikian ketika diminta mengulas laporan akhbar berhubung isu kegagalan pelajar Unisel mendapatkan tempat tinggal di kampus induk bagi sesi pengajian yang bermula 7 Ogos ini berikutan penutupan pejabat operasi JNSB.

Masalah itu berlaku kerana Unisel didakwa tidak melunaskan yuran penyelenggaraan untuk 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan JNSB bagi tempoh lapan bulan.

Dalam pada itu, Noh mengulangi cabarannya kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar mendedahkan laporan kewangan Unisel yang gagal dibentang pada persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor baru-baru ini.

"Sebelum ini, Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permatang Sulaiman Abd Razak sudah bangkitkan dalam DUN bahawa dia ada bukti yang akaun Unisel sudahpun diaudit, tetapi Menteri Besar tidak boleh jawab, dan beliau tetapkan bulan ini (untuk beri penjelasan). Jadi, saya akan tunggu sampai hujung bulan ini, kalau dia gagal bentangkan pendapatan dan hasil Unisel, saya akan tolong bentangkan bagi pihak kerajaan negeri, saya dah ada laporan ini," katanya.

Sementara itu, Ketua Bahagian Residen Komuniti JNSB Noor Ashikeen Mohd Stap ketika dihubungi menjelaskan tindakan menutup pejabat pengurusan asrama ketika sesi pendaftaran bermula adalah disebabkan pekerja syarikat itu tidak menerima gaji dalam tempoh yang lama sehingga menjejaskan urusan seharian.

Beliau berkata JNSB tidak berniat menimbulkan masalah dan meminta semua pihak memahami beban yang ditanggung syarikat itu berikutan tiada bayaran untuk melangsaikan gaji pekerja, lebih-lebih lagi pada bulan Ramadan, dan hanya tinggal beberapa minggu sahaja lagi umat Islam akan menyambut Aidilfitri.

"Memang ramai yang seolah-olah menyalahkan JNSB, tetapi hakikatnya, pihak pengurusan Unisel gagal melangsaikan tunggakan bayaran yuran penyelenggaraan bagi tempoh 17 bulan dan bayaran asrama yang dikendalikan JNSB untuk tempoh lapan bulan.

"Memang penuntut sudah membayar yuran asrama kepada Unisel, tetapi bayaran itu tidak sampai ke tangan JNSB, menyebabkan insiden ini berlaku," katanya.

Noor Ashikeen berkata apabila masalah itu dibawa kepada pihak atasan JNSB, mereka tidak dapat memberi jaminan berhubung pembayaran gaji yang boleh dibuat dan beliau difahamkan sehingga kini, masih tiada perbincangan antara Unisel dan JNSB bagi mengatasi masalah tersebut.

"Pihak pengurusan Unisel mengambil sikap mendiamkan diri menyebabkan kami kian tertekan, dan keadaan itu menuntut kami untuk bercuti. Memang diakui sebelum ini, masalah yang sama turut berlaku sehingga pekerja gagal menerima gaji untuk tempoh dua bulan, namun akhirnya dibayar secara berperingkat.

"Namun kini, kesabaran kami sudah sampai ke kemuncaknya, dan apabila tiada jalan penyelesaian diambil, kami terpaksa menutup pejabat dan menunggu keputusan yang dibuat pihak atasan JNSB dan Unisel," katanya.

Kerajaan akan pastikan tarif air tidak bebankan rakyat - Noh Omar

KAJANG, 4 OGOS - Kerajaan akan memastikan tarif air tidak membebankan rakyat selepas pembinaan Loji Rawatan Air Langat 2 siap, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor itu berkata, sehubungan itu, kerajaan negeri tidak sepatutnya membuat kesimpulan melulu dan mempunyai tanggapan retorik sebelum projek tersebut bermula.

"Jangan kerana projek itu bernilai berbilion ringgit, pembangkang buat tanggapan retorik yang rakyat terpaksa membayar harga amat tinggi untuk khidmatnya. Kerajaan Barisan Nasional (BN) sudah fikir 10 tapak ke hadapan daripada pembangkang untuk senangkan rakyat.

"Benda belum buat dah tembak sana sini. Soalnya sekarang, air mesti ada di Selangor dan saya percaya kerajaan BN akan ambil kira pandangan rakyat bagi tentukan tarif air ini nanti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Forum Krisis Air Di Selangor anjuran Gerakan Prihatin Rakyat Selangor (GPRS) di Beranang, hari ini.

Pensyarah Kolej Poly-Tech Mara, Dr Wan Sabri Wan Hussin bertindak sebagai moderator forum itu yang disertai dua anggota panel iaitu aktivis Persatuan Pengguna Islam Malaysia Mohd Mustafa Hamzah dan pesara Jurutera Tenaga Nasional Berhad Mohamad Fuad Omar.

Pada 26 Julai lalu, Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air mengeluarkan kenyataan bahawa kerajaan Persekutuan akan melaksanakan projek bernilai RM8.65 bilion itu secara tender terbuka.

Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebelum ini berkata, tarif air lebih tinggi adalah alasan kenapa kerajaan negeri membantah projek itu.

Noh berkata, kerajaan negeri Selangor sepatutnya memberi kerjasama bagi menyelesaikan isu itu, bukan mengambil sikap menuding jari kepada kerajaan Persekutuan dan Syarikat Bekalan Air Selangor Sdn Bhd (SYABAS).

"Mereka mahu menjadi wira dalam segala isu, mahu menjadi popular dengan mengorbankan kepentingan rakyat. Kerajaan BN mahu berusaha untuk rakyat sebaliknya kerajaan Selangor mahu bermain politik sahaja, itu yang sukar.

"Jadi, lebih mudah bagi BN mengambil alih kerajaan negeri Selangor kemudian buat kerja atasi masalah ini sendiri," katanya sambil menasihatkan rakyat Selangor supaya jangan terpedaya dengan sandiwara air percuma kerana air yang dikatakan percuma itu sebenarnya dibayar menggunakan wang rakyat.