Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, July 8, 2012

JELAJAH JANJI DITEPATI HARI INI DI BANGI - PAKATAN TAK MAMPU BUAT ROADSHOW HANYA KERANA SEMUA JANJI PAKATAN MUNGKIRI !!!

Jelajah Janji Ditepati - Hari ini Giliran Penduduk Bangi Jumpa PM!

Lebih 20,000 orang menyambut ketibaan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sempena Program Jelajah Janji Ditepati peringkat negeri Selangor di Teras Jernang, Bandar Baru Bangi hari ini.

Berdasarkan jadual, jelajah dimulakan dengan Perdana Menteri bersarapan di medan selera bersebelahan Pasar Awam Seksyen 1, Bandar Baru Bangi.

Selepas itu, Najib akan ke Akademi Lembaga Hasil Dalam Negeri di Teras Jernang, Bangi, yang menjadi lokasi karnival JJD yang dijangka dihadiri kira-kira 100,000 orang.

Perdana Menteri dijadual tiba di akademi itu kira-kira pukul 11 pagi untuk beramah mesra dengan orang ramai.

Pada program itu, orang ramai juga berpeluang mengunjungi gerai-gerai yang memperkenalkan pelbagai produk kerajaan seperti Kedai Rakyat 1Malaysia, Menu Rakyat 1Malaysia, Klinik 1Malaysia, Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (SARA), Kedai Ikan Rakyat 1Malaysia dan Rumah 1Malaysia.

Mereka juga boleh mendapat maklumat mengenai peluang pekerjaan dan pendidikan yang ditawarkan pihak kerajaan dan swasta.

Program bermula seawal pukul 9 pagi dan berakhir pada 10 malam itu akan diselitkan juga dengan pelbagai acara menarik seperti konsert daripada artis tempatan serta pameran oleh agensi kerajaan.

Selain menjalin hubungan erat di antara pihak kerajaan dan penduduk setempat, program berkenaan turut bertujuan menyampaikan mesej kepada rakyat bahawa kerajaan Barisan Nasional (BN) bukanlah kerajaan yang hanya tahu menabur janji tetapi tidak menunaikannya.

Malahan ia juga akan menjadi medan terbaik kepada rakyat untuk melihat sendiri segala pembaharuan yang telah dilaksanakan kerajaan untuk kesejahteraan mereka.

Segala apa yang ditunjukkan oleh pentadbiran Najib adalah bertentangan sekali dengan mainan politik pembangkang yang sentiasa menabur pelbagai janji bagi meraih kuasa sedangkan dari segi realitinya sukar ditunaikan.

Namun ini berbeza dengan pentadbiran Najib yang membuat janji kepada rakyat berdasarkan kemampuan yang ada dan hampir kesemuanya telah ditunaikan.

Ini membuktikan, Najib tidak akan sewenang-wenangnya berjanji jika beliau tahu bahawa kerajaan pimpinannya tidak akan mampu menunaikan segala janji berkenaan.

Justeru berdasarkan hakikat itu, semua rakyat seharusnya sedar bahawa mereka akan mendapat faedah yang lebih besar jika Najib terus diberi mandat untuk memimpin negara pada Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13).

Sementara itu, Koordinator BN Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed yang diminta mengulas jelajah terbaru di Bangi berkata, ia adalah langkah terbaik bagi membolehkan pimpinan Kerajaan Pusat mendekati rakyat Selangor yang kini dipimpin oleh kerajaan pembangkang.

Beliau yakin, rakyat khususnya golongan muda akan beralih memberi sokongan kepada BN sekiranya mereka dapat melihat sendiri segala pembaharuan yang telah dibawa kerajaan pimpinan Najib.

"Saya yakin rakyat akan memberikan sokongan tidak berbelah bahagi jika mereka dapat melihat dengan jelas bahawa hanya BN yang dapat membela masa depan mereka di negeri ini," katanya.

Beliau turut percaya, BN mampu menarik sokongan rakyat khususnya golongan muda berdasarkan sambutan menggalakkan terhadap segala program yang dianjurkan pihaknya di setiap pelosok Selangor.

"Contohnya, penganjuran Karnival Belia 4B Malaysia di i-City di Shah Alam baru-baru ini telah berjaya menarik kehadiran 15,000 belia dari Selangor dan juga dari seluruh negara.

"Kehadiran ribuan belia pada program tersebut jelas membuktikan pendekatan Perdana Menteri yang bersikap lebih santai dan terbuka telah berjaya menarik golongan muda terhadap BN.

"Ia turut disokong dengan usaha kerajaan pimpinan BN yang sentiasa berusaha untuk membantu dan membangunkan golongan muda di negara ini," katanya.

Bagi menyokong program JJD itu, Mohd. Zin yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, BN Selangor turut menganjurkan sendiri program Pameran Auto di Bangi pada tarikh berkenaan.

"Kita menawarkan hadiah lumayan kepada para pengunjung yang menyertai pertandingan yang diadakan pada Pameran Auto ini bagi memastikan lebih ramai yang hadir.
"Selain sebagai sokongan kepada Perdana Menteri, pameran anjuran BN Selangor ini bertujuan mencetuskan minat golongan muda dalam industri permotoran dan teknikal di negara ini," ujarnya.


p/s - Bila pula Pakatan Rakyat nak buat roadshow seluruh Selangor dan Malaysia bagi membuktikan bahawa janji-janji dan manifesto mereka buat pada PRU-12 telah ditepati ???? Takut ke nak berhadapan dengan rakyat sebab tak ada yang MAMPU Pakatan tunaikan untuk rakyat !!!!

Noh cabar PKR jawab isu berbangkit di Selangor

SHAH ALAM, 7 JULAI - Umno mencabar Parti Keadilan Rakyat menjawab terlebih dahulu segala isu berbangkit berhubung pentadbiran Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim di Selangor.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata PKR tidak perlu mempersoalkan peranan Barisan Nasional (BN) sebagai pembangkang di negeri itu sebaliknya menumpukan perhatian menjalankan urustadbir dengan telus.

Noh berkata demikian ketika diminta mengulas dakwaan terbaru yang dibangkitkan oleh pemimpin PKR dan DAP yang mahukan Noh menjelaskan dakwaan isu penyelewengan yang dikaitkan dengan beliau.

"Suruh Menteri Besar (Khalid) jawab soalan saya dulu. Jadi suruh PKR ajar Menteri Besar dia dulu yang pertama jawab mengenai isu Talam Corporation.

"Jadi kita hendak bagi tahu kepada PKR mereka ini bukan pembangkang di Selangor. Mereka ini adalah kerajaan di sini. Apabila mereka kerajaan (mentdbir) sekarang tugas mereka adalah membetulkan kerajaan yang ada.

"Jangan tanya apa yang Barisan Nasional buat tetapi tanya apa yang mereka buat sekarang?," soalnya kepada PKR.

Khamis lalu PKR mencabar Noh memberikan penjelasan mengenai kontrak pembinaan asrama pusat pengajian tinggi yang didakwa memberi keuntungan sebanyak RM508 juta kepada pihak berkaitan.

Ketua Penerangan PKR Selangor Shuhaimi Shafiei mendesak Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani untuk menjelaskan kos perbelanjaan asrama berkenaan yang didakwa meningkat berkali ganda.

Bagaimanapun Noh menempelak tindakan Shuhaimi yang dilihatnya sebagai "budak hingusan".

Beliau berkata Shuhaimi lupa untuk menyemak kelemahan ketara pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.

"Shuhaimi ni budak hingusan dan suruhan, dia lebih layak tanya Menteri Besar dia sendiri (Khalid). Saya anggap Shuhaimi ini budak hingusan saja.

"Saya hendak cabar Shuhaimi, sebagai Ketua Penerangan PKR, apa tugas dia kepada rakyat di negeri ini?

"Dia bukan pembangkang di sini, tetapi dia adalah kerajaan, dia lah patut kena tanya MB dia dan terangkan kepada rakyat kenapa kerajaan lewat menerangkan dan mengapa hendak alihkan kepada isu lain pula?," kata beliau kepada pemberita.

Justeru Noh menggesa PKR menyemak kembali pencapaian mereka selama hampir sepenggal mentadbir Selangor sejak Pilihan Raya Umum 2008 lalu.

"Sebelum hendak selak kain orang, cuba selak kain sendiri dulu yang mana orang tengah selak kain dia (PKR) sekarang di Selangor.

"Jadi suruh mereka menjawab dulu segala isu yang dibangkitkan oleh pembangkang (BN) di Selangor hari ini," katanya.

Noh dalam pada itu mencabar Khalid untuk terus membentangkan kertas putih sekaligus menyangkal dakwaan mengenai kontroversi pemulihan hutang kerajaan negeri melibatkan Talam yang turut mendapat gesaan rakan komponen partinya PAS.

"Ini menunjukkan PKR sekarang ini bukan sahaja menipu rakyat tetapi dia menipu Pakatan dia sekali.

"Dia tipu PAS lagi. Dia menipu PAS, dia tipu rakyat, janji kata hendak beri kertas putih sejak 2011 lagi, tetapi kenapa dia tidak buat?," katanya lagi.