Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, June 7, 2012

Noh Omar - Pembekuan Pinjaman Pelajar Unisel, Peluang Terbaik PKR Buktikan Pendidikan Percuma

GOMBAK 7 Jun – Tindakan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) membekukan pinjaman membabitkan pelajar baru Universiti Industri Selangor (Unisel) merupakan peluang terbaik kepada pembangkang membuktikan mereka mampu memberikan pendidikan percuma di negeri itu.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor , Datuk Seri Noh Omar berkata, sebagai institusi pengajian tinggi milik kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor, seharusnya Unisel bersedia untuk memberikan pendidikan percuma kepada para pelajar sekali gus menolak PTPTN.

“Kerajaan negeri mendakwa yang mereka mempunyai RM600 juta duit bagi tujuan merakyatkan ekonomi Selangor, maka ini peluang terbaik PKR untuk membuktikan kata-kata mereka dengan melaksanakan pendidikan percuma.

“Mereka seharusnya berterima kasih kepada pihak PTPTN kerana membekukan pinjaman kepada pelajar Unisel dan mengambil peluang ini untuk mengotakan janji yang menreka taburkan kepada rakyat,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Projek Perkasa Usaha Untuk Cipta Kejayaan (PUNCAK) di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Mohd. Shafie Apdal.

Jelas Noh, PKR perlu membuktikan bahawa janji mereka adalah benar dengan melaksanakan dasar pendidikan percuma.

“Jika mereka tidak mampu, mereka perlu akuinya dan kita harus sedar bahawa apa yang PKR katanya kepada rakyat hanyalah pembohongan politik untuk memancing undi rakyat,” katanya.

Selangor Boleh Lebih Maju Di Bawah BN - Muhyiddin

KUALA SELANGOR, 7 Jun (Bernama) - Selangor boleh lebih maju jika Barisan Nasional (BN) kembali menerajui negeri itu, kata Tan Sri Muhyiddin Yassin Khamis ini.

Timbalan Perdana Menteri memberi jaminan bahawa pembangunan yang akan dibawa BN adalah jauh lebih baik berbanding Parti Keadilan Rakyat yang menerajui Selangor sejak tiga tahun lepas.

"Ini janji kita. Banyak faedah daripada kerajaan Barisan Nasional," katanya semasa berucap pada Majlis Mesra Rakyat sempena sambutan ulang tahun ke-100 Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa di Jeram, dekat sini.

Beliau berkata Selangor menjadi antara negeri termaju di Malaysia hasil daripada usaha kerajaan dan para pemimpin BN yang menerajuinya sebelum ini.

"Walaupun banyak khazanah kekayaan di atas dan di bawah muka bumi, ia tidak mungkin boleh dibuka dan dimaju, dibangunkan kalau tiada keupayaan daripada segi kepimpinan.

Kepimpinan itu lahir daripada kebijaksanaan, pengetahuan, ilmu dan kemahiran yang ada," katanya.

Bagi menentukan hala tuju negeri ini amnya dan Malaysia khususnya, Muhyiddin yang juga Timbalan Pengerusi BN berkata rakyat memerlukan kepimpinan yang bijaksana untuk membimbing dan membina kekuatan ke arah menjadikan negara ini lebih maju, dihormati dan disegani di dunia.

Beliau berkata menerusi Program Transformasi Kerajaan, BN berusaha meningkatkan peluang rakyat mengecapi pendidikan berkualiti, membangunkan prasarana seperti jalan raya, bekalan air dan elektrik serta mengurangkan beban rakyat dengan memberikan bantuan kewangan dan subsidi barangan.

Selain itu, katanya kerajaan juga mengotakan janjinya mengawal harga petrol dengan menurunkan harga RON97 kepada RM2.80 seliter hari ini berbanding RM2.90 sebelum ini. Justeru, katanya rakyat Malaysia sepatutnya bersyukur kerana dapat menjalani kehidupan yang jauh lebih baik di negara yang aman dan stabil berbanding negara jiran.

Menurutnya kerajaan BN pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sentiasa berusaha memperkukuhkan lagi ekonomi negara walaupun banyak negara maju termasuk Amerika Syarikat dan Kesatuan Eropah kini berdepan masalah ekonomi.

"Ini bermakna dalam situasi yang begitu mencabar, BN berupaya mempertahankan kedaulatan ekonomi kita, bukan setakat itu kita menunaikan tanggungjawab kita, menepati janji kita," katanya.

Pada majlis itu, Muhyiddin juga meluluskan RM200,000 yang dipohon Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa itu, yang dibina pada 1909 ketika zaman penjajahan British di Tanah Melayu.

Beliau turut memuji usaha pihak sekolah itu yang sentiasa berusaha memartabatkan anak bangsa dalam bidang pendidikan.

BR1M kedua sudah dicadang kepada Kabinet - TPM

KUALA SELANGOR 7 Jun - Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pihaknya sudah mencadangkan kepada Kabinet agar kerajaan memberikan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi pusingan kedua.

Beliau yang juga Menteri Pelajaran berkata demikian ketika berucap pada Program Mesra Rakyat sempena sambutan 100 tahun Sekolah Kebangsaan Tambak Jawa, Jeram di sini hari ini.

Pengendali Laman Blog Diminta Buat Penyelidikan Dan Hindari Fitnah - Rais Yatim

SHAH ALAM, 5 Jun (Bernama) -- Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim menyarankan pengendali blog dan media sosial membuat penyelidikan, termasuk secara ilmiah sebelum menyebarkan maklumat dan pandangan bagi menghindari fitnah di internet.

"Ini bererti kita hindarkan diri daripada memfitnah sesama sendiri dan orang lain... kita harus kritik dan berikan pandangan menerusi tweet ataupun Facebook berasas kepada fakta.

"Ini memerlukan satu pendekatan yang mewujudkan penyelidikan yang rapi," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Selangor anjuran Jabatan Penerangan Selangor dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas Selangor di sini, Selasa.

Beliau berkata antara penyelidikan yang boleh dilakukan ialah apakah yang berlaku dan siapakah yang terus membangunkan prasarana selepas tiga tahun negeri-negeri seperti Kedah, Pulau Pinang dan Selangor diperintah oleh pakatan pembangkang supaya rakyat faham apa yang diutarakan oleh para pengendali laman blog dan media.

Beliau juga berkata mesej dan perkara yang hendak disampaikan menerusi tweeter dan Facebook perlu bersifat membina masyarakat dan bukan untuk tujuan memfitnah.

BN Selangor - Jangan layan kaji selidik daftar pemilih

SHAH ALAM – Barisan Nasional (BN) Selangor mengingatkan rakyat negeri ini supaya tidak ‘melayan’ borang kaji selidik yang akan dijalankan oleh Kerajaan Negeri bagi mengenal pasti pengundi baru didaftarkan.

Timbalan Pengerusi BN Selangor, Datuk Seri Noh Omar berkata, Kerajaan Negeri di bawah pentadbiran Pakatan Rakyat (PR) tidak mempunyai kuasa untuk berbuat demikian kerana ia adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Beliau mendakwa tindakan Kerajaan Negeri itu adalah untuk mengelirukan rakyat kerana sepatutnya mereka berusaha mengenal pasti di mana 600,000 orang yang tidak berdaftar berbanding mempertikaikan jumlah 300,000 orang pengundi baru itu.

Katanya, agak menghairankan mengapa Kerajaan Negeri tidak berpuas hati penambahan 300,000 pengundi baru sedangkan masing-masing tidak mengetahui siapakah yang akan dipilih mereka pada Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang.

Noh berkata, sekiranya PR benar-benar mahu menegakkan demokrasi, maka sepatutnya mereka membantu mengenal pasti di mana 600,000 pengundi belum berdaftar itu supaya rakyat negeri ini dapat menjalankan hak sebagai pengundi.

Malah Noh mempertikaikan mengapa Kerajaan Negeri tidak membuat bantahan ketika tempoh bantahan sedangkan didakwa mempunyai bajet sebanyak RM1 juta untuk tujuan itu.

“Jadi kita ingatkan lebih awal kepada rakyat negeri ini sekiranya ada mana-mana pihak yang mengedarkan borang-borang nak buat kaji selidik ini maka jangan layan kerana mereka tidak ada kuasa,” katanya pada sidang media selepas majlis penutup Konvensyen Media Sosial 1Malaysia di Politeknik Shah Alam di sini semalam.

Menurutnya, beliau mencabar Kerajaan Negeri untuk melakukan kaji selidik di mana 500,000 orang yang belum mendaftar sebagai pengundi itu.

Katanya, beliau percaya Kerajan Negeri sudah merasakan bahang kekalahan pada PRU akan datang maka mereka cuba mewujudkan persepsi negatif terhadap BN dan SPR.
“Mereka (Kerajaan Negeri) dah mula rasa akan kalah jadi mereka nak beri gambaran negatif terhadap SPR kononnya PRU tidak adil.

“Ini akan menimbulkan rasa tidak puas hati rakyat dan berlaku huru hara serta mendapat perhatian antarabangsa,” katanya.

Khamis lalu, Sinar Harian melaporkan Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim menyerahkan 94,474 borang Kaji Selidik Daftar Pengundi melibatkan tujuh kawasan Dewan Undangan Negeri (Dun) iaitu Pandamaran, Pelabuhan Klang, Selat Klang, Sri Serdang, Kota Anggerik, Batu Tiga, Sri Muda dan Sri Andalas.

Katanya, tujuan kaji selididik tersebut dijalankan adalah untuk membuktikan kepada SPR bahawa wujudnya pengundi hantu berdasarkan peningkatan luar biasa pengundi baru.