Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, June 6, 2012

Diskaun Cukai Pintu Hanya 'Gula-Gula Politik'

KUALA SELANGOR 5 JUN - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor Datuk Seri Noh Omar mempersoal tindakan kerajaan Selangor mengumumkan pemberian diskaun 20 hingga 25 peratus bayaran cukai pintu kepada semua penghuni rumah pangsa kos rendah, hanya selepas empat tahun memerintah negeri itu.

Beliau berkata pemberian diskaun itu jelas hanya sebagai 'gula-gula politik' pembangkang menjelang pilihan raya umum (PRU) akan datang.

"PRU dah dekat, kenapa sekarang baru terfikir nak laksanakan janji yang dibuat empat tahun lalu berbanding dengan perkara yang dijanjikan Perdana Menteri, contohnya pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia yang dilaksanakan sebaik pengumuman mengenainya dibuat," katanya kepada pemberita selepas majlis Anugerah Pelajar Cemerlang 2012 kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini, Selasa.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani mengulas pengumuman Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam, berhubung pemberian diskaun cukai pintu kepada pemilik kediaman flat kos rendah di negeri itu.

Abdul Khalid bagaimanapun berkata diskaun itu hanya layak diterima oleh pemilik yang menghuni rumah flat masing-masing dan mendaftar dengan Badan Pengurusan Bersama (JMB).

Noh turut mempersoal tindakan kerajaan negeri yang tidak menurunkan cukai pintu bagi semua jenis kediaman di negeri itu seperti yang dijanjikan dalam manifesto PRU 2008.

"Ini hanya beri pada rumah kos rendah sedangkan berapa sangat diskaun cukai pintu rumah kos rendah jika dibandingkan dengan kediaman lain," katanya.

Mengenai tindakan kerajaan negeri memperuntukkan 50 lori kompaktor sampah kepada Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ), Noh berkata tindakan itu dilihat sebagai cubaan untuk menutup kelemahan pembangkang menyelesaikan isu kutipan sampah di Selangor.

Beliau berkata sekiranya kerajaan negeri serius ingin menyelesaikan masalah itu, mereka sepatutnya menawarkan kemudahan lori kompaktor sampah tersebut kepada semua Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di Selangor.

"Masalah sampah bukan sahaja di Shah Alam dan Petaling Jaya tetapi di seluruh Selangor," katanya.

Semalam, kerajaan negeri melalui anak syarikatnya, Kumpulan Darul Ehsan Berhad membeli 50 buah lori kompaktor sampah bernilai RM14.5 juta untuk diperuntukkan kepada dua PBT di Selangor sebagai langkah menyelesaikan masalah kutipan sampah di dua kawasan PBT itu. - BERNAMA

Anugerah Pelajar Cemerlang 2012 kawasan Parlimen Tanjong Karang

Sekitar Siri Jelajah Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Negeri Selangor

Daftar Pengundi - Kerajaan Negeri Selangor Dibidas

SHAH ALAM - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor Datuk Seri Noh Omar Noh membidas kerajaan negeri kerana lebih menumpukan kepada isu kewujudan 300,000 pengundi baru dalam daftar pemilih, dan tidak mengambil berat tentang sejumlah 600,000 rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.

Beliau berkata jika kerajaan negeri boleh memperuntukkan RM1 juta untuk kaji selidik daftar pengundi dari rumah ke rumah, mengapa ia tidak membantu mendaftarkan rakyat Selangor sebagai pemilih.

Noh mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)Datuk Wan Ahmad Wan Omar semalam bahawa Selangor merupakan negeri yang mempunyai jumlah tertinggi daripada 3.2 juta rakyat yang layak mengundi tetapi belum mendaftar sebagai pemilih.

"Yang menghairankan, mengapa kerajaan negeri tidak melakukan bantahan sebelum tamat tempoh bantahan daftar pemilih, tetapi memilih untuk melakukan kaji selidik itu, yang tidak mempunyai kuasa daripada segi undang-undang untuk melakukannya," katanya kepada pemberi selepas menutup Konvensyen Media Sosial 1Malaysia Selangor anjuran Jabatan Penerangan dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Khas Selangor di sini, Selasa.

Noh berkata ini adalah cara pembangkang mengelirukan rakyat dan kerajaan negeri sepatutnya membantu SPR mendaftarkan mereka yang layak mengundi sebagai pemilih, dan bukan mencari salah suruhanjaya itu dengan melakukan kaji selidik ke atas daftar pemilih.

"Mereka sedang bina perspektif negatif terhadap SPR ... mereka yakin mereka akan kalah, dan akan terus menyalahkan SPR kerana pilihan raya umum kononnya tidak bersih," katanya. - BERNAMA

Majlis Penyerahan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) Kawasan Sungai Burong musim 2/2010 dan 1/2011 di Pertanian Sungai Burong, Tanjung Karang.

TANJUNG KARANG - Pesawah DUN Sungai Burong menerima Insentif Peningkatan Hasil (IPH) bagi musim 2/2010 dan 1/2011 kerana berjaya meningkatkan hasil padi mereka.

Penyerahan IPH telah disempurnakan oleh Datuk Seri Hj Noh Bin Hj Omar, Menteri Pertanian Dan Industri Asas Tani merangkap Ahli Parlimen Tanjung Karang, bersama YB Dato' Hj. Samsudin Lias, ADUN Sungai Burong, kepada pesawah di kawasan itu, ketika Majlis Penyerahan Insentif Peningkatan Hasil (IPH) Bagi Musim 2/2010 dan 1/2011, di Petanian Sungai Burong, Tanjung Karang, pada Isnin 4/6/2012.