Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, May 27, 2012

Ruang Khas Untuk Belia Pada MAHA 2012

PUTRAJAYA, 26 Mei - Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani akan memperuntukkan ruang khas untuk belia pada Pameran Antarabangsa Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2012, November ini.

Menterinya Datuk Seri Noh Omar berkata langkah itu bagi menggalakkan lebih ramai belia negara ini menceburi bidang pertanian yang boleh memberi pendapatan lumayan kepada mereka.

Justeru diharapkan MAHA Youth 2012 yang diadakan sempena Himpunan Jutaan Belia di sini, dapat memberi pendedahan kepada golongan itu mengenai peluang yang disediakan kerajaan bagi belia melibatkan diri dalam pertanian, katanya.

Beliau yang ditemui pemberita selepas peramsian MAHA Youth 2012 itu hari ini, berkata program tersebut mengumpulkan belia yang terbabit dalam sektor pertanian termasuk program asas tani yang ditubuhkan di pusat pengajian tinggi seperti My Agrosis dan Siswazah Tani.

Pada majlis itu, Noh turut memperkenalkan Batik Agro, iaitu batik yang bermotifkan buah-buahan tempatan sebagai kaedah baru dalam mendekatkan golongan muda kepada bidang pertanian.

Produk batik itu yang direka khusus oleh mahasiswa Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kedah di bawah program My Agrosis, bakal menjadi lambang sektor pertanian dan muncul sebagai duta tekstil untuk memperkenalkan budaya negara, katanya.

Beliau turut menyampaikan Anugerah Usahawan Belia 2012 kepada sembilan usahawan belia yang aktif dalam mengusahakan projek-projek pertanian sehingga berjaya di bawah bimbingan agensi di bawah kementerian itu.