Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, May 25, 2012

MB Selangor tak faham isu air - Noh Omar

SHAH ALAM: Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar hari ini berkata dakwaan Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim bahawa air di Selangor mencukupi menunjukkan beliau tidak faham isu air di Selangor atau cuba bermain politik.

Noh yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional Selangor berkata apa yang dibangkitkan oleh kerajaan persekutuan mengenai kadar rizab air di Selangor yang tinggal 2.4 peratus berbanding kadar sepatutnya pada 20 peratus ialah rizab air terawat bukannya kapasiti air mentah di tujuh empangan di Selangor.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di sini hari ini bagi menjawab kenyataan Abdul Khalid yang mempelawa menteri persekutuan melawat empangan di Selangor bagi membuktikan air di negeri ini mencukupi.

Oleh itu, Noh berkata beliau sanggup menerima cabaran Abdul Khalid supaya melawat empangan-empangan itu dengan syarat Menteri Besar sanggup meminum air dari empangan itu.

Noh berkata buat masa ini terdapat 34 loji rawatan air di Selangor yang mampu mengeluarkan air terawat sebanyak 4,371 juta liter sehari manakala keperluan air terawat di Selangor ialah 4,322 juta liter sehari.

Jumlah air terawat itu termasuk dari Loji Sungai Labu yang dibina kerajaan persekutuan yang mula beroperasi membekalkan 45 juta liter sehari sejak 20 Mac lepas.

Beliau berkata Loji Sungai Labu itu dibina dengan kos RM218 juta termasuk kos pembelian tanah di daerah Sepang daripada Sime Darby Bhd dan bukannya di atas tanah kerajaan negeri.

Loji itu kini diserah kepada kerajaan negeri dan diurus oleh anak syarikat kerajaan negeri Konsortium Air Selangor Bhd walaupun dibina dan dibiayai oleh kerajaan persekutuan.

"Kita tidak berkira dengan kerajaan negeri mengenai pembinaan Loji Sungai Labu dan sehingga kini tiada perjanjian seperti jumlah sewa dan sebagainya dibuat.

Ini menunjukan betapa ikhlasnya kerajaan persekutuan mengatasi masalah air," katanya.

Pembinaan Loji Sungai Labu itu termasuk sebahagian dari RM600 juta projek mitigasi keperluan air di Selangor yang dilaksanakan kerajaan persekutuan selain daripada pemulihan sistem pam air dan pemulihan muka sauk loji rawatan air, kata Noh.

Beliau berkata walaupun dengan adanya loji baru di Sungai Labu, pengeluaran air mentah di jangka tidak mencukupi bagi menampung pelaksanaan projek-projek perumahan baru dan pembinaan 129 kilang dengan nilai pelaburan 3.6 bilion seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Justeru, pembangunan loji rawatan Langat 2 yang sehingga kini tidak mendapat lampu hijau daripada kerajaan negeri mesti dilaksanakan bagi memenuhi keperluan perumahan dan perindustrian yang semakin meningkat di Selangor.

Selangor bawah PKR seperti 'kerajaan papan tanda'

TANJONG KARANG 22 Mei - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Seri Noh Omar (gambar) menyifatkan kerajaan negeri di bawah pimpinan Parti Keadilan Rakyat (PKR) tidak ubah seperti 'kerajaan papan tanda'.

Beliau berkata, gelaran itu diberikan memandangkan kerajaan negeri dilihat lebih suka menaikkan papan tanda berbanding melaksanakan tanggungjawab membantu rakyat.

Katanya, papan tanda yang dibina kononnya sebagai publisiti bagi menunjukkan apa yang dilakukan kerajaan negeri itu sebenarnya tidak membawa apa-apa manfaat kepada rakyat kerana banyak janji pembangkang pada pilihan raya umum lalu tidak dilaksanakan sehingga kini.

"Saya ambil contoh di kawasan Kuala Selangor dan Permatang, kerajaan negeri menaikkan papan tanda yang mengatakan dua kawasan itu sebagai kawasan ikan segar sedangkan orang ramai sudah mengetahui perkara itu.

"Berapa banyak peruntukan yang dibelanjakan kerajaan negeri untuk papan tanda itu? Kalau setakat papan tanda, ia tidak memberi manfaat kepada rakyat, lebih baik gunakan peruntukan itu untuk membantu rakyat seperti golongan nelayan di negeri ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan elaun sara hidup berjumlah RM200 kepada seramai 676 nelayan di kawasan Parlimen Tanjong Karang di sini hari ini.

Pada majlis sama, Noh menyampaikan bantuan perumahan rakyat kepada 102 nelayan di kawasan itu bagi membaiki rumah melibatkan peruntukan keseluruhan sebanyak RM900,000.

Dalam pada itu, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyifatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berbeza dengan pembangkang dalam usaha membela rakyat di negeri ini.

Katanya, walaupun tidak memerlukan sebarang papan tanda atau membuat janji kepada rakyat, kerajaan BN telah melaksanakan agenda membela rakyat di negara ini termasuk di Selangor.

"Misalnya, kerajaan telah menyediakan pelbagai bantuan untuk membantu golongan nelayan seperti memberi elaun sara hidup sebanyak RM200 sebulan selain peruntukan berjumlah RM74.3 juta untuk membaiki rumah kepada 7,638 nelayan di seluruh negara," katanya.

Pada masa sama, katanya, kerajaan turut menyediakan skim perlindungan insurans kepada seramai 47,635 nelayan di negara ini bagi memastikan golongan itu mendapat pembelaan sewajarnya.