Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, May 11, 2012

VIDEO - Datuk Seri Noh Omar Dapat Sambutan Kaum Cina Di Program Mesra Rakyat Kampung Tiram Setia, Tanjung Karang.

Kehadiran yang begitu ramai daripada masyarakat kaum Cina di Program Mesra Rakyat Kg. Tiram Setia, Tanjung Karang, menunjukkan betapa masyarakat kaum Cina masih menyokong dan setia terhadap kepimpinan YB Datuk Seri (Dr) Hj. Noh Bin Hj. Omar, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, selaku Ahli Parlimen Tanjung Karang.

Ini menjadi satu petanda bahawa Barisan Nasional akan menang besar pada PRU13 nanti, serta betapa masyarakat Cina terutama di Kg. Tiram Setia ini menolak pakatan rakyat daripada terus memerintah di negeri Selangor ini.

Datuk Seri Noh Omar turut menyampaikan sumbangan RM3000 setiap seorang kepada bekas-bekas "Home Guard" yang menjaga keselamatan di kampung ini semasa di zaman kekejaman komunis, ketika di Program Mesra Rakyat Kg. Tiram Setia Tanjung Karang, disini, pada 24/4/2012 hari selasa malam yang lalu.


66 Tahun Perjuangan UMNO Limpahkan Nikmat Kepada Seluruh Rakyat – Najib

KUALA LUMPUR – Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata selama 66 tahun penubuhannya, UMNO telah membuktikan bahawa perjuangan parti itu telah memanfaatkan semua rakyat Malaysia, ia telah melimpahkan nikmat kepada semua tanpa mengira kaum, anutan agama mahupun fahaman ideologi.

Sambil menyifatkan UMNO adalah satu pertubuhan massa yang bersifat kebangsaan dan demokratik, beliau berkata keunikan UMNO ialah ia parti yang sentiasa terhubung dengan denyut nadi serta menggarap aspirasi rakyat.

Justeru tegasnya tuduhan liar pihak tertentu bahawa UMNO ialah parti rasis, anti demokrasi mahupun parti elitis tidak benar sama-sekali.

“Hari ini genap 66 tahun usia UMNO. Alhamdullilah 55 tahun daripada kewujudan tersebut telah menyaksikan UMNO menjadi tulang belakang kepada Kerajaan Barisan Nasional yang semenjak merdeka terus diberi kepercayaan melalui pilihan raya yang adil dan bebas oleh majoriti rakyat untuk memimpin negara.

“Sepanjang tempoh tersebut juga menyaksikan bagaimana UMNO dan rakan-rakannya di dalam Perikatan dan kemudiannya Barisan Nasional menyelamatkan demokrasi dari rahang kediktatoran komunisme, menjadi bidan kepada pembentukan Malaysia, membawa pembangunan kepada kawasan luar bandar, melancarkan perang terhadap kemiskinan dan buta huruf, merencana kejuruteraan sosial yang menyaksikan pembentukan kelas menengah yang besar, melaksanakan prakarsa pembaharuan tanah melalui FELDA, melakukan pelaburan besar di dalam bidang pendidikan dan prasarana asas negara dan merubah status negara dari negara pertanian berpendapatan rendah kepada sebuah negara perindustrian berpendapatan sederhana tinggi”, katanya dalam satu perutusan sempena sambutan Ulang Tahun UMNO ke 66 di sini, hari ini.

Namun katanya lagi kejayaan yang telah dicapai tidak boleh menjadikan UMNO alpa terhadap keperluan untuk terus memugar semangat yang mendasari penubuhan UMNO itu sendiri iaitu untuk memartabatkan agama, bangsa dan bumi tercinta.

“Masa berlalu persekitaran berubah cabaran parti era pasca merdeka sudah tentu berbeza dengan cabaran parti pra merdeka dan ketika awal merdeka tetapi di atas segalanya ia demi agama, bangsa dan negara.

“Kita tidak mahu semangat asas yang menjadi teras kekuatan UMNO ini tinggal di dalam lipatan sejarah semata-mata dikenang dan dinostalgiakan”, ujarnya.

Hari ini UMNO kata beliau mempunyai tugas yang amat berat untuk memastikan bukan sahaja sokongan dan dukungan padu massa terhadap Dasar Transformasi Nasional (DTN) berserta semua komponennya ke arah merealisasikan Wawasan 2020 tetapi juga untuk menentukan semua rakyat Malaysia khususnya orang Melayu dan kaum Bumiputera mendapat peluang yang adil dan saksama daripada usaha menjayakannya.

Ucapan Presiden Umno sempena Hari Umno Ke - 66

Tambahnya tanpa sokongan serta dukungan rakyat DTN akan menemui kegagalan. Kegagalan bukanlah satu opsyen, kegagalan DTN bermakna negara akan menjadi statik dan regresif.

“Saya percaya bahawa segala proses introspeksi, perubahan dan pembaharuan yang telah kita sama-sama rencana dan laksanakan sepanjang lebih tiga tahun yang lalu akan menjadikan UMNO sebuah parti yang relevan dan mendapat tempat di hati rakyat.

“Ayuh kukuhkan saf perjuangan, satukan hati-hati kita dalam perpaduan, yakinlah bahawa perjuangan kita ialah perjuangan yang benar dan mulia. Inilah masanya untuk kita mengukuhkan barisan yang ada demi memastikan masa depan bangsa dan negara.

“Perjuangan ini sama sekali tidak boleh berhenti. Ahli-ahli UMNO mesti beriltizam untuk memastikan kejayaan parti terutama dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-13 yang menjadi medan penentu relevan atau tidaknya parti keramat ini. Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam serta tekad untuk terus berjuang ke arah Malaysia yang sejahtera, maju dan makmur”, katanya.

Isu Air di Selangor - Noh Omar Kecam Khalid Ibrahim amal Sentimen Politik.

SHAH ALAM 10 Mei - Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor Datuk Seri Noh Omar mengecam sikap Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim yang melakukan serangan politik berkaitan isu penstrukturan semula bekalan air di Negeri tersebut.

Beliau berkata, Khalid Ibrahim sewajarnya menerima perjanjian Projek Pembinaan Logi Langat 2 yang sehingga kini masih tertangguh akibat sikap egois pimpinan Kerajaan Negeri Pakatan itu.

Katanya, projek yang juga membabitkan pembinaan terowong dari Negeri Pahang sepatutnya mula beroperasi pada 2010 yang lalu bagi menjamin kekurangan bekalan air buat masyarakat Negeri Selangor di masa akan datang. Akan tetapi, ianya tertangguh sehingga hari ini kerana sekatan pembinaan Logi Langat 2 dari pihak Kerajaan Negeri tersebut.

"Jika Logi Langat 2 masih tidak siap, bagaimana isu air ini dapat diselesaikan? Menteri Besar (Khalid Ibrahim) mesti akur dan setuju dengan perjanjian tersebut terlebih dahulu kerana masalah kekurangan air di Negeri ini akan semakin kritikal di masa hadapan," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Himpunan Perniagaan Kecil dan Sederhana di sini hari ini.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani itu turut berkata, projek yang menelan belanja berjumlah RM3.6 Billion ini bukan sahaja mampu memberi bekalan air yang mencukupi di Negeri tersebut, malah penambahan peluang pekerjaan dapat dikecapi golongan muda dan penganggur di Negeri tersebut. Akan tetapi kesan sebaliknya akan berlaku malah segala aktiviti ekonomi di Selangor bakal terbantut akibat kekurangan bekalan air yang didakwa semakin membimbangkan.

Noh Omar menyarankan agar Khalid Ibrahim menghentikan seketika sebarang percaturan politik dan bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam membenarkan projek rakyat ini diteruskan.

Kerajaan Negeri Selangor sebelum ini mendesak Kerajaan Pusat supaya segera menyelesaikan penstrukturan semula industri air di negeri tersebut. Kenyataan yang dikeluarkan Menteri Besar itu susulan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menyeru agar isu air diselesaikan segera dan tidak dipolitikkan demi kepentingan rakyat dan pembangunan negeri tersebut.
Ucapan YB Datuk Seri Noh Omar Sempena Ulangtahun Ke-66 Parti

PM Gesa Pimpinan BN Cari Kaedah Kreatif Selesai Masalah Rakyat.

SHAH ALAM 10 Mei - Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) perlu mencari kaedah kreatif dan berkesan untuk menyelesaikan masalah rakyat dalam era moden ini.

Perdana Menteri, yang juga Pengerusi BN, berkata Pusat Khidmat Rakyat (Pakar), pusat panggilan yang diinisiatifkan BN Selangor, merupakan antara contoh terbaik pendekatan kreatif untuk menangani aduan rakyat. “Mungkin pendekatan ini kita boleh bawa untuk dipertimbangkan ke kerajaan negeri lain. Dalam era moden ini, kita kena fikir cara kreatif dan novel (baru) dalam menyelesaikan masalah rakyat,” katanya ketika diwawancara juruhebah SelangorFM, Dassky Shah Ewas, sempena pelancaran Pakar dan lawatan sehari ke Selangor di sini pada Khamis.

Terdahulu, Najib turut menjawab dua panggilan rakyat ke Pakar yang mengutarakan masalah mengenai badan pengurusan bersama (JMB) sebuah kondominium dan permohonan penubuhan Klinik 1Malaysia.

Panggilan itu turut disiarkan secara langsung di SelangorFM.

Menjawab aduan mengenai JMB yang didakwa tertangguh lebih 12 tahun berikutan karenah birokrasi pemaju kondominium oleh pemanggil yang mengenalkan dirinya sebagai Edmund, Najib berkata masalah itu tertakluk di bawah bidang kuasa Pihak Berkuasa Tempatan di bawah kerajaan negeri.

“Buat masa sekarang kerajaan negeri di bawah pembangkang tetapi kalau Edmund (pemanggil) boleh bantu BN untuk mengambil alih negeri ini, mungkin kita dapat selesaikan masalah ini dengan cepat,” kata Najib, yang turut berjanji akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Mengenai permohonan daripada penduduk pangsapuri Seri Kemuning di Kota Kemuning di sini yang memperkenalkan diri sebagai Mohd Nazri untuk mewujudkan Klinik 1Malaysia, Najib berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada Kementerian Kesihatan untuk dipertimbangkan.

Pakar, yang mula beroperasi pada 9 April lepas, setakat ini menerima 1,963 aduan rakyat yang mana 1,437 atau 73 peratus daripadanya berjaya diselesaikan.

Antara panggilan yang diterima adalah berkaitan kebajikan membabitkan orang kelainan upaya, warga emas, ibu tunggal, Bantuan Rakyat 1Malaysia, pencen, pinjaman pendidikan, infrastruktur dan projek terbengkalai.

Najib turut merasmikan tiga acara anjuran BN Selangor iaitu pelancaran lagu ‘Sayangi Selangor Yakini BN’, penubuhan Persatuan Barisan Artis Nasional (BRAN) peringkat nasional dan melepaskan konvoi anggota Persatuan Pemandu Teksi Selangor yang memasang bendera BN pada teksi masing-masing.