Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Sunday, March 18, 2012

Bekas pelumba kelab Le Tua, Rafizi Hamdan maut dalam kemalangan langgar lari.

KUALA LUMPUR - Bekas pelumba kelab Le Tua, Rafizi Hamdan terbunuh dalam satu kemalangan langgar lari di KM 20.3 Jalan Lingkaran Tengah 2, Taman Melawati, Ampang D, pagi tadi.

Dalam kejadian pukul 7.30 pagi itu, Rafizi, 37, yang mewakili pasukan Le Tua dan baru menimang cahaya mata kedua dipercayai dilanggar sebuah kereta ketika dalam perjalanan ke Genting Sempah untuk bertemu dan beriadah bersama ahli kelab berbasikal Le Tua.

Abang ipar Rafizi, Akmal Abu Hanif berkata, keluarganya terkejut setelah menerima berita kemalangan yang dimaklumkan oleh salah seorang rakan arwah.

"Tidak sangka aktiviti hujung minggu arwah beriadah bersama rakannya bertukar tragedi," katanya.

Katanya, arwah telah berkahwin dan mempunyai seorang anak berusia sembilan tahun dan baru menerima cahaya mata kedua.

Rafizi juga merupakan penaja kelab basikal Le Tua yang popular dalam penyertaan kejohanan Le Tour de Langkawi sebelum ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin berkata, mangsa mati di tempat kejadian setelah dirempuh oleh sebuah kereta Proton Saga yang kemudian melarikan diri.

"Pemandu itu melarikan diri tanpa menyedari nombor pendaftaran milik kereta dia tertanggal di lokasi, kami berjaya mengenal pasti kenderaan itu," katanya.

Amiruddin berkata, kejadian berlaku di hadapan stesen minyak Shell berhampiran susur keluar ke Taman Melawati, polis akan melakukan siasatan pada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di stesen minyak itu.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara berbahaya atau melulu hingga menyebabkan kematian.

"Saksi kejadian diminta tampil membantu siasatan polis," kata beliau.

BN Digesa Kaji Semula Formula Agihan Kerusi Di Kalangan Parti Komponen

KOTA KINABALU - Barisan Nasional (BN) perlu mengkaji semula formula agihan kerusi di kalangan parti komponennya pada pilihan raya umum, kata Ketua Umno Penampang Datuk John Ambrose.

Beliau berkata BN sepatutnya menghapuskan amalan memperuntukkan semula kerusi kepada parti komponen yang bertanding pada pilihan raya umum sebelum ini.

"Amalan ini lebih banyak mendatangkan keburukan kepada BN kerana berdasarkan amalan ini, sesebuah parti komponen masih diberi peluang untuk bertanding tanpa mengira sama ada ia mempunyai calon boleh menang atau tidak

"Ini akan menyebabkan parti berkenaan berasa selesa kerana mereka tahu sama ada bekerja keras atau tidak, kerusi itu masih milik mereka," katanya kepada pemberita hari ini.

Ambrose berkata perkara ini akan melemahkan semangat parti komponen lain, terutama anggotanya, yang bekerja keras di sesuatu kawasan seumur hidup mereka, "namun masih tidak diberi peluang untuk bertanding".

Penganalisis - Calon muda senjata PRU13 BN

Siapa dan apa sebenarnya yang dimaksudkan dengan ‘calon winnable’? Itulah kata popular yang berlegar sejak setahun lalu dalam kalangan parti komponen Barisan Nasional (BN).

Kalau ikut terjemahan literal - ia bermaksud calon berpotensi menang.

Persoalannya, atas faktor apa? Apakah ciri-ciri yang membina karakter dan aura ‘boleh menang’ pada seseorang jika terpilih sebagai calon? Pastinya yang terpilih merasakan diri sendiri mempunyai ciri-ciri itu apatah lagi selepas mampu mengekalkan kerusi ditandingi untuk tempoh yang lama.

Namun, landskap politik selepas ‘tsunami 2008’ diyakini telah merubah persepsi itu. Yang disebut kini ialah penonjolan barisan wajah muda berketerampilan, sebagai senjata baru BN khususnya di Selangor untuk mencipta kejutan pada Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) yang mungkin tinggal beberapa bulan sahaja lagi.

Faktor persona muda ini jugalah selari dengan cita rasa pengundi semasa dan barangkali ciri sebenar ‘calon winnable’ ini.

Kalau itulah indikatornya, sejauh mana aura anak muda dalam BN ini boleh diangkat sebagai wakil parti berkhidmat untuk rakyat? Adakah BN bersedia dengan strategi ini?

Dan, adakah kebolehan calon muda BN ini nanti mampu menenggelamkan kebolehan dan populariti pemimpin seusia mereka dalam Pakatan Rakyat (PR).

Menjawab soalan itu, penganalisis politik, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata,BN tidak pernah kekurangan pemimpin muda malah peluang untuk bertapak kukuh dan meningkat naik ke tahap lebih tinggi dalam parti sentiasa terbuka.

“Pemimpin muda BN ada, cuma sejauh manakah pendedahan yang telah diberikan dan adakah mereka sudah mendekati pengundi? Sudah pasti dalam percaturan BN ialah menampilkan calon muda kerana itulah senjata yang boleh digunakan untuk menang di beberapa kawasan tertentu.

“Peluang juga ada. Sekiranya dapat diminimumkan isu dalaman seperti pemilihan calon yang betul, aura dengan rakyat bagus, maka penampilan tidak akan menjadi satu masalah. Barulah ia akan menyokong jentera pergerakan, sekali gus akan memberikan satu pengukuhan ke atas parti itu sendiri,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan pe­mimpin muda PR hari ini, muncul selepas PRU12 lalu, yang mana pada ketika itu calon bukanlah faktor keme­nangan PR.

Bagaimanapun kali ini, calon menjadi faktor penting dan apa yang pasti, BN serta parti komponennya harus melakukan sesuatu bagi menampilkan calon berkelayakan.

Sivamurugan berkata, pemimpin muda BN memerlukan pendedahan meluas dan penampilan mereka digarap dengan lebih mantap, agar dilihat mempunyai nilai yang boleh menyumbang kepada parti terutamanya dalam pilihan raya.

Beliau berkata, kepada pemimpin muda sendiri, mereka perlu mengambil peluang tersebut dengan menampakkan sesuatu yang luar biasa di dalam diri mereka.

“Kini ramai bercakap tentang ke­pen­tingan pengundi muda, jadi sudah pasti pengundi mahu pemimpin mereka dari generasi sama iaitu seorang pemimpin yang boleh men­­jiwai watak, karakter golongan muda.

“Pemimpin muda itu sendiri harus keluar dari kepompong yang menyekat mereka untuk me­nunjukkan mereka juga boleh tampil sebagai pemimpin bagi generasi ini dan juga generasi lepas,” katanya.

Namun, beliau tidak menafikan ramai pemimpin muda kurang mendapat perhatian disebabkan ada kekangan dan keterbatasan tertentu yang memungkinkan mereka tidak mendapat pendedahan sebagaimana pemimpin muda yang sudah menjadi wakil rakyat.

Beliau berkata, sebelum PRU12 ramai tidak mengenali Nik Nazmi Nik Ahmad, Jenice Lee, Hannah Yeoh, namun mereka menyerlah kerana sudah mula bekerja bersama dengan pemimpin akar umbi sehingga membolehkan mereka mempunyai pengikut sendiri.

“Mungkin dalam pilihan raya akan datang, calon dan pemimpin muda dalam BN berpeluang men­da­pat perhatian sama atau lebih daripada apa yang diperoleh pemimpin muda PR. Ini memerlukan kerja keras dari parti dan mungkin sokongan dari segi liputan media,” katanya.

BN dan PR jauh berbeza

BN adalah sebuah organisasi matang yang berpengalaman luas dalam dunia politik malah sudah mengalami be­be­rapa peringkat pertumbuhan dan kini dalam proses meremajakan se­mula organisasi itu.

Dalam usaha itu, parti komponen BN seperti Umno, MCA, MIC, Gerakan, PPP, IPF mempunyai ramai pemimpin yang berkebolehan, ber­pe­ngalaman dan berketerampilan de­ngan pembentukan organisasi par­ti yang lebih berstruktur.

Pengerusi Sekretariat Orang Muda Selangor (Serang), Budiman Mohd Zohdi berkata, keadaan ini membezakan BN dengan PR yang dianggap sebuah parti yang baru dalam peringkat pertumbuhan dari segi organisasi.

“Mereka ‘pick and pluck’ mana-ma­­na individu yang mereka ma­hukan untuk dijadikan calon pada pilihan raya umum 2008 lalu. Suasana itu membezakannya, mereka senang naik walaupun tiada pengalaman sebab tiada senior dalam parti itu.

“Tidak adil untuk mem­ban­ding­kan BN dengan PR kerana kita boleh lihat sendiri bagaimana kelam kabut PR memilih calon, main tang­kap muat sahaja. Mereka tidak mela­lui proses seperti BN, belajar dari bawah, peringkat demi peringkat seperti YB Shukor (Adun Kuang), YB Johan (Adun Semenyih), YB Isa (Adun Batang Kali),” katanya.

Budiman berkata, kehebatan pemimpin muda dalam BN masih relevan kerana proses generalisasi dalam parti sentiasa berterusan di mana setiap pemimpin datang dan pergi apabila tiba masanya.

Beliau berkata, setiap pemimpin akan melalui proses berkenaan ke­rana mereka tidak akan selamanya berada di atas, tiba masa pemimpin senior kena tarik ‘handbrake’ dan peluang mesti diberikan kepada pemimpin muda untuk meneruskan perjuangan BN.

Katanya, sejak dahulu lagi, BN tidak pernah ketandusan barisan kepimpinan bawah 40 tahun malah proses memberi peluang kepada orang muda dalam BN adalah proses berterusan.

“Apa yang penting, bagaimana pemimpin muda ini hendak me­nempatkan diri sebab peluang sudah ada, mereka perlu menunjukkan usaha dan bersedia untuk menggalas tanggungjawab tersebut.

“Mungkin juga dari segi liputan media yang kurang mengejar mereka, apabila kurang seolah-olah mereka tidak ditonjolkan. Sepatutnya media perlu memainkan peranan mem­be­rikan ruang dan tempat kepada pe­mimpin muda dalam BN,” katanya.

Dengan ruang yang ada, beliau dan pemimpin muda yang lain perlu berusaha lebih gigih menzahirkan tanggungjawab dan amanah sebagai pemimpin.

Ketua Pemuda Umno Bahagian Sungai Besar itu juga berkata, pemimpin muda seperti beliau perlu lebih fokus untuk terus berkhidmat kepada rakyat dan menyerahkan kepada umum untuk menilai.

“Kita tidak boleh menilai diri sendiri sama ada bagus atau tidak kerana ramai yang akan melihat dan menilai diri kita seperti rakyat, masya­rakat, pemimpin di peringkat ter­tinggi juga menilai.

“Kerja parti memerlukan ko­mit­men amat tinggi, tidak boleh ada ‘hidden agenda’. Jikalau ada ‘hidden agenda’, pemimpin itu akan ber­masalah dan tertekan. Kalau pemim­pin itu buat sesuatu dengan amanah, ikhlas dan penuh tanggungjawab, sudah tentu tiada masalah,” katanya.

Guna saluran betul kritik Umno

KEPALA BATAS (17/3/2012) - Bekas Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi menasihatkan veteran Umno menggunakan saluran betul mengkritik parti daripada membuatnya secara terbuka demi menjaga imej parti itu.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kepala Batas berkata tindakan segelintir veteran parti mengkritik Umno secara terbuka perlu segera dihentikan kerana ia akan menimbulkan perbalahan antara anggota parti.

"Tidak salah jika veteran Umno mahu memberi pendapat terhadap pimpinan tertinggi atau parti namun ia haruslah dibuat dengan niat mahu memberi kebaikan dan bukannya merosakkan imej parti," katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) daerah Seberang Perai Utara (SPU), di sini hari ini.

Abdullah berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan segelintir vateran Umno yang dilihat lantang mengkritik parti secara terbuka.

Katanya, sikap buruk seperti perang mulut dan saling menunding jari antara satu sama lain dalam Umno perlu dielakkan kerana boleh menyusah dan menimbulkan perbalahan sesama anggota seterusnya memberi gambaran buruk kepada rakyat.

"Kalau ada pandangan beritahu kepada pemimpin Umno dalam majlis-majlis parti atau bawa kepada jawatankuasa parti sama ada di peringkat bahagian atau cawangan atau tulis surat kepada majlis tertinggi. Jangan menghina dan mengkritik parti kita (Umno) kerana kita mahu Umno menang dalam pilihan raya akan datang. Kalau ahli sendiri memburukkan parti ia boleh merosakkan imej Umno," katanya.

Abdullah berkata, pimpinan Umno boleh bertemu dan berbincang dengan golongan veteran parti bagi mendengar sendiri masalah dan pandangan golongan tersebut terhadap parti.

"Tidak salah kalau pemimpin Umno juga turun padang dan mendengar sendiri pendapat golongan veteran ini kerana kadangkala pandangan mereka boleh digunakan oleh parti," katanya.

Ketika mengulas konsep negara kebajikan sebagaimana diamalkan di negara maju yang memberi bantuan sepenuhnya kepada golongan tidak berkemampuan dan kurang upaya, Abdullah berkata Malaysia mempunyai pendekatan tersendiri dalam merencana pembangunan dan kebajikan rakyatnya.

Katanya, konsep kebajikan produktif yang dibuat kerajaan ketika ini dengan memberi bantuan kepada rakyat sebagai galakan untuk mereka menambah nilai dan pendapatan hasil bantuan yang diberikan kerajaan, dilihat lebih membantu rakyat berdikari memajukan diri.

"Saya yakin kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai pendekatan tersendiri menghadapi masalah berkaitan kebajikan. Kerajaan kita sentiasa berusaha menambah program yang dirancangkan," katanya.

Terdahulu, Abdullah yang juga Pengerusi Majlis Pembangunan Keluarga dan Masyarakat (Mayang) SPU, dalam ucapannya berkata kerajaan memperuntukkan RM12 juta menyalurkan kepada 4,768 penerima bantuan JKM di daerah itu tahun ini.

ADA PENYELEWENGAN PEMBERIAN KONTRAK SAMPAH DI SELANGOR.??

SUBANG JAYA, 17 Mac - Presiden Persatuan Pengguna Subang dan Shah Alam (CASSA), Jacob George mendedahkan dokumen yang didakwa sebagai berlakunya penyelewengan dalam pemberian kontrak sisa pepejal di Selangor.

Beliau berkata dokumen ini datangnya dari pemberi maklumat melibatkan "kawan-kawan dan kroni" 30 syarikat "mencurigakan" yang terlibat dalam proses tender dalam pemberian kontrak kutipan sampah yang turut membongkar satu watak utama misteri yang dikenali sebagai "Mok".

"Kita lihat bahawa banyak syarikat-syarikat ini menggunakan pemampat sampah dan lori yang sama. Apakah ukuran atau barometer yang digunakan untuk memberi kontrak kepada syarikat-syarikat ini?

"Kebiasaannya kontrak diberikan kepada syarikat-syarikat yang mempunyai infrastruktur, pengalaman dan harga tender yang baik. Tetapi apa yang berlaku sekarang? Mengapa syarikat sub-kontrak kerja-kerja mereka kepada orang lain dan menggunakan trak orang lain? Tidakkah ini menunjukkan terdapat percanggahan kepentingan?

"Kami juga dapati bahawa dakwaan wujud dua syarikat menawarkan harga yang begitu hampir dengan harga anggaran yang hanya boleh membawa satu kemungkinan besar, terdapat unsur campurtangan dari dalam yang memberikan maklumat-maklumat kepada kontraktor ini mengenai butiran tender," kata George.

"Ada sesuatu yang tidak kena. Saya hanya mengetengahkan aduan daripada rakyat. Mengapa tanggungjawab CASSA untuk membuktikan semua unsur-unsur rasuah? Itu tugas SPRM. Mengapa kerajaan negeri menolak semua beban kepada kami dan tidak terkehadapan dan secara terbuka menjelaskan segala-galanya?, " soal beliau.

Jacob George berkata sepatutnya kerajaan negeri harus telus cukup untuk memberi penerangan kepada orang awam mengenai dokumen tender dan membiarkan orang ramai yang tahu proses sebenar.

"Jika anda benar-benar mahu memberikan projek-projek ini kepada kenalan anda, mengapa tidak hanya mengadakan tender tertutup? Apa perlu dikatakan sebagai tender terbuka" katanya.

Jacob George turut menunjukkan dokumen yang didakwa ditulis oleh seorang kontraktor yang hilang dalam proses tender akibat mereka bukan dari kalangan kroni. "Surat ini merujuk kepada nama 'Mok', satu nama yang saya telah mendengar daripada sumber-sumber saya yang lain juga. Dia seolah-olah menjadi fasilitator yang menjaga keseluruhan proses tender.

"Keseluruhan proses pemberian tender ini seperti operasi Ali Baba di mana syarikat-syarikat Bumiputera digunakan sebagai penghias muka hadapan majalah manakala orang lain mengawal selia proksi', "katanya.

Jacob George turut mengumumkan bahawa CASSA dengan sekurang-kurangnya 16 NGO lain telah meneruskan dengan rancangan untuk mengadakan beberapa siri ceramah dan penerangan ke seluruh negara mengenai perkara ini.

Kita mahu bercakap mengenai tadbir urus yang baik dan rasuah. Bukan sahaja melibatkan isu tender sampah, malah melibatkan isu pasir, pembelian dan perolehan. Kami mahu pengundi untuk berfikir dan mengundi dengan betul, katanya.

Persatuan Pengguna Islam Malaysia (PPIM) melalui Pegawai Eksekutifnya, Mohd Mustaffa Hamzah, sebuah organisasi yang disokong CASSA, akan turut sama dipanggil untuk mengambil tindakan drastik ke atas kerajaan negeri Selangor.

"Kami menggesa semua NGO yang lain untuk membuat pendirian yang sama untuk menyokong ketelusan dan anti-rasuah, dan menghentikan pertumbuhan rasuah di Malaysia. Sekarang ini kita melihat pemimpin kerajaan negeri yang tidak realistik. Mereka bercakap tentang ketelusan dan rasuah tetapi apabila melibatkan rakan-rakan mereka, mereka berdiam diri. Yang ini tidak betul, "kata Mustaffa.

"Ada sesuatu yang betul-betul tidak kena di sini. Dan apa yang kita saksikan kini hanyalah kualiti kejatuhan pungutan sampah secara drastik. Ini adalah bom jangka yang berdetik, "kata George. - klpos

Penulis blog disaran terap rasa cinta kepada negara

KUALA LUMPUR 16 Mac - Pengamal media baharu termasuk penulis blog disaran menerapkan rasa cinta kepada negara serta sistem demokrasi yang menjadi amalan di negara ini.

Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, golongan itu harus bijak memilih sama ada mahu menjadi seorang penulis blog biasa atau seorang aktivis sosial.

Katanya, seorang blogger biasa mempunyai niat untuk menyakiti perasaan orang lain manakala seorang aktivis sosial pula menulis untuk membina sebuah dunia yang lebih baik.

"Kita mahu melihat Malaysia yang lebih baik berteraskan toleransi penduduk berbilang kaum sejajar dengan gagasan 1Malaysia.

"Ini kerana, penulisan blog melalui media sosial akan melahirkan satu kehidupan baru meskipun ada pihak mengatakan kumpulan itu memainkan peranan negatif.

"Tetapi kita perlu lihat dari sudut yang positif kerana ia dalam kata lain dapat membentuk negara bangsa yang berjaya," katanya kepada pemberita selepas menyempurnakan Anugerah Penulis Blog dan Media Sosial 2012 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini hari ini.

Anugerah tersebut mempertandingkan 30 kategori termasuk Blog Politik Terbaik yang dimenangi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad manakala Ikon Media Sosial Tahunan pula dimenangi artis popular, Aznil Nawawi.