Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, March 17, 2012

TERKINI.!!! - PRU 13 akan diadakan pada 3 Jun ??

16/3/2012 - Kerajaan Pusat sedang mempertimbangkan kemungkinan mengadakan Pilihan Raya Umum ke-13 (PRU13) pada Mei atau Jun ini, lapor Bloomberg hari ini.

Dengan memetik empat sumber yang tidak mahu namanya didedahkan, Bloomberg melaporkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual bercakap di hadapan sekitar 4,000 orang kakitangan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, khususnya dari Jabatan Penerangan, yang akan membantu menyelia perjalanan pilihan raya yang akan dikendalikan oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

Salah satu tarikh yang disyorkan ialah 3 Jun, demikian menurut tiga pegawai dipetik laporan portal Bloomberg.

"Kesemua petanda menuju ke arah pilihan raya pada akhir Mei atau awal Jun ini," kata Ong Kian Ming, penganalisis politik dari UCSI.

"Ia adalah masa yang sesuai bagi Najib," katanya.

Kian Ming juga berkata, "jika beliau menunggu lebih lama, skandal-skandal lain akan muncul."

Sehubungan itu katanya, jika keadaan sedemikian wujud, ia sudah pasti akan menjejaskan segala 'suasana mesra' BN yang wujud sekarang, yang antara lain disumbangkan oleh pengagihan bantuan dijanjikan dalam Bajet 2012.

Dalam kenyataan kepada Sinar Harian Online awal minggu ini, Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, pada pandangan beliau tempoh yang sesuai yang ada sebelum sesi Parlimen Julai ini ialah dua minggu pertama Mei dan dua minggu kedua Jun.

Kisah Amir Mendapat Perhatian


KUALA SELANGOR: “Saya akan mulakan hidup baru dengan emak di sini dan berharap dengan kerja baru ini, saya dapat membalas jasanya,” kata kata Amir Mohd Omar, 27, pemuda yang terpaksa meninggalkan ibunya, Faridah Maulud, 66, di sebuah hotel bajet, di Jalan Raja Muda di sini, minggu lalu.

Amir berkata demikian selepas menerima pekerjaan ditawarkan seorang usahawan besi keluli, Datuk Jamhuri Abdul Rahman, 43, di Kuala Selangor, semalam selain turut disediakan kereta dan sebuah rumah yang sudah dibayar sewa setahun untuk dia tinggal bersama ibunya.

Menurut Amir, dia amat menghargai kesudian Jamhuri untuk mengambilnya bekerja serta menyediakan tempat tinggal bersama ibunya dan kemudahan itu sama sekali tidak pernah terlintas di fikirannya.

“Semuanya bagaikan mimpi. Saya tidak tahu hendak kata apa. Yang pasti, tumpuan saya sekarang hanyalah untuk membawa mak tinggal bersama.

“Selain itu, saya juga akan bekerja dengan sebaik mungkin bagi membalas kepercayaan majikan yang memberi peluang kepada saya,” katanya ketika mengadakan pertemuan bersama Jamhuri di sini yang diatur Harian Metro, semalam.

Kisah Amir mendapat perhatian ramai selepas Harian Metro dalam laporannya 9 Mac lalu mendedahkan kisah ibunya yang lumpuh kebingungan apabila ditinggalkan bersendirian oleh Amir di sebuah hotel bajet selama empat hari hingga terpaksa dijaga kakitangan hotel berkenaan.

Berikutan laporan berita itu, Jabatan Kebajikan Masyarakat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JKMWPKL) membawa Faridah keluar dari hotel berkenaan dan menempatkannya di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh bagi membolehkan dia diberi penjagaan sewajarnya.

Persoalan mengenai tindakan Amir itu terjawab apabila Harian Metro berjaya menjejaknya dan dalam pertemuan dengan wartawan akhbar ini, Amir berkata dia bertindak sedemikian selepas hilang pertimbangan dan buntu berikutan masalah kesihatan dialaminya, selain tertekan dengan masalah kewangan berikutan pendapatannya sebagai pegawai pemasaran yang tidak seberapa.

Sehari kemudian, Harian Metro berjaya mempertemukan dua beranak itu di Pusat Sehenti JKM Sungai Buloh hasil kerjasama pengarah JKMWPKL, Noormah Abdul Rauf.

Sementara itu, Jamhuri berkata, dia terpanggil untuk mengambil Amir bekerja di kilangnya kerana mahu pemuda itu mengubah kehidupannya kepada yang lebih baik dan tidak mengabaikan ibunya.

Menurutnya, selepas membaca laporan Harian Metro minggu lalu dia menghubungi JKM untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Amir dan ibunya sebelum dihubungi wartawan bagi mengaturkan pertemuan.

“Saya berharap dengan peluang yang ada ini, Amir akan dapat mengubah tahap hidupnya selain menjaga ibu seperti dihajatinya,” katanya.