Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, March 15, 2012

Lawatan kerja sehari PM ke Selangor Ahad ini

SHAH ALAM  — Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak akan melakukan lawatan kerja sehari ke Selangor Ahad ini di bawah program ‘Nurani Rakyat’ di Petaling Jaya, Shah Alam dan Puchong.

Kordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Mohd. Zin Mohamed berkata, lawatan kerja Najib bagi mendengar denyut nadi rakyat akan bermula di Petaling Jaya, pada sebelah pagi.

Pada lawatan kerja itu, Najib antara lain akan menyertai perhimpunan Perdana Menteri Bersama Rakyat di Sekolah Menengah Kebangsaan Putra Perdana yang dijangka dihadiri 30,000 penduduk dari lima kawasan Parlimen – Sepang, Serdang, Puchong, Hulu Langat dan Kuala Langat, katanya.

Program perhimpunan bersama rakyat itu turut mengadakan pameran dan jualan pelbagai produk pertanian dalam Karnival Produk Pertanian bermula jam 10 pagi manakala pada 4 petang akan berlangsung majlis penyampaian sumbangan kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru dari lima Parlimen berkenaan serta insentif kepada pelajar-pelajar cemerlang PMR.

Mohd. Zin berkata, menerusi lawatan itu, selaku Pengerusi Badan Perhubungan BN Selangor, Najib mahu memastikan apa jua usaha beliau dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang turut kerap turun padang di negeri ini, menepati kehendak masyarakat setempat dan dilaksanakan mengikut jadual.

Perdana Menteri mahu menyediakan lebih banyak ruang untuk mendekati denyutan nadi rakyat di Selangor yang sudah mula menyatakan secara terbuka bahawa mereka sudah bersedia untuk memilih semula BN supaya kembali mentadbir negeri ini dengan lebih cekap, katanya.

“Gerak kerja di bawah program ‘Nurani Rakyat’ dengan tema ‘Sayangi Selangor Yakin BN’ mendapat sambutan baik dan masyarakat di semua pelosok negeri berlumba-lumba menjemput dua pemimpin tertinggi negara itu datang ke tempat mereka,” kata Mohd. Zin yang juga Pengarah Operasi Jentera Pilihan Raya BN Negeri.

Tanda-tanda PRU ke 13 semakin hampir.!!!

Bulan Mac sudahpun hampir masuk minggu ke ketiga. Sekaligus melesetkan peramal-peramal politik sebelum ini kononnya PRU ke 13, pada penghujung bulan ini kerana Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak masih belum membubarkan Parlimen.

Kini jangkaan terbaru ibu segala pilihan raya itu adalah akhir Mei atau awal Jun.

Ada juga meramalkan hujung tahun ini selepas Najib membentangkan Bajet 2013. Kononnya banyak lagi ‘durian runtuh’ untuk dinikmati rakyat selepas macam-macam pemberian bantuan serta kenaikan gaji penjawat awam.

Selagi Najib membisu pasal tarikh pilihan raya itu, spekulasi mengenai tarikh bagi rakyat memilih kerajaan terus jadi buah mulut.

Namun, disudut pembangkang, serangan demi serangan khususnya kepada Najib membayangkan seolah-olah PRU ke 13 sudah terlalu hampir.

Serangan peribadi terhadap Najib sudah sampai kemuncak apabila Pengarah Strategi PKR, Rafizi Ramli menuduh pejabat Perdana Menteri membiayai perbelanjaan pertunangan anaknya di sebuah hotel terkemuka.

Selepas penafian oleh pejabat Perdana Menteri, Rafizi masih menekan Najib menjawab lapan perkara termauk mengemukakan dokumen rasmi bukti perbelanjaan pertunangan anak perempuannya Nooryana Najwa dengan warga Kazakhstan, Daniar Nazarbayev. itu tidak dibayar oleh rakyat.

Jelas ini semua hanya mainan pembangkang yang yakin PRU ke 13 sudah hampir dan serangan terhadap Najib adalah kemuncak selepas serangan terhadap Datuk Seri Sharizat Abdul Jalil dalam isu NFC dilihat sesetengah pihak seolah-olah menyebelahi mereka.

Pembangkang tahu, untuk menumpaskan kerajaan BN, selain Perdana Menteri, Ketua Wanita dan Ketua Pemuda UMNO perlu ‘diserang’ sama bagi melemahkan parti dan BN.

Khairy Jamaluddin nampaknya tidak berapa terkesan dengan tohmahan atau serangan pembangkang.

Selain PKR, PAS juga melakukan serangan terhadap Najib apabila Dewan Muslimat pada Sabtui mempertikaikan wang dana yang digunakan Najib bagi mengadakan lawatannya ke seluruh negara.

Timbalan Ketuanya, Dr Siti Mariah Mahmud berkata, sebagai seorang perdana menteri, Najib sepatutnya dapat membezakan bila beliau turun sebagai seorang ketua negara dan sebagai ahli politik.

"Dia seorang perdana menteri, dia juga presiden UMNO. Rakyat tak dapat bezakan dia pergi ke setiap negeri-negeri itu sebagai apa?" soalnya dalam satu sidang media Sabtu.

"Sebagai perdana menteri, dia turun menggunakan perbelanjaan rakyat tetapi membuat kerja-kerja untuk parti," katanya yang mendakwa ianya satu penyelewengan dan menyalahgunakan kedudukan sebagai perdana menteri dan berkempen untuk UMNO.

Nampak sangat Mariah hanya bercakap tanpa melihat tindak tanduk Ketua Menteri Pulau Pinang, MB Kelantan dan MB Kedah yang ke sana kononnya atas urusan kerajaan negeri tetapi turut bercakap soal politik dan berkempen.

Kenapa baru sekarang Mariah mempersoal Najib yang menjalankan tugas bertemu rakyat bagi menerangkan soal-soal pembangunan dan mempertahankan usaha-usaha kerajaan yang sentiasa dihentam pembangkang?

Jawapannya kerana pembangkang merasakan PRU ke 13 semakin hampir.

Najib adalah kubu terakhir yang perlu dilemahkan jika tidak dapat ditumbangkan.

Namun Najib bukan sahaja gagal dilemahkan atau ditumbangkan, tetapi kajian Merdeka Centre for Opinion Research melaporkan rating sokongan terhadap Perdana Menteri meningkat kepada 69 peratus daripada 59 peratus pada Ogos 2011.

Inilah menyebabkan pembangkang semakin meroyan dan menyerang Najib adalah peluang terbaik mereka sebelum impian menobatkan Anwar sebagai Perdana Menteri terkubur.

Noh saman ADUN Sekinchan, kerajaan Selangor RM10 juta

Pembangkang jangan fikir nak ambil jalan mudah ke Putrajaya dengan fitnah pemimpin kerajaan Barisan Nasional (BN) kerana silap haribulan atau silap mulut badan boleh binasa.

Taktik lama tabur fitnah dan tuduh macam-macam terhadap pemimpin BN berulang bila tiba nak pilihan raya dan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar juga tak terlepas jadi sasaran mereka.

Cuma mereka silap orang kerana ahli parlimen Tanjung Karang itu bukan sahaja berani caka macam-macam tentang helah pembangkang malah beliau telah memfailkan saman fitnah terhadap kerajaan negeri Selangor serta Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Sekinchan, Ng Sue Lim kerana didakwa memfitnah beliau.

Ini gara-gara kerajaan negeri Selangor melalui akhbar rasminya, SelangorKini dalam keluaran 25 November sehingga 2 Disember 2011 telah menerbitkan dua artikel yang dikatakan memfitnah Noh.

Antara lain tajuk artikel itui: "Pesawah tuntut Noh Omar letak jawatan" serta artikel yang turut menyiarkan kain rentang "Noh Omar khianat petani dan lesap RM110 juta untuk bantuan petani".

"Satu kita saman kerajaan negeri bersama enam yang lain termasuk sidang pengarang SelangorKini dan satu lagi kepada Adun Sekinchan," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen pada Rbu.

Beliau berkata, saman sebanyak RM10 juta setiap satu telah difailkan di Mahkamah Tinggi Shah Alam,Selangor pada 9 Mac lalu melalui peguam beliau, Datuk Firoz Hussein Ahmad Jamaluddin.

Noh menegaskan, penerbitan kata-kata fitnah itu boleh menjatuhkan reputasi beliau sebagai Ahli Parlimen, menteri dan juga Timbalan Pengerusi BN Selangor.

Katanya, inilah taktik selalu pembangkang guna bila nak pilihan raya dengan buat macam-macam fitnah bagi mempengaruhi rakyat Mahkamah menetapkan 22 Mac ini untuk pendengaran pengurusan kes.

Dewan 'kecoh' dua hari berturut-turut

14/3/2012 - Perdebatan panas Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Parlimen Rembau Khairy Jalamudin berkenaan sokongan Anwar kepada Israel semalam rupa-rupanya tidak berakhir lagi.
Pagi Rabu, Dewan Rakyat yang bersidang bermula 'panas' sebaik Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman mula menjawab soalan nombor satu.

Semuanya bermula apabila Anifah menjawab soalan Datuk Juslie Ajirol (BN-Libaran) yang mahu tahu sumbangan yang telah diusahakan kerajaan Malaysia terhadap Palestin selama ini.

Anifah dalam jawapannya mengaitkan dengan kenyataan Anwar berhubung sokongannya terhadap keselamatan Israel dalam Wall Street Journal yang disiarkan Januari lalu.

Suasana dingin dewan bertukar panas secara tiba-tiba apabila beberapa anggota Parlimen pembangkang bertindak bangun dan membantah kenyataan itu yang disifatkan sebagai tidak berasas.

Dimulai oleh Nurul Izzah Anwar (PKR-Lembah Pantai) yang mendakwa Anifah cuba mengelirukan Dewan dan sengaja menggunakan ruang menjawab untuk menghina dan melemparkan tuduhan tidak berasas terhadap Anwar.

Turut bangun adalah Khalid Samad (PAS-Shah Alam), Azmin Ali (PKR-Gombak), dan Yusmadi Yusuf (PKR-Balik Pulau) yang sama-sama meminta Anifah agar membaca keseluruhan kenyataan Anwar agar tidak terus mengelirukan Dewan.

Nurul Izzah turut meminta agar Anifah dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen sekiranya beliau enggan menarik semula kenyataannya itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Wan Junaidi Tuanku Jaafar bagaimanapun berkata: "Tak payah ajar saya tugas saya. Biar saya jalankan tugas saya, biar saya buat keputusan sendiri. Jangan desak saya."

Kekecohan yang berlangsung hampir setengah jam itu yang turut disertai Datuk Bung Mokhtar Radin (BN-Kinabatanagan) dan Datuk Mohamed Aziz (BN-Sri Gading) akhirnya reda apabila Wan Junaidi tidak membenarkan sebarang soalan tambahan dibangkitkan.

Walaupun pembangkang cuba buat bising, tapi Anifah menjawab dengan tenang dan tidak mempedulikan asakan demi asakan mereka.

Dalam jawapannya, Anifah menegaskan bahawa Malaysia tidak pernah menjalin hubungan diplomatik dengan Israel dan dasar itu jelas serta tidak berubah sejak dulu.

Menurutnya, Malaysia juga secara konsisten menyatakan kebimbangan serta mengutuk serangan dan pencerobohan Israel di wilayah yang diduduki rakyat Palestin, selain penempatan haram mereka di Tebing Barat.

"Sebagai negara yang prihatin dan bersimpati terhadap nasib malang Palestin, Malaysia telah dan akan terus memberi sokongan dari segi sosial, politik dan ekonomi kepada Palestin. Ini termasuk bantuan kewangan dan kemanusiaan menerusi bantuan pembangunan semula di Gaza dan Tebing Barat.

Khairy kilas Anwar mengenai isu keselamatan Israel di Dewan Rakyat

13/3/2012 - Suasana Dewan Rakyat petang Selasa gamat seketika bila Khairy Jamaluddin berentap dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai isu keselamatan Israel dalam interbiunya dengan akhbar Wall Street Journal baru-baru ini.

Pertikaman lidah berlaku semasa Ahli Parlimen Rembau itu mencelah ucapan Ketua Pembangkang yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh ketika membahas titah Diraja.

Ini gara-gara Anwar membangkitkan isu itu dalam perbahasannya dan dilihat cuba membersihkan dirinya dengan mendakwa kenyataan sebenarnya di akhbar itu diputarbelit oleh media tempatan.

Anwar mengulangi kenyataanya sebelum ini bahawa perkataan 'contingent' yakni bersyarat yang disebutnya bagi jaminan keselamatan Israel itu tidak diberi perhatian dalam laporan media.

Namun Anwar terbelit dengan penjelasannya itu bila Khairy sebaliknya menyifatkan beliau sebenarnya menyatakan sokongan mutlak kepada jaminan keselamatan rejim zionis berdasarkan kenyataannya.

Khairy kemudiannya membaca dua petikan kenyataan Anwar iaitu :"I support all efforts to protect the security of the state of Israel" dan kenyataan kedua berbunyi :"...stated that any change to the status quo would remain contingent on Israel recognising the aspirations of the Palestinians".

"Saya faham soal 'contingent' itu tetapi saya hendak tanya kenapa Yang Berhormat Ketua Pembangkang tidak baca sepenuhnya paragraf temu bual dengan Wall Street Journal itu sebab kalau dibaca sepenuhnya, maknanya berbeza.

"Maksudnya kenyataan ini ada dua bahagian. Apabila Yang Berhormat sebut "I support all efforts to protect the security of the state of Israel", itu tidak ada 'contingent', maknanya sokongan itu adalah 'blanket support', sokongan mutlak yang tidak ada syarat kepada kerajaan Israel," katanya.

Anwar kelihatan begitu emosi bila dipersoalkan begitu hingga kedengaran membebel hal-hal menyentuh peribadi Khairy yang tidak relevan dengan perbahasan mengenai isu itu.

Ramai pemerhati yang melihat perbahasan itu menerusi CCTV di luar dewan tertawa melihat gelagat Anwar seperti orang tenggelam punca.

Usaha Khairy untuk bangun lagi mencelah berbahas dengannya selepas itu langsung ditolaknya.