Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, March 10, 2012

Tanpa tender : Saya ada bukti, kata Noh Omar

TANJONG KARANG (9/3/2012) - Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Selangor, Datuk Seri Noh Omar mendakwa beliau mempunyai cukup bukti untuk menunjukkan kerajaan negeri Selangor pimpinan PKR telah memberikan projek secara rundingan terus dan bukannya menerusi tender.

Katanya, beliau mempunyai senarai kontrak-kontrak berkenaan dan akan mendedahkannya kepada umum pada waktu yang sesuai.

Noh membuat dakwaan itu sebagai merujuk kepada dakwaan editor portal "Malaysia Today" Raja Petra Kamaruddin mengenai perkara itu baru-baru ini.

"Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata dokumen mengenai kontrak tanpa tender yang diluluskan kerajaan negeri Selangor akan dibentangkan pada sidang Dewan Undangan Negeri pada 19 Mac.

"Sehubungan itu, saya mahu lihat sama ada dokumen yang dikemukakan itu adalah sama seperti yang ada pada saya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) di sebuah sekolah dekat sini hari ini.

Raja Petra berkata, sekiranya kerajaan negeri menafikan dakwaannya itu, beliau akan menyiarkan butiran kontrak berkenaan dalam blog beliau atau membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dalam perkembangan lain, Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menyelar Jawatankuasa Pemilih Kecekapan, Akauntabiliti dan Ketelusan Selangor (Selcat) kerana tidak dapat membentangkan hasil inkuiri awam ke atas tiga syarikat milik kerajaan negeri pada sidang Dewan Undangan Negeri akan datang.

Beliau berkata, Ahli Dewan Undangan Negeri telah tidak diberikan ruang yang cukup untuk membahaskan banyak isu yang dibangkitkan semasa pendengaran awam itu.

Selcat telah menjalankan inkuiri ke atas Kumpulan Semesta Sdn Bhd (KSSB), anak syarikat kerajaan negeri Selangor dan pemegang konsesi perlombongan pasir; cabang pendidikan Yayasan Selangor dan anak syarikat Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS). - Bernama

UMNO – gagal membina bangsa Melayu

Semakin kerap kita mendengar ungkapan UMNO gagal membentuk bangsa Melayu. Komen-komen dalam artikel tulisan di kebanyakan blog atau rangkaian sosial juga menerima kenyataan yang serupa. Mungkin sudah sampai masanya kita bertanya – apakah bentuk kegagalan yang dimaksudkan itu. Mana kesalahan UMNO yang dirasakan hari ini telah memusnahkan bangsa itu sendiri atau kejayaan UMNO mahu di salah erti – semata-mata mahu meragut kuasa yang ada.

Dalam posting ini tidak akan memperuntukkan statistik kejayaan Melayu – namun kita mampu melihat sendiri perkembangan orang Melayu dari sudut pendidikan, pemilikan dan partisipasi dalam perekonomian. Ini bukan sesuatu yang dikarang tetapi realiti amat menyerlah.

Kehairanan kita adalah apabila dikatakan kerajaan merompak hak rakyat dan juga mendiskriminasi rakyat. Mereka menyebut seolah-olah rakyat negara ini terus ditekan dan terus dibiarkan dalam suasana kemiskinan. Ini adalah tahayul semata-mata. Ini sebenarnya relatif ukuran yang salah. Mereka selalu membandingkan mengenai apa yang sepatut dapat dengan apa yang ada. Ukuran apa yang sepatut dapat adalah tahayul politik menyerang dan bukan ukuran perbandingan mengenai semalam dan hari ini. Cara mengukur mereka adalah cara menghukum cita-cita. Usaha untuk memajukan bangsa khususnya Melayu tidak pernah pupus. Setiap usaha yang ada khususnya hari ini jelas menunjukkan kepekaan kerajaan terhadap rakyat dalam menilai keperluan.

Jujur, kita sendiri melihat bahawa banyak perubahan sudah mula berlaku. Transformasi politik semakin ketara. Pendekatan mengutamakan, mendampingi dan mendahului kebajikan rakyat menjadi keutamaan.

Kita perlu sedar bahawa sekiranya UMNO diruntuhkan atas tahayul politik yang diajukan maka rakyat sendiri akan rugi. Mampukah kita bertahan – kepantasan desakan kemodenan dan pembangunan – semata-mata kita mahu menyediakan kerajaan baru – yang belum tentu dapat memastikan kelangsungan pembangunan negara ini? Adakah kita mahu berpegang kepada cara meruntuhkan apa yang ada – semata-mata mahu menunggu yang baru dan yang belum tentu boleh beraksi. Jangan berdentum guruh di langit – kita sudah membuat ketetapan untuk mencurah air di tempayan.