Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, March 9, 2012

Gaji kakitangan awam:pembangkang garu kepala....dan satu lagi pusingan spekulasi pilihanraya

Setiap kali ada berita besar yang mengembirakan rakyat....soalan sama akan keluar.

"Semua orang boleh membuat spekulasi kononnya pilihan raya akan berlaku sebaik sahaja kerajaan menyelesaikan status kedudukan SBPA, tidak ada salahnya."

Itu jawapan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika ditanya wartawan mengenainya selepas merasmikan set tren MyKomuter di Kuala Lumpur Khamis.

Sebelum itu di Putrajaya Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu perhimpunan khas dengan penjawat awam mengumumkan pelarasan gaji dan pembatalan skim Saraan Baru Perkhidmatan Awam (SBPA).

Pengumuman yang menyelesaikan isu gaji dan faedah kepada 1.4 juta kakitangan awam sudah tentunya buat pembangkang garu kepala dan akan cetuskan satu lagi pusingan spekulasi hangat tentang pilihanraya umum dalam masa terdekat.

"Ini adalah satu petanda pilihan raya sudah dekat, kemungkinan selepas pertabalan Yang diPertuan Agong pada 12 April depan atau mungkin pada bulan Mei depan," kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng pada wartawan di Melaka ketika diminta mengulas tentang pelarasan gaji itu.

Dalam pada itu di blog,twitter dan facebook pembangkang juga riuh dicanang tentang kemungkinan pilihanraya umum sudah dekat.

Pusingan spekulasi sebelum ini bertumpu kepada kepada pemberian RM500 menerusi BR1M.

Pembangkang nampaknya menjadi semakin kalut kebelakangan ini melihat satu per satu pengumuman 'feel good' dibuat oleh kerajaan yang melegakan rakyat.

Kalau sebelum ini kita lihat segala macam usaha dibuat untuk mencerca pemberian BR1M termasuk umpan pancing undi ,kini pembangkang sedang jenuh susun ayat untuk menimbulkan keraguan rakyat pada berita gembira terbaru ini.

Dewan Pemuda PAS Malaysia awal-awal lagi cuba menidakkan hasrat baik kerajaan dengan mendakwa keputusan Perdana Menteri membatalkan SBPA kembali kepada Sistem Saraan Malaysia (SSM) adalah suatu kejayaan rakyat khususnya kakitangan awam dalam memperjuangkan hak mereka.

Dalam usaha memberi untuk memberi gambaran seburuk mungkin ia turut mendakwa Najib akhirnya terpaksa mengalah kepada tekanan rakyat yang tidak berpuashati kerana tidak meletakkan kepentingan rakyat bawahan dalam perkara yang membabitkan mereka.

Sedangkan menurut Muhyiddin sendiri langkah kerajaan mengembalikan SSM yang ditambah baik membuktikan kerajaan Barisan Nasional sangat responsif terhadap kehendak masyarakat.

Beliau menjelaskan langkah itu diambil setelah satu jawatankuasa yang ditubuhkan untuk menilai semula SBPA berpendapat ia tidak berapa sesuai dengan gagasan 1Malaysia iaitu Rakyat Didahulukan dan Pencapaian Diutamakan.

"(Justeru) Perdana Menteri telah mengambil satu langkah (untuk) menilai balik (SBPA)," katanya.

Anihnya pembangkang bercakap tanpa melihat kiri kanan.Mereka lupa sebahagian besar dari janji manifesto mereka semasa pilihanraya umum Mac 2008 tidak dipenuhi hingga ke hari ini.

Di Selangor misalnya,Setiausaha Perhubungan UMNO Selangor Datuk Seri Zin Mohamed mendakwa tidak sampai 10 peratus dari perkara-perkara yang dijanji dalam manifesto pembangkang ditunai.

Rakyat Selangor,Pulau Pinang dan Kedah yang jatuh ke tangan pembangkang semasa pilihanraya umum lalu sendiri sedar kepincangan ini.

Bab Kelantan jangan cakap,kerajaan negeri itu terus mendendangkan slogan agama untuk mengkaburi pelbagai kelemahannya termasuk isu air yang tidak selesai setelah lebih 20 tahun perintah negeri itu.

Pada ketika semua parti politik sudah mula nak masuk gear empat sebagai persiapan menghadapi PRU13,difahamkan pembangkang sedang giat mengatur strategi untuk mencetuskan pelbagai gambaran buruk pada aja jua usaha baik kerajaan.

"Nanti dekat-dekat pilihanraya anda kelak boleh merasakan seolah tidak ada satu benda pun yang berguna dalam negara ini...sedangkan kita semua hidup aman damai selama ini," kata seorang bekas aktivis pembangkang yang berharap rakyat tidak kelabu mata dengan gelagat biasa mereka itu.

Katanya pembangkang tahu mereka ada banyak kelemahan yang perlu disorok menjelang pilihanraya umum yang cukup mencabar kali ini.

"Strategi yang kami pakai sejak dulu... hentam apa saja yang baik-baik agar rakyat keliru,"katanya.

Beliau mengakui dalam senario politik semasa di negara ini pembangkang mempunyai kelebihan 'untuk menuduh' kerana mereka bukan kerajaan pusat yang memerintah.

Ini katanya kerana lumrah manusia yang suka dengar cerita-cerita sensasi dan tuduh menuduh panas.

"Memang mudah kalau pakai hentam dan tembak apa saja..begitu juga bab berjanji bulan dan bintang macam dalam Buku Jingga dalam 100 hari semua boleh buat...kami pun tahu semua itu temberang saja....soalnya peduli apa,"katanya.

Golongan ‘middle income’ juga jangan dilupakan

Alhamdulillah janji Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada satu acara di Sabak Bernam, Selangor, baru-baru ini untuk memberi pembelaan kepada segenap lapisan masyarakat termasuk kelompok berpendapatan sederhana atau middle income group yang diakui beliau kadang-kala terlepas pandang, cukup menggembirakan.

Walaupun program membela rakyat ini memang sudah dijalankan oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak sekian lama, kelompok yang selalunya diberi tumpuan ialah golongan miskin atau bawah dan golongan perniagaan atau korporat yang biasanya kumpulan berpendapatan tinggi, selain kakitangan kerajaan.

Seperti yang diakui sendiri oleh Perdana Menteri, kelompok pertengahan iaitu yang berpendapatan sederhana ini kadang-kala terlepas pandang. Mungkin tidak terlebih rasanya mengatakan kelompok ini yang tidak layak menerima bantuan kebajikan atau segala macam kemudahan untuk golongan berpendapatan rendah tetapi tidak pula terlalu kaya sehingga mampu menikmati segala insentif pelepasan cukai yang dinikmati masyarakat perniagaan, tersepit dan terhimpit di tengah-tengah.

Mereka ini yang rata-ratanya kakitangan swasta bergaji RM3,000 ke atas tetapi tidak mencecah RM10,000 menjadi kumpulan yang dilupakan. Mereka ini tidak layak menerima BR1M RM500, tidak layak membeli rumah kos rendah atau sederhana rendah tetapi tidak mampu membeli rumah kos sederhana yang harganya kini tidak kurang RM200,000.

Malangnya, mereka ini ialah kelompok pembayar cukai. Rata-ratanya menjadi penyumbang setia pendapatan cukai kerajaan melalui potongan cukai berjadual (PCB) setiap bulan. Setelah ditolak PCB, potongan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Socso dan Perkeso, hutang kereta serta rumah, baki gaji mereka yang tinggal tidak sebanyak mana.

Kenaikan harga barang sejak beberapa tahun kebelakangan ini turut menyumbang kepada kesempitan hidup mereka. Memandangkan kelompok ini kebanyakannya sudah berkeluarga, perbelanjaan dapur, duit sekolah dan susu anak, yuran tuisyen, tambang bas juga perlu diambil kira. Itu belum ditambah duit minyak dan tol ke tempat kerja.

Nilai wang untuk mereka berbelanja semakin menyusut. Jika dulu dengan RM100, mereka boleh membeli-belah barangan dapur sehingga penuh satu troli, kini mungkin hanya dapat menjinjing beg plastik sebelah tangan sahaja.

Justeru janji Perdana Menteri untuk membela nasib mereka memang cukup lunak di telinga kelompok ini mendengarnya. Walaupun belum cukup melegakan, sedikit-sebanyak ia memberi harapan kepada golongan berpendapatan sederhana ini untuk mengimpikan insentif-insentif yang bakal menyusul mereka tidak lama lagi.

Sebenarnya banyak cara kerajaan boleh membantu golongan ini. Selain mengawal harga barang keperluan agar tidak dinaikkan oleh peniaga sesuka hati sehingga membebankan mereka, kerajaan boleh menimbang meningkatkan kadar pelepasan cukai pendapatan individu untuk golongan ini.

Bagi menghargai pembayar cukai yang setia, kerajaan boleh memberikan baucer minyak dan barangan, yang pastinya akan dapat digunakan mereka sekali gus membantu merancakkan ekonomi negara. Sebenarnya banyak cara yang boleh difikirkan kerajaan untuk membantu golongan berpendapatan sederhana ini.

Mungkin pihak yang bertanggungjawab menyampaikan keluhan kelompok ini kepada Perdana Menteri mampu memikirkan sekali apa caranya untuk menunaikan janji tersebut. Apa-apapun terima kasih diucapkan kepada pihak yang bertanggungjawab yang membawa perkara ini ke pengetahuan Perdana Menteri. Ini adalah kerana mereka benar-benar bekerja, benar-benar mendengar keluhan rakyat marhaen yang terlepas pandang ini dan menyampaikan apa yang benar ke telinga Perdana Menteri.

Sudah sekian lama kelompok ini mengeluh dan menaruh harapan, akhirnya keluhan itu didengari juga! Menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 yang disebut-sebut sebagai ibu pilihan raya dan adanya pihak yang berani bercakap benar amat dihargai!

Kita semua percaya Perdana Menteri sendiri tidak mahu mendengar khabar yang muluk-muluk. Hakikat sebenar walaupun pahit perlu disampaikan agar yang kelabu tidak dikatakan putih sehingga membawa kealpaan seperti yang berlaku pada pilihan raya umum lalu. Wallahuallam.

Undi Melayu berpecah... siapa yang untung?

Dalam realiti kehidupan seharian, sememangnya tidak nampak tanda-tanda perpecahan di kalangan orang Melayu. Orang Melayu hidup sekampung, di satu taman perumahan, di rumah pangsa yang berselerakan, anak-anak bersekolah dan bermain bersama, sesama ibu bapa mereka bekerja di bawah satu bumbung, bersembahyang di masjid yang sama, berbual mesra di kedai kopi, malah saling bantu-membantu ketika ada kematian atau kenduri kendara dan majlis keraian, apatah lagi pada hari kebesaran.

Jika peniaga, orang Melayu akan membeli di kedai sebangsa dengan mereka dengan hasrat untuk membantu semoga perniagaan bertambah maju. Bila anak-anak bangsa mencapai kejayaan pelajaran yang cemerlang, bukan ibu bapa mereka saja gembira, malah bangsa mereka turut berasa megah.

Begitulah mesranya persefahaman di kalangan orang Melayu. Namun, kemesraan di kalangan orang Melayu ini menyebabkan sukar untuk membuktikan wujudnya perselisihan sesama mereka. Ia berbeza sewaktu perselisihan orang Melayu berikutan Amanat Haji Hadi Awang pada 1981 yang mencetuskan fenomena sembahyang dua imam, tidak sah makan sembelihan orang UMNO dan sebagainya.

Hari ini, sudah tidak kedengaran fenomena orang Melayu tidak bertegur sesama sendiri akibat selisih faham politik melainkan sekali-sekala sewaktu berlaku perhimpunan politik atau pilihan raya. Bagaimana pun, beberapa peristiwa yang berlaku setakat ini belum sampai ke tahap yang mencemaskan.

Sebenarnya, perpecahan orang Melayu yang nyata ialah daripada konteks undi dalam pilihan raya. Kesan perpecahan undi ini boleh menyebabkan mereka tersembam di bumi sendiri. Inilah kesan buruk yang sangat ditakuti oleh orang Melayu kerana sekali terlepas kuasa, amat sukar untuk mendapatkannya semula.

Orang Melayu boleh membakar kelambu kerana marahkan seekor nyamuk tetapi, jangan lupa mereka juga sebenarnya membakar sebuah mahligai bangsa yang selama ini memberi keselesaan hidup kepada orang Melayu.

Apabila undi Melayu pecah, siapakah yang akan untung? Tepuk dada, tanya selera, semua orang tahu jawapannya. Jangan nanti orang Melayu alpa kerana ketika mereka berpecah, orang lain membina kekuatan dan strategi. Orang Melayu tidak berfikiran strategik berbanding kaum lain yang menguasai kekayaan negara ini.

Sebenarnya, mereka yang berkepentingan mengharapkan perpecahan undi orang Melayu kerana itu adalah cara paling mudah untuk mereka mendapat kuasa. Disebabkan undi adalah penentu kepada kuasa dalam negara demokrasi, mereka mengharapkan orang Melayu terus bertelagah sehinggalah akhirnya mereka berjaya memegang tampuk kuasa.

Punca utama perpecahan undi di kalangan orang Melayu ialah perbezaan ideologi politik. Semua tahu, perpecahan undi Melayu mempunyai kaitan rapat antara orang UMNO dan PAS. Antara UMNO, parti tunjang Barisan Nasional (BN) dan PAS, amat sukar untuk duduk semeja dan mencari titik pertemuan.

Kedua-dua parti itu dengan pengikut masing-masing tidak bersetuju antara satu dengan lain dalam apa isu juga hanya disebabkan perbezaan pegangan hidup. Mereka bukan tidak sedar bahawa perpecahan undi boleh menyebabkan orang Melayu hilang kuasa. Walaupun ia menghantui pemikiran ramai orang Melayu, tidak ada usaha ke arah penyatuan dilakukan secara serius.

Ketika ada risik-risik bahawa ada pimpinan PAS cuba mengadakan hubungan awal dengan UMNO untuk merintis jalan mengadakan semula pemuafakatan, kumpulan ini awal-awal lagi ‘dipancung’ supaya tidak meneruskan pertemuan. Keadaan ini berlaku kerana kumpulan ini tidak mahukan orang Melayu bersatu.Tujuan pemimpin mereka berbuat demikian ialah untuk membiarkan perpecahan orang Melayu ini berterusan. Cara ini lebih mudah untuk mereka membuat tuntutan politik dan sebagainya.