Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, March 7, 2012

MB didesak dedah butiran kontrak

SHAH ALAM 6 Mac - Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim didesak mendedahkan butiran kontrak yang dikatakan diberi secara rundingan terus tanpa melalui proses tender terbuka seperti didakwa pengendali portal Malaysia Today, Raja Petra Kamaruddin semalam.

Koordinator Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Seri Ir. Mohd. Zin Mohamed berkata, pendedahan itu penting kerana dakwaan Raja Petra adalah sesuatu yang serius apatah lagi ia melibatkan kredibiliti Abdul Khalid dalam mentadbir kerajaan negeri.

Menurutnya, sebelum ini Abdul Khalid pernah berjanji pada rakyat bahawa pentadbirannya akan menghapuskan proses pemberian tender secara rundingan terus kerana menganggap amalan itu tidak telus.

''Suatu ketika parti pembangkang sering mengaitkan BN dengan amalan nepotisme dan kronisme seolah-olah mereka sempurna serta tidak pernah melakukan kesalahan, tetapi hari ini kita baca dalam tulisan Raja Petra, perkara sebaliknya pula yang berlaku.

''Ini menunjukkan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor tidak konsisten meskipun setelah hampir empat tahun diberi peluang memerintah, malah sehingga hari ini masih banyak janji yang dibuat dalam pilihan raya umum lalu tidak terlaksana," katanya kepada pemberita di Pejabat UMNO Selangor di sini hari ini.

Beliau mengulas entri terbaru Raja Petra yang mendakwa Kerajaan PKR Selangor telah menganugerahkan tender secara rundingan terus dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM250 juta sejak 2008 dan bukannya melalui tender terbuka seperti yang dijanjikan oleh mereka.

Raja Petra dipetik sebagai berkata, pada Ogos 2008, Abdul Khalid telah membuat pengumuman bahawa Selangor akan menamatkan amalan pemberian kontrak secara rundingan terus.

Namun, pada tahun sama juga kontrak berjumlah RM79 juta telah dianugerahkan kepada sebuah syarikat secara rundingan terus.

Mohd. Zin berkata, pendedahan Raja Petra yang pernah menjadi 'rakan' dalam pakatan pembangkang itu seharusnya membuka mata rakyat bahawa Kerajaan PKR Selangor telah gagal mentadbir negeri dengan baik.

''Rakyat boleh menilai kelemahan kerajaan negeri termasuk dalam mengurus tadbir beberapa agensi mereka, antaranya kelemahan pihak berkuasa tempatan (PBT) menguruskan kutipan sampah sehingga menimbulkan rungutan rakyat di negeri ini," jelasnya.

Tambah Mohd. Zin, pihaknya turut menerima aduan daripada beberapa kontraktor bumiputera di negeri ini yang sukar memperoleh tender daripada Kerajaan PKR Selangor sekali gus membuatkan sumber pendapatan mereka terjejas.

"Beberapa kontraktor bumiputera mengadu kepada saya kerana berasa hairan apabila mereka sentiasa tidak diberi peluang untuk memperoleh tender daripada kerajaan negeri. Ini menimbulkan persoalan kepada kita, kepada siapa sebenarnya tender tersebut diberi dan apakah ia dibuat secara telus dan adil," katanya.

Hakim, Nenek Dan Ubi Kayu

Sangat mengharukan, seorang hakim bernama Marzuki di Mahkamah Indonesia berasa sebak dengan penerangan pesalah seorang nenek tua yang mengaku salah mencuri ubi kayu.

Di ruang mahkamah pengadilan, seorang hakim duduk termenung menyemak pertuduhan kepada seorang nenek yang dituduh mencuri ubi kayu. Nenek itu merayu bahawa hidupnya miskin, anak lelakinya sakit, dan cucunya kelaparan. Namun pengurus ladang tuan punya ladang ubi tersebut tetap dengan tuntutannya supaya menjadi iktibar kepada orang lain.

Hakim menghela nafas dan berkata, “Maafkan saya, bu”, katanya sambil memandang nenek itu.

”Saya tidak dapat membuat pengecualian undang-undang, undang-undang tetap undang-undang, jadi anda harus dihukum. Saya mendenda anda Rp 1 juta (lebih kurang RM350) dan jika anda tidak mampu bayar maka anda harus masuk penjara 2.5 tahun, seperti tuntutan undang-undang”.

Nenek itu tertunduk lesu. Namun tiba-tiba hakim menbuka topi hakimnya, membuka dompetnya kemudian mengambil & memasukkan wang Rp 1 juta ke topinya serta berkata kepada hadirin yang berada di ruang mahkamah.

‘Saya atas nama pengadilan, juga menjatuhkan denda kepada setiap orang yang hadir di ruang mahkamah ini, sebesar Rp 50 ribu (lebih kurang RM17), kerana menetap di bandar ini, dan membiarkan seseorang kelaparan sehingga terpaksa mencuri untuk memberi makan cucunya.

“Saudara pendaftar, tolong kumpulkan denda dalam topi saya ini lalu berikan semua hasilnya kepada yang tertuduh”

sebelum tukul diketuk nenek itu telah mendapatkan sumbangan wang sebanyak Rp 3.5 juta dan sebahagian telah dibayar kepada mahkamah untuk membayar dendanya, setelah itu dia pulang dengan wajah gembira dan terharu dengan membawa baki wang termasuk wang Rp 50 ribu yang dibayar oleh pengurus ladang yang mendakwanya.

Kisah ini sungguh menarik dan boleh di share untuk menjadi contoh kepada penegak undang-undang di Malaysia agar bekerja menggunakan hati nurani dan mencontohi hakim Marzuki yang berhati mulia ini.