Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Saturday, March 3, 2012

Noh: Apakah k'jaan S'gor cekap kerana jual tanah?

Menteri Pertanian Datuk Seri Noh Omar mencabar negeri Selangor pimpinan Pakatan Rakyat mendedahkan sumber kewangan yang diperolehi Perbadanan Kemajuan Pertanian Selangor (PKPS).

Noh, yang juga Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Selangor, berkata pimpinan negeri yang diterajui PKR, yang kononnya telus dalam pengurusan perlu menjelaskan bagaimana simpanan tunai PKPS meningkat dari RM8.3 juta pada 2008 kepada RM114 juta tahun lalu.

Beliau mempersoalkan kenyataan negeri Selangor, menerusi laporan Selangor Kini terbitan semalam, yang mendakwa kenaikan prestasi kewangan PKPS hasil kecekapan pengurusan kerajaan negeri itu.

Noh berkata beliau difahamkan hasil itu sebenarnya meningkat daripada penjualan tanah PKPS seluas 12,000 hektar kepada sebuah syarikat semasa pemerintahan BN, yang transaksi jual beli itu selesai pada 2010 dengan nilai RM97 juta.

"Adakah dengan mendapat hasil jualan tanah boleh dikatakan kerajaan Selangor sebuah kerajaan yang cekap?," katanya.

Beliau sebelum itu merasmikan mesyuarat agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan Sri Tiram Jaya di Tanjung Karang, semalam.

Najib umum potongan 50 peratus kadar tol Lebuh Raya Cheras-Kajang.

Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan pemansuhan bayaran tol RM1 menghala ke Kuala Lumpur di Plaza Tol Batu 9 dan bayaran 90 sen di Plaza Tol Batu 11 menghala ke Kajang, berkuat kuasa tengah malam kelmarin.

Perdana Menteri berkata, keputusan kerajaan itu akan mengurangkan beban pengguna yang kerap menggunakan Lebuh Raya Cheras-Kajang sebanyak 50 peratus, atau pengurangan bayaran tol daripada RM3.80 kepada RM1.90 untuk dua hala.

“Ini adalah usaha dan perjuangan kerajaan Barisan Nasional sejak 2009 lagi dan hari ini kerajaan jadikan kenyataan,” katanya pada majlis pecah tanah projek Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SRJK) Cina Bandar Sungai Long di sini.

Pada majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan sumbangan RM4.5 juta untuk membiayai sebahagian kos pembinaan sekolah berkenaan.

Sekolah itu akan dibina di tanah seluas 2.4 hektar. Ia mempunyai 36 buah bilik darjah untuk kemudahan 1,500 murid di kawasan berkenaan.