Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Wednesday, December 5, 2012

Adun Permatang kecam premium tanah kediaman

SHAH ALAM, 30 NOV - Tindakan kerajaan Selangor mengenakan kadar premium tanah kediaman yang tinggi kepada rakyat di negeri itu disifatkan sebagai perbuatan tidak bertanggungjawab.

Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Permatang Sulaiman Abdul Razak dari Barisan Nasional (BN) berkata, ini kerana kerajaan negeri cuba mengaut keuntungan apabila memperkenal sistem premium mengikut nilai pasaran sehingga mencecah ratusan ribu ringgit, sekaligus membebankan rakyat berpendapatan rendah.

"Saya sendiri menerima berpuluh-puluh aduan daripada penduduk yang tidak mampu membayar premium tanah kerana harga yang dikenakan sangat tinggi. Sebagai contoh, ada pemilik tanah di kawasan Kampung Sungai Yu, Tanjong Karang yang terpaksa membayar premium mencecah hampir RM230,000 untuk tanah seluas 0.7 hektar.

"Keadaan ini ternyata berbeza ketika pentadbiran BN yang mengenakan premium tanah beberapa ribu ringgit saja (untuk keluasan sama). Adalah sesuatu yang menyedihkan kerana rakyat terpaksa membayar premium tanah yang sama mahal dengan harga hartanah semasa," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sidang Dewan Undangan Negeri (Dun) di sini.

Sulaiman berkata, kegagalan kerajaan negeri memahami kepentingan kemudahan asas ini, selain mengambil kesempatan mencari untung besar dengan mengenakan premium tanah yang tinggi, turut dikesali pemaju projek pembangunan.

Mengulas dakwaan Adun Sekinchan Ng Suee Lim bahawa terdapat 'projek sapu tanah' oleh BN Selangor membabitkan 24 lot tanah seluas 13.56 hektar yang dijual kepada parti komponen di negeri itu, beliau berkata Ng cuba memanipulasi isu itu demi meraih keuntungan politik.

"Saya ingin bertanya apa salahnya jika ada orang BN memiliki tanah, dan ia tidak salah di sisi undang-undang.

"Mereka ini membeli tanah dengan prosedur yang betul... bukan mengambil tanah orang," katanya.

Dalam pada itu, Sulaiman memberi jaminan kepada rakyat Selangor bahawa kadar premium tanah akan kembali seperti dahulu jika BN kembali memerintah Selangor selepas Pilihan Raya Umum ke-13.

Sumber - UmnoSelangor

No comments: