Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Thursday, November 8, 2012

VIDEO.!!! Pelatih Institiut Pertanian Terima Elaun Dalam Pengajian

SERDANG, 5 Nov - Seramai 1,623 pelatih di Institut Pertanian dan Majlis Latihan Pertanian Kebangsaan (NATC) seluruh negara akan kembali menerima elaun sehingga RM300 sebulan bermula Januari depan.

Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Noh Omar berkata ia membabitkan peruntukan RM4 juta setahun, di mana pelatih sijil akan menerima RM200 sebulan, RM250 sebulan untuk pelatih diploma manakala RM300 sebulan untuk pelatih yang menjalani latihan praktikal industri.

"Sebelum 2010, pelatih-pelatih ini diberi duit poket tapi tak selaras. Sebagai contoh pelatih Institut Pertanian diberi elaun RM50 sebulan, di bawah Jabatan Veterinar diberi RM60 sebulan, tetapi duit poket ini diberhentikan pada 2010 kerana kekurangan peruntukan.

"Pemberian semula elaun ini menunjukkan bahawa kerajaan memberi tumpuan serius kepada generasi muda supaya mereka benar-benar komited dan akan meneruskan perjuangan dalam sektor pertanian," katanya kepada pemberita selepas majlis perjumpaan menteri dengan siswazah tani dan usahawan Taman Kekal Pengeluaran Makanan (TKPM) di Institut Pertanian Serdang.

Noh berkata kementerian juga diberi peruntukan RM4 juta untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan naik taraf fasiliti di pusat-pusat Institut Pertanian di seluruh negara.

Selain itu, beliau berkata program TKPM, yang kini mempunyai 64 tapak berkeluasan lebih 7,000 hektar di seluruh negara akan disusun semula dengan persetujuan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini, termasuk untuk memajak tapak TKPM daripada kerajaan negeri.

Beliau berkata ia berikutan tanah adalah hak milik kerajaan negeri dan apabila dipajakkan, lebih mudah untuk kementerian membuat perancangan termasuk kemungkinan menyediakan kemudahan kediaman di tapak TKPM terbabit berbanding pada masa ini di mana usahawan TKPM perlu berulang-alik setiap hari untuk ke tapak TKPM mereka.

"Sekarang ni bila mohon (tanah untuk dijadikan tapak TKPM), kerajaan negeri akan beri tanah dan kita bangunkan. Tanah itu sepatutnya diwartakan. Bila kita tak warta kerajaan negeri boleh ambil balik tanah tersebut.

"Masalah timbul apabila kerajaan pusat berlainan dengan kerajaan negeri. Macam di Selangor, (tanah) yang dah bagi (untuk dijadikan tapak TKPM) pun dia nak ambil balik. Jadi bila kerajaan negeri berbeza dengan persekutuan, yang rugi adalah rakyat di bawah," katanya.

Kira-kira 600 usahawan siswazah pertanian, usahawan TKPM, anggota Kelab MyAgrosis, usahawan Inkubator Tanaman dan Industri Asas Tani, usahawan Beliatani Jepun dan pelajar-pelajar Institut Pertanian menyertai majlis perjumpaan tersebut.

No comments: