Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Friday, October 12, 2012

Tender Terbuka Telus Dan Jamin Kualiti Benih Padi - Noh Omar

PUTRAJAYA, 11 Okt - Tender terbuka pembekalan benih padi yang mulai dilaksanakan tahun ini untuk memastikan hanya syarikat yang memenuhi kriteria dan mampu membekalkan benih padi berkualiti dianugerahkan tender, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Sebelum ini, beliau berkata tender pembekalan benih padi dilakukan secara rundingan terus dan banyak aduan diterima apabila petani dibekalkan benih padi tidak berkualiti selain syarikat yang dianugerahkan tender didapati melantik pihak ketiga untuk mendapatkan bekalan.

Sehubungan itu, beliau berkata mulai tahun ini, penganugerahan tender pembekalan benih padi dilakukan secara tender terbuka yang diiklankan dalam surat khabar dan setiap permohonan dinilai tiga jawatankuasa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

"Setiap permohonan perlu memenuhi kriteria pembekalan benih padi dan mendapat kelulusan daripada Jawatankuasa Kewangan dan Jawatankuasa Teknikal sebelum disenarai pendek di peringkat Jawatankuasa Induk Lembaga Perolehan.

"Sebelum ini, kita beri tender secara rundingan terus dan tiada pihak yang bersuara dan membantah walaupun ia menimbulkan banyak masalah tetapi apabila kita memperkenalkan tender terbuka yang lebih telus ramai pula yang membantah. Saya pun berasa hairan," katanya kepada pemberita selepas Seminar Belanjawan 2013 Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani di sini Khamis.

Beliau berkata demikian apabila diminta mengulas berhubung laporan sebuah portal berita bahawa Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani telah menganuerahkan tender RM164.8 juta kepada syarikat pembekalan benih padi yang gagal memenuhi kriteria yang ditetapkan kementerian.

Ia juga melaporkan bahawa syarikat yang tidak memenuhi kriteria dianugerahkan tender kerana keperluan benih padi yang mendesak bagi musim penanam semula.

Noh berkata 11 syarikat yang memenuhi kriteria yang ditetapkan termasuk syarikat bumiputera yang mesti mempunyai kilang pemprosesan benih padi milik sendiri dan mesin mesin pengasing benih telah dianugerahkan tender pembekalan benih padi bagi 2013 hingga 2014.

"Mesin pengasing benih yang berharga kira-kira RM3 juta digunakan untuk mengurangkan padi angin yang akan menyebabkan hasil padi merosot kepada hanya 10 butir dalam setiap 36,000 butir padi atau sekilogram benih padi. Ini akan memastikan hanya benih padi berkualiti dibekalkan kepada petani," katanya.

Selain itu, Noh berkata penganugerahan tender kali ini juga terbuka mengikut kategori pengeluaran setahun yang bertujuan untuk memberi peluang kepada syarikat pembekal yang lebih kecil untuk membuat permohonan.

No comments: