Live Blog Berita & Informasi Terkini
 

Monday, October 22, 2012

Perhimpunan Grand Final PR : Tugas ‘mudah’ pembangkang – Noh Omar

KUALA LUMPUR - Tak perlu tanya, itu memang satu-satunya tugas mereka.

Itu kenyataan sinis Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Seri Noh Omar mengenai hasrat Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu yang menyatakan bahawa Pakatan Rakyat bakal mengadakan satu perhimpunan ‘Grand Final PR’ pada 12 Januari depan bagi membuat tuntutan terhadap empat perkara menjelang Pilihan Raya Umum ke- 13 (PRU-13).

Noh Omar berkata, pembangkang akan sentiasa membuat ‘kacau’ kerana mereka tiada isu-isu yang serius untuk difikirkan dan mempunyai banyak masa terluang untuk memanipulasi kumpulan sasaran mereka (pengundi).

ambahnya, perhimpunan sebegitu adalah satu agenda besar yang dibangkitkan pihak pembangkang dengan menumpukan beberapa aspek tertentu bagi memudahkan orang ramai terutama golongan muda ‘terpengaruh’ dengan lebih mudah.

“Memang tugas pembangkang untuk adakan demonstrasi sebegini. Mereka (pembangkang) terlalu banyak masa untuk berjuang di tepi jalan. Ini memang kerja mereka. Mereka akan memanipulasi apa jua yang dilaksanakan oleh kerajaan.

“Untuk mendapat perhatian bukanlah satu kerja yang susah dan itulah kerja pembangkang. Mereka akan gunakan apa saja kaedah untuk memastikan rakyat percaya dengan apa yang mereka lakukan,” katanya ketika dihubungi wakil media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas mengenai perhimpunan Grand Final PR yang dilaporkan bakal disertai sejuta penyokong yang memakai empat warna baju iaitu kuning sebagai tuntutan Pilihan Raya bersih dan tuntutan Bersih 3.0, hijau tuntutan terhadap penjagaan alam sekitar termasuk mengenai projek Lynas, merah menuntut royalty minyak di Kelantan manakala oren tuntutan berkaitan Felda.

Tujuan pemakaian baju empat warna itu adalah agar segala tuntutan yang dilakukan pada perhimpunan itu ditunaikan.

Noh yang juga Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani menambah, pembangkang hanya ‘menunggu masa’ untuk melakukan demonstrasi dalam usaha meraih kemenangan pada pilihan raya umum nanti.

Katanya, segala perancangan ke arah ‘kekecohan’ telah lama ‘diatur’ pihak pembangkang dan pada saat dan ketika ini mereka hanya melihat kepada beberapa perkara yang perlu diperkemaskan lagi dalam usaha mencapai matlamat yang telah lama ‘diperjuangkan’.

“Mereka (pembangkang) sepatutnya menyuarakan apa yang mereka tidak puas hati di Parlimen menerusi ahli parlimen mereka.Seharusnya mereka menunjukkan sikap profesional dalam berpolitik, bukannya buat bising dan sesak di jalan,” ujarnya.

Sementara itu, pandangan sama turut dikongsi oleh Senator Gan Ping Siew yang menyatakan bahawa pembangkang sememangnya mempunyai agenda politik tertentu sehingga sanggup mengadakan satu demonstrasi yang dianggap mampu mewujudkan kekecohan.

Katanya, pembangkang sememangnya gemar mengamalkan pendekatan politik ‘ikut emosi sendiri’ dengan menimbulkan isu khususnya menjelang PRU-13.

“Tujuan utama pembangkang mengadakan perhimpunan atau demonstrasi sebegini adalah untuk menunjukkan seolah-olah kerajaan kejam. Ini adalah amalan biasa mereka (pembangkang).

“Bagi saya ini adalah tindakan yang direncanakan oleh pembangkang dengan tujuan mahu timbulkan masalah,” katanya. - TMT

No comments: